Kevin De Bruyne Disarankan Supaya Sertai Liverpool

Kevin De Bruyne telah diberitahu supaya meninggalkan Manchester City dan menyertai Liverpool selepas kegagalan The Citizens di pentas saingan Champions League.

Pada pertengahan minggu lalu, Man City telah disingkirkan dari saingan Champions League oleh Real Madrid walaupun mereka sebenarnya sudah selangkah mara ke pentas perlawanan akhir.

Ketika perlawanan sudah masuk ke 5 minit terakhir, Man City masih mendahului perlawanan dengan kelebihan 2 gol mengikut aggregate.

Walau bagaimanapun, dua gol jaringan Rodrygo dalam tempoh satu minit telah menghancurkan harapan City untuk terus layak ke perlawanan akhir.

Kedua-dua pasukan kemudiannya bermain dalam aksi tambahan masa dengan Real Madrid berjaya memperoleh gol kemenangan mereka menerusi Karim Benzema.

Ia bermaksud skuad kendalian Pep Guardiola itu terpaksa akur sekali lagi gagal di pentas bola sepak Eropah dan satu-satunya pasukan dari England yang masih ada di kejohanan ini hanyalah Liverpool.

Hal itu menyebabkan Stan Collymore menyarankan agar Kevin De Bruyne menyertai Liverpool dan hal itu beliau sudah dedahkan sejak dua tahun lalu lagi.

Collymore menyarankan agar Kevin De Bruyne sertai Liverpool atau setidak-tidaknya sertai pasukan seperti Real Madrid, Bayern Munich atau Barcelona.

“Pada Ogos 2020, saya menulis di sebuah column yang menyatakan bahawa Kevin De Bruyne sepatutnya pergi sertai Liverpool dan dah tentu, ketika komen itu dibuat, ramai yang kata, “hahaha mengapa perlu dia pergi sana?,”

Jelas bekas bintang Liverpool itu.

“Jadi, untuk mereka yang tak ketawakan saya ketika itu, sekarang mereka tentu akan terfikir yang memang sepatutnya Kevin De Bruyne lakukan sesuatu.”

“Sebagai pemain, kamu tahu ketika kamu keluar ke padang atau tidak, kamu perlu berikan impak dalam perlawanan itu. Dan selepas kekalahan City dalam saingan Champions League, saya yakin De Bruyne akan fikir, ‘adakah orang lain sebagus saya? Adakah mereka akan bantu saya untuk berada di mana saya mahu? Adakah saya patut sertai kelab yang ada rutin mahukan kemenangan?”

“Keberkesanan dia dalam perlawanan besar baik untuk kelab mahupun negara sebenarnya sangat lemah dan mungkin ini masa untuk dia pergi ke Liverpool, Real Madrid, Barcelona atau Bayern Munich.”

“Kelab yang lebih mementingkan organisasi, yang ada mentaliti pemenang dan boleh dapatkan yang terbaik dari dia. Lihat, Liverpool mungkin tak mampu bayar gaji dia, City sememangnya mampu dari segi pembayaran gaji.”

“Dan dia mungkin akan keluar dari City satu hari nanti dan kata, “saya menang banyak di sini.” Dan saya tak ragu-ragu City satu hari nanti akan menang Champions League.”

“Tapi perasaan menang yang dia dah rasa setakat ini bersama City tak akan mendorong dia untuk berikan lebih baik lagi berbanding kalau dia bersama kelab lain yang ada sejarah mereka sendiri.”

Baru setahun lalu skuad kendalian Pep Guardiola itu berjaya layak ke pentas perlawanan akhir saingan Champions League, dengan De Bruyne terpaksa diketepikan kerana kecederaan dan akhirnya Chelsea muncul Juara.

Bersama Manchester City, tidak dinafikan yang mudah untuk De Bruyne memenangi gelaran domestik dan jelas sekali sudah banyak Piala yang beliau julang sepanjang kariernya di Etihad.

Namun satu hal yang pasti, sudah tentu De Bruyne sendiri turut mempunyai impian untuk memenangi gelaran Eropah dan sepertinya terlalu sukar untuk beliau menanginya bersama Man City.

Walau bagaimanapun, tiada siapa tahu apa akan berlaku di masa hadapan, dan mungkin saja musim depan bakal jadi musim untuk Pep Guardiola kembali menjulang Piala telinga capang itu.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Peminat Percaya Nunez Ada Kualiti Penyudah Setajam Fernando Torres