Kerana Percaya Arsenal Tak Cukup Bercita-cita Tinggi, Vlahovic Sekali Lagi Tolak Tawaran Gunners

Penyerang Fiorentina, Dusan Vlahovic dijangka bakal sekali lagi menolak tawaran dari Arsenal, kerana beliau mahu menyertai projek yang lebih ada masa depan.

Laporan dari Itali mendedahkan yang Vlahovic sama sekali tidak berminat dengan projek Arsenal dan beliau mahu menanti projek lain yang beliau rasakan akan lebih menarik.

Bintang berusia 21 tahun itu jelas sekali merupakan prospek masa hadapan yang sangat diminati oleh kebanyakan kelab-kelab gergasi di benua Eropah.

Dari 22 penampilan bersama Fiorentina sepanjang musim ini, Vlahovic telah berjaya menjaringkan 18 gol dan kerana itulah beliau menjadi antara pemain yang paling diburu oleh kelab-kelab gergasi pada ketika ini.

Arsenal sangat terdesak mahu menandatangani pemain penyerang yang baharu pada jendela perpindahan Januari ini.

Hal ini kerana mereka bakal kehilangan khidmat Alexandre Lacazette yang kontraknya bakal tamat pada penghujung musim ini nanti.

Selain Lacazette, Pierre Emerick Aubameyang juga dilaporkan mungkin tidak akan terus bersama kelab, terutama selepas jawatan ketua pasukan beliau ditarik balik.

Bukan hanya jawatan sebagai ketua pasukan sahaja yang ditarik balik, bahkan Aubameyang juga kini sering diketepikan dari skuad utama kerana dihukum oleh Mikel Arteta.

Walau bagaimanapun, wartawan Sky Sports Italia, Gianluca Di Marzio tampil membuat pendedahan dengan menyatakan yang Vlahovic menolak tawaran Arsenal kerana lebih berminat untuk menanti projek yang lebih bercita-cita tinggi.

“Beberapa bulan lalu, ejen dia bahkan langsung tidak angkat panggilan telefon dari Arsenal.”

Jelas Di Marzio menurut Get Italian Football News.

Manchester United, Tottenham Hotspur dan Juventus merupakan antara pasukan yang sangat berminat untuk mendapatkan khidmat Vlahovic yang cemerlang menjaringkan 47 gol dari 106 penampilan untuk Fiorentina.

Walau bagaimanapun juga, pemain penyerang muda itu menolak untuk memberi komen tentang segala spekulasi berkait masa hadapan beliau.

Vlahovic menegaskan yang beliau hanya mahu memberi tumpuan untuk membantu kelabnya layak ke saingan Eropah pada musim hadapan.

“Hanya tuhan yang tahu apa akan berlaku selepas ini.”

Jelas Vlahovic.

“Saya sudah katakan itu beberapa kali sebelum ini. Ada kisah dan sejarah yang hebat sedang berlaku di Florence pada ketika ini.”

“Kami ada skuad yang hebat, pemain yang hebat, sokongan yang hebat dari pada penyokong. Semuanya berhak untuk dihormati.”

“Hanya tuhan yang tahu apa akan berlaku selepas ini.”

“Impian saya adalah untuk membawa Fiorentina ke Eropah, kerana kami sudah lama tidak beraksi di Eropah. Kita akan lihat itu.”

Bekas penyerang Arsenal, Kevin Campbell turut tampil dan menegaskan agar pengurus kelab, Mikel Arteta menandatangani bukan seorang, tetapi dua pemain penyerang Januari ini.

Eddie Nketiah juga dilaporkan berpotensi untuk meninggalkan kelab dalam masa terdekat ini, dan kerana itulah Arsenal perlu membuat persiapan.

“Saya rasa kita perlukan dua penyerang. Saya betul-betul rasa kita perlukan dua kerana Aubameyang, Lacazette dan Eddie.”

Jelas Campbell kepada The Highbury Squad Podcast.

“Saya rasa mereka semua ini akan pergi. Folarin Balogun bakal dihantar ke Middlesbrough sebagai pemain pinjaman, jadi dia akan terus belajar, jadi saya rasa memang kita memerlukan dua pemain penyerang.”

Arsenal merupakan antara pasukan yang paling banyak berbelanja pada jendela perpindahan musim panas baru-baru ini, namun kebanyakan pemain yang mereka bawa masuk merupakan barisan pemain muda.

Seandainya mereka sekali lagi melabur besar pada jendela perpindahan Januari ini, maka memang agak malang andai Arteta masih gagal untuk berikan sesuatu kepada kelab.

Mereka memulakan saingan Premier League dengan sangat teruk, namun perlahan-lahan Mikel Arteta berjaya membawa Arsenal kembali ke tahap persembahan terbaik mereka, dan kini mereka sedang berada di kelompok empat teratas.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Gagal Menyerlah Bersama Arsenal, Kai Havertz Kini Bergelar Ejen 007