Kerana Berkeras Mahu Ambil Sepakan Penalti, Pemain Everton Terpaksa Merayu Agar Richarlison Mengalah

Telah berlaku sebuah drama yang menarik ketika Everton dihadiahkan sepakan penalti dalam aksi perlawanan bertemu Brighton malam semalam.

Dalam aksi kemenangan 2-0 skuad The Toffees itu, Richarlison dan Dominic Calvert Lewin dilihat bertekak kerana berebut untuk mengambil sepakan penalti yang mereka menangi.

Everton dihadiahkan sepakan penalti pada aksi babak kedua permainan, dengan Richarlison segera mengambil bola dan berdiri di tempat untuk mengambil sepakan penalti.

Ketua pasukan, Seamus Coleman kemudiannya berlari perlahan menuju ke arah rakan sepasukannya itu, sebelum mengarahkan bintang Brazil itu untuk berundur.

Beliau dilihat bercakap dengan Richarlison dan ia jelas menunjukkan yang Seamus ketika itu meminta agar pemenang pingat emas Sukan Olimpik itu berundur dari mengambil sepakan penalti tersebut.

Richarlison jelas tidak gembira dengan hal itu, dengan beliau terus menunjukkan reaksi marah sebelum Andros Townsend dan Allan datang untuk memujuknya.

Calvert Lewin yang dipertanggungjawabkan untuk mengambil sepakan penalti itu tenang menyempurnakan tugasnya untuk meletakkan Everton selesa dua gol dihadapan.

Richarlison yang bengang kerana dipandang rendah dan tidak diberikan kesempatan untuk menyempurnakan sepakan penalti itu masih menunjukkan reaksi marah ketika meraikan gol yang dijaringkan oleh Calvert Lewin.

Insiden perbalahan antara Richarlison dengan Calvert Lewin mendapat perhatian peminat di media sosial, dengan ramai yang memuji ciri kepimpinan yang ditunjukkan oleh Seamus Coleman dalam situasi tersebut.

“Apa yang ada dalam fikiran Richarlison? Jelas sekali yang Calvert Lewin merupakan pengambil sepakan penalti kelab selepas dia menjaringkan gol pada minggu lalu.. semua hal itu sebenarnya memberi tekanan pada Lewin untuk mengambil sepakan penalti.”

“Richarlison mahu merampas tugas sebagai pengambil sepakan penalti dari Lewin, namun Seamus telah menunjukkan ciri kepimpinan yang beliau miliki untuk menenangkan keadaan.”

“Richarlison tak sepatutnya bersikap seperti ini. Dia nampak terlalu tamak. Tapi saya gembira melihat reaksi dari para pemain lain. Coleman jelas menjalankan tugas dia dengan sangat sempurna.”

“Saya rasa hal seperti ini tak sepatutnya berlaku, Richarlison sepatutnya sudah tahu siapa yang akan ambil sepakan penalti itu, ikut saja perancangan pengurus, kenapa dia begitu emosi?”

Begitulah komen-komen dari para peminat yang juga dilihat tidak gembira dengan reaksi yang ditunjukkan oleh Richarlison selepas beliau dihalang dari mengambil sepakan penalti.

Pada aksi babak pertama permainan, Everton terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Demarai Gray, hasil umpanan dari Allan.

Gol jaringan Calvert Lewin pula merupakan gol kedua Everton, seterusnya menjadi gol kemenangan untuk mereka menewaskan Brighton 2-0.

Rekod bersih Brighton yang sebelum ini berjaya mencatat dua kemenangan dari dua perlawanan tercalar selepas ditewaskan oleh Everton dalam perlawanan ini.

Kemenangan ini berjaya melonjakkan Everton untuk naik ke kedudukan keempat dalam carta liga, dengan mengumpul tujuh mata bersama Liverpool, Chelsea dan West Ham.

Satu permulaan yang baik untuk anak-anak buah Rafael Benitez dengan mereka berjaya mencatatkan dua kemenangan dan satu seri dari tiga perlawanan awal dalam saingan liga musim ini.

Selepas rehat antarabangsa ini, Everton akan kembali memulakan saingan liga mereka dengan bertemu Burnley pada 14 September nanti di Goodison Park.

Sementara untuk Brighton pula, mereka setakat ini berjaya mengumpul enam mata selepas mencatatkan dua kemenangan dan satu kekalahan dari tiga perlawanan awal saingan liga musim ini.

Skuad kendalian Graham Potter itu pula selepas ini bakal bertemu dengan Brentford pada 11 September nanti di Brentford Community Stadium.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Richarlison Menganjing Liverpool Tanpa Belas Selepas Tewas Perlawanan Akhir Champions League