‘Saya Bukan Harry Potter’ – Erik Ten Hag

‘Saya Bukan Harry Potter’ Erik Ten Hag membuat satu pengakuan mengejutkan apabila dengan jujur mengakui dia bukanlah Harry Potter yang merupakan watak terkenal dalam novel fantasi dan filem berkisarkan kepada kisah seorang ahli sihir remaja.

Pengurus Manchester United itu telah menyebut nama watak fiksyen itu ketika bercakap dalam satu sidang akhbar menjelang perlawanan menentang Reading di pusingan keempat Piala FA.

Jawapan itu keluar dari mulut Erik Ten Hag ditanya apa yang dilakukannya kepada Manchester United terutamanya Marcus Rashford yang bukan sahaja sudah pandai bermain bola malah semakin handal menjaringkan gol.

Setakat ini musim ini, Marcus Rashford telah menjaringkan 18 gol dan 10 golnya itu hadir dalam 10 perlawanan terakhir dan berada dalam prestasi terbaik disepanjang kariernya.

Seorang wartawan dengan sifat semulajadi yang ingin tahu apa yang dilakukan Erik Ten Hag kepada Marcus Rashford telah bertanya panjang lebar mengenai perkara itu. Soalan wartawan tersebut:

“Erik bolehkah anda memberitahu kami apa yang Encik lakukan dengan Marcus Rashford untuk mengubahya menjadi pemain seperti sekarang kerana ketika Encik tiba sentuhannya sudah hilang. Apa yang Encik katakan kepadanya untuk membolehkannya berada di kedudukan sekarang?”

Jawapan panjang lebar itu dijawab dengan ringkas dan lucu mengundang ketawa para wartawan lain yang hadir sebelum Erik Ten Hag memberi penjelasan lanjut.

“Saya bukan Harry Potter.”

Erik Ten Hag kemudian menjelaskan bahawa seperti pengurus lain dia hanya menyediakan struktur mengikut gaya permainannya kepada semua pemain yang berada di posisi yang betul dan semua ini berbalik kepada pemain.

“Keyakinan (amat penting) dan setiap pemain perlu ada dan mendapatkan keyakinan sendiri. Dia berjuang untuk ini dan dia melakukan pelaburan.”

“Dengan saya dan staf kejurulatihan saya, kami membawa struktur dan tertutamanya dengan cara kami bermain. Ini akan memberikannya sedikit rutin dengan apa yang dia perlukan untuk mendapatkan posisi yang betul. Tetapi akhirnya ini semua bergantung kepada pemain itu sendiri.”

“Jika pemain itu mempunyai keyakinan dan dia yakin dengan cara kami berkerja, persekitaran dan budaya juga penting maka pemain akan dapat mempamerkan prestasi terbaik mereka.”

Bagi Erik Ten Hag apa yang dicapai oleh Marcus Rashford kini adalah atas usahanya sendiri dan selaku pengurus dia hanya membuka jalan apa yang perlu pemain lakukan.

“Marcus jelas menunjukkan prestasi terbaiknya ketika ini dan dia berada dalam keadaan yang sangat baik dari hari ke hari, perlawanan demi perlawanan, latihan demi latihan. Semakin banyak rutin yang datang.”

PSG kini merupakan pasukan yang kerap dikaitkan dengan Rashford dan ketika ditanya Rashford untuk terus kekal di kelab ini jawapan Ten Hag:

“Saya fikir dia faham, Manchester United adalah kelabnya, yang pertama tetapi juga dalam persekitaran ini dalam pasukan ini saya fikir dia bermain bola sepak terbaiknya.”

“Dia bertambah baik dan itu mengenai dia kerana dia sedang berusaha untuk perkara yang baik. Dia memberikan 100 peratus tenaga di dalamnya dan dia mempunyai rancangan yang baik dan saya fikir juga dalam pasukan ini dia boleh membawa kualitinya.”

“Jadi pasukan ini boleh membantu dia berada di kedudukan yang betul dan menjaringkan gol, sesuatu yang dia mahir.”

“Pasukan ini dibina supaya kualitinya ditonjolkan dan saya rasa dia tahu itu. Tetapi, sudah pasti ya, dia penting untuk kami dan jika kami mahu mendapatkan kejayaan yang kami inginkan – kami memerlukannya.”

Sememangnya Erik Ten Hag pasti berharap untuk Marcus Rashford terus kekal di Old Trafford namun itu juga berbalik kepada tuan punya badan sendiri untuk menurunkan tandatangannya.

BACA:  Jawapan Balas Rashford Ke Atas Segala Kritikan Yang Dilemparkan Kepadanya