Keputusan Undian Ballon D’or 2021: Messi Sebenarnya Menang Tipis

Keputusan penuh pemenang anugerah Ballon D’or 2021 telah didedahkan dengan Lionel Messi muncul sebagai pemenang tetapi hanya dengan kelebihan 33 mata sahaja.

Bintang Argentina itu mendapat saingan yang sengit dari penyerang handalan Poland, Robert Lewandowski untuk mengesahkan Ballon D’or ketujuh sepanjang kariernya.

Messi yang berjaya memenangi Copa Del Rey bersama skuad Barcelona pada musim lalu, dan turut memimpin Argentina untuk memenangi Piala utama pertama mereka sejak 1993, telah menerima anugerah tersebut, yang disampaikan oleh sahabat karibnya, Luis Suarez.

Messi merupakan calon kegemaran untuk memenangi anugerah tersebut dan beliau berjaya untuk membawa pulang bola emas itu selepas mendapat 613 mata.

Namun kutipan mata beliau tidak jauh dibezakan dengan Lewandowski yang sepatutnya menjadi pemenang anugerah Ballon D’or pada tahun lalu itu.

Anugerah Ballon D’or 2020 telah dibatalkan oleh pihak penganjur kerana dunia pada ketika itu dilanda wabak pandemik, dan seandainya ia tidak dibatalkan, Lewandowski merupakan individu paling layak untuk memenanginya.

Penyerang utama Bayern Munich itu berada di kedudukan kedua untuk anugerah pada tahun ini, dengan mengumpul 580 mata.

Beliau walau bagaimanapun telah mendapat pujian yang menggunung dari pemenang pada tahun ini, Messi yang merasakan France Football sepatutnya memberikan anugerah Ballon D’or 2020 kepada Lewandowski.

Jorginho juga merupakan salah seorang calon yang layak untuk memenangi anugerah ini berdasarkan pencapaian beliau pada musim lalu, dengan beliau cemerlang membantu Chelsea dan Itali untuk memenangi kejuaraan Eropah.

Jorginho berada di kedudukan ketiga dengan mengumpul 460 mata, diikuti oleh Karim Benzema (239 mata) dan pemain kesayangan ramai, N’Golo Kante (186 mata) berada di kedudukan kelima.

Pemenang lima kali gelaran Ballon D’or, Cristiano Ronaldo pula berada di kedudukan keenam, dengan mengumpul 178 mata, 57 mata mengatasi Mo Salah di belakangnya.

Kylian Mbappe masuk ke kedudukan 10 teratas dalam senarai pemenang pada tahun ini, dengan beliau jelas tidak gembira melihat namanya sekadar berada di kedudukan kesembilan.

Kamera sempat merakam reaksi Kylian Mbappe yang jelas tidak gembira ketika melihat namanya berada di kedudukan kesembilan sahaja dengan mengumpul 58 mata.

Berikut merupakan keputusan penuh senarai pemenang anugerah Ballon D’or 2021, (sumber Sport Witness)

1. Lionel Messi (Argentina, FC Barcelona, Paris-SG), 613 mata.
2. Robert Lewandowski (Poland, Bayern Munich), 580 mata
3. Jorginho (Itali, Chelsea), 460 mata
4. Karim Benzema (Perancis, Real Madrid), 239 mata
5. N’Golo Kanté (Perancis, Chelsea), 186 mata.

6. Cristiano Ronaldo (Portugal, Juventus, Man United) 178 mata.
7. Mohamed Salah (Égypt, Liverpool), 121 mata
8. Kevin De Bruyne (Belgium, Manchester City), 73 mata
9. Kylian Mbappé (Perancis, Paris-SG), 58 mata
10. Gianluigi Donnarumma (Itali, AC Milan, Paris-SG), 36 mata.

11. Erling Haaland (Norway, Borussia Dortmund), 33 mata.
12. Romelu Lukaku (Belgium, Inter Milan, Chelsea), 26 mata.
13. Giorgio Chiellini (Itali, Juventus), 26 mata
14. Leonardo Bonucci (Itali, Juventus), 18 mata
15. Raheem Sterling (England, Man City), 10 mata.

16. Neymar (Brazil, Paris-SG), 9 mata.
17. Luis Suarez (Uruguay, Atlético Madrid), 8 mata.
18. Simon Kjaer (Denmark, AC Milan), 8 mata.
19. Mason Mount (England, Chelsea), 7 mata.
20. Riyad Mahrez (Algeria, Manchester City), 7 mata.

21. Bruno Fernandes (Portugal, Manchester United), 6 mata.
22. Lautaro Martinez (Argentina, Inter Milan), 6 mata.
23. Harry Kane (England, Tottenham), 4 mata.
24. Pedri (Sepanyol, FC Barcelona), 3 mata
25. Phil Foden (England, Manchester City), 2 mata.

26. Nicolo Barella (Itali, Inter Milan) 1 mata.
27. Ruben Dias (Portugal, Manchester City), 1 mata
28. Gerard Moreno (Sepanyol, Villarreal), 1 mata
29. César Azpilicueta (Sepanyol, Chelsea), 0 mata
30. Luka Modric (Croatia, Real Madrid), 0 mata

Messi berjaya menjaringkan 41 gol dan mencatatkan 17 assists dari 56 penampilan dalam semua pertandingan untuk kelab dan negara untuk melayakkan beliau memenangi anugerah Ballon D’or ketujuh peribadinya.

Bintang berusia 34 tahun itu juga merupakan pemenang anugerah Ballon D’or pada tahun 2009, 2010, 2011, 2012, 2015 dan 2019 sebelum melengkapkan kemenangan ketujuhnya pada tahun ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Messi Hampir Menghasilkan Jaringan Epik 'Hand of God' Milik Maradona