Keputusan Willian Batalkan Kontrak Bernilai £240,000 Seminggu Buat Pimpinan Arsenal Terharu

Pimpinan Arsenal terkejut dan terpegun selepas Willian bersetuju untuk membatalkan kontraknya dan akan meninggalkan kelab tanpa meminta apa-apa.

Willian menyertai Arsenal dari Chelsea menerusi perjanjian perpindahan secara percuma, dengan menerima tawaran gaji yang sangat lumayan.

Beliau menandatangani kontrak selama tiga tahun dengan gaji bernilai £240,000 seminggu, namun berbanding kekal di Emirates dan terus menerima gaji tanpa bermain, Willian memilih untuk membatalkan kontraknya.

Pemain kebangsaan Brazil itu akan menandatangani perjanjian bersama Corinthians dalam tempoh satu ke dua hari dari sekarang, dan keputusannya itu membuatkan pimpinan Arsenal rasa sangat teruja.

Gunners bakal memperoleh penjimatan bernilai £20 juta hasil keputusan dari pemain berusia 33 tahun itu dengan pihak kelab sangat menghargai keputusan Willian untuk meninggalkan kelab.

Apa yang menariknya lagi, Willian bahkan sanggup menerima pemotongan gaji sehingga 70% bersama kelab barunya itu nanti.

Laporan sama turut menyatakan yang bekas bintang Chelsea itu mahu meninggalkan Premier League dengan rasa bangga dan penuh terhormat.

Willian tidak diturunkan untuk beraksi bersama skuad kendalian Mikel Arteta sepanjang musim ini, dengan Arsenal tewas dalam kesemua tiga perlawanan pertama mereka dalam saingan Premier League.

Arsenal dikejutkan dengan kekalahan 5-0 bertemu Manchester City malam semalam, dengan mereka ketika ini berada di kedudukan tercorot dalam carta liga.

Bercakap selepas kekalahan ketiga mereka, Arteta telah menyatakan bahawa:

“Saya sangat kecewa dengan segala yang berlaku di atas padang.”

“Saya lebih pada mengkritik diri saya sendiri dan bertanggungjawab atas segala kekalahan yang kita hadapi.”

“Saya persoalkan pada diri saya sendiri dan saya perlu lihat pada setiap keputusan yang saya ambil dan ubahnya jika kami perlukan sesuatu yang berbeza.”

“Ini masa untuk muhasabah diri dan lihat pada cermin, setiap dari kami, dan berusaha untuk ubah segalanya dengan segera kerana kita perlukan perubahan.”

“Banyak yang sudah berlaku dalam tiga minggu terakhir ini dan kita sekarang sedang berada di kedudukan yang sangat teruk.”

Arsenal sedang melalui permulaan musim yang paling teruk dalam sejarah penubuhan kelab, dengan mereka ketika ini berada di kedudukan ke-20 dalam saingan liga.

Dari tiga perlawanan awal, Arsenal tewas dalam kesemua tiga perlawanan tersebut, dengan mereka bolos sembilan dan gagal untuk menghasilkan sebarang gol.

Para penyokong Arsenal ketika ini menggesa pihak kelab supaya melakukan perubahan dan antara yang paling mereka mahukan adalah mendesak pihak kelab supaya memecat Mikel Arteta.

Apa yang menyedihkan, para penyokong Arsenal bahkan sanggup meraikan gol keempat City ketika bertemu Arsenal semalam, sebagai tanda meluahkan kekecewaan mereka kepada kelab.

Ia merupakan satu hal yang sangat memalukan dan pimpinan kelab seharusnya memandang serius hal tersebut dan membuat keputusan yang tepat untuk menyelamatkan Arsenal.

Gunners ketika ini berpotensi untuk tersingkir memandangkan mereka sudah berada di kedudukan tercorot, dan andai hal ini tidak dibendung, tidak mengejutkan untuk melihat mereka akan beraksi di pentas Championship pada musim hadapan.

Sumber: SB

BACA:  Willian Akui Kekalahan Berpanjangan Merupakan Salah Satu Punca Mengapa Beliau Mahu Tinggalkan Arsenal