Kisah Aguero Hadiahkan Kereta Kepada Kitman, Belanja RM500,000 Kepada Staf Selepas Tinggalkan City

Pemain penyerang yang paling berkaliber, prolifik dan berbakat besar, Sergio Aguero telah mengumumkan persaraan ekoran masalah jantung yang dihadapinya ketika beraksi bersama Barcelona.

Seperti yang diketahui ramai, selepas berpisah dengan Manchester City Sergio Aguera telah pun menurunkan tanda tangan sebagai tanda persetujuan untuk menyarung jersi Barcelona pada musim ini.

Sebagai tanda perpisahan, Sergio Aguero telah mengeluarkan belanja sebanyak lebih RM500,000 daripada duit poketnya untuk dihadiahkan kepada para petugas pasukan utama pasukan tersebut dan hadiah ini termasuklah sebuah Range Rover Evoque yang diberi kepada kitman kelab.

Jam tangan Tag Heuer Formula 1. Mahal nih!

Lebih 60 staf yang bekerja keras bersama pasukan utama City dikatakan telah menerima seutas jam tangan mewah Hublot atau Tag Heuer Formula 1 setiap seorang.

Dari segi harga, seutas jam tangan Hublot bernilai sekitar £8000(RM40,000), manakala model Tag Heuer yang dipilih Aguero pula bernilai sekitar £1250 ke £1650(RM7500-RM9500).

Setiap jam tangan tersebut diukir mesej yang berbunyi.”Gracias! Kun Aguero” yang mana kalau diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu berbunyi jika dibaca dengan kuat:

“Terima Kasih! Kun Aguero”.

Kitman bersama kereta mewah barunya. Boleh masuk insta story selalu ni.

Walaubagaimanapun, hadiah Aguero tidak terhenti di situ sahaja. Malah dia juga turut hadiahkan tiket undian kepada setiap staf tersebut untuk memenangi sebuah SUV mewah, Range Rover Evoque – sama seperti kereta yang baru dibelinya untuk kegunaan sendiri.

Difahamkan, kereta tersebut berjaya dimiliki oleh kitman kelab – seseorang yang sangat Aguero kagumi akan etika kerjanya. Semoga kitman tersebut sentiasa tukar minyak on-time dan tidak lupa bayar cukai jalan setiap tahun.

Jika dijumlahkan, Aguero telah mengerluarkan duit poket sendiri lebih RM500,000 untuk kesemua hadiah tersebut! Nampak tak betapa mulianya hati seorang insan yang bernama Aguero ini!

Pemilikan SUV mewah tersebut diberikan secara cabutan bertuah. Walaupun tanpa majlis rasmi dan diadakan di ruang bangunan kelab sahaja, acara tersebut cukup meriah dengan sorakan mereka yang hadir.

Selepas nama pemenang diumumkan, kitman tersebut kelihatan bagai tidak percaya dengan apa yang berlaku.

“Gigil dooo,”katanya ketika bersalam dengan Aguero.”

“Aku selalu tengok kau dalam Range Rover setiap hari.” *(Agaknya itulah kot yang disebut. Maaf penulis tak faham sangat bahasa British ni.)

“Aku tak tahu nak cakap apa. Terima kasih!”

Pemergiannya ke Barcelona pasti menimbulkan kesedihan buat para peminat bola sepak Inggeris. Mana tidaknya, sejak menyertai City dari Atletico Madrid pada tahun 2011, Aguero mencuri tumpuan ramai dengan sentuhan penyudahnya yang tajam di depan gol.

Antara detik yang paling diingati oleh penyokong City adalah detik Aguero menjaringkan gol kemenangan mereka ke atas Queens Park Rangers, dalam perlawanan terakhir liga pada tahun 2012.

Gol tersebut jika ditonton pada hari ini, pasti akan meremangkan bulu roma sang penonton. Jeritan pengulas; “AGUEROOOOOOOOOOOOOO” bukan sahaja melonjakkan mereka yang berada di stadium, malah mereka yang berada di rumah juga!

Itulah kebaikan hati dan tanda penghargaan Aguero kepada staf pasukan Manchester City sepanjang beliau di sana.

Jika ketika itu hanya peminat, penyokong dan mereka yang berada di City yang sedih kini satu dunia bersedih dengan persaraan Aguero dari dunia bola sepak.

Sergio Aguero Bersara

Pemain Barcelona dan Argentina, Sergio Aguero, telah mengumumkan persaraannya daripada bola sepak enam bulan selepas menyertai kelab Catalan tersebut dari Manchester City.

Aguero yang baru berusia 33 tahun hanya melakukan lima penampilan buat pasukan Barcelona dek masalah kecederaan dan kesihatan sejak berpindah ke Sepanyol.

Pada 30 Oktober lalu, dia terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami ketidakselesaan di bahagian dada ketika pasukannya seri 1-1 dengan Alaves.

Aguero menamatkan karier bola sepaknya selepas mencatatkan rekod 427 gol dalam 786 perlawanan.

Sebaik tamat kontrak bersama City, Aguero telah berpindah ke Barcelona dengan harapan dapat beraksi bersama kawan baiknya, Lionel Messi. Namun, harapannya hancur selepas Messi tidak berjaya dikekalkan oleh Barcelona dan berpindah ke Paris Saint Germain.

Dalam musim terakhirnya bersama City, Aguero telah mengalami banyak masalah kecederaan sekaligus membuatkannya banyak berada di bilik rawatan berbanding di padang.

Perpindahannya ke Barcelona juga tidaklah bermula dengan baik apabila dia pada mulanya tidak dapat didaftarkan kerana kelab tersebut sedang berada dalam masalah kewangan yang meruncing.

Kelab tidak dibenarkan untuk mendaftarkan pemain baharu walaupun percuma, dek sekatan yang dikenakan oleh pengendali La Liga. Namun apabila dia berjaya didaftarkan oleh Barcelona, Aguero pula mengalami kecederaan peha sekaligus terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi sehingga bulan Oktorber.

Pada 24 Oktober, Aguero telah menjaringkan gol saguhati pada minit ke-90 ketika menentang Real Madrid dan tiga hari kemudian dia berada dalam kesebelasan utama buat kelab.

Tetapi selepas dikeluarkan ketika menentang Alaves, Aguero terpaksa melalui ujian kesihatan jantung dan menyerahkan masa depannya di tangan doktor yang terlibat.

Pada mulanya Aguero mengatakan bahawa keadaannya hanya perlu dipantau selama 90 hari, walaubagaimanapun tular berita mengatakan bahawa dia sebenarnya mengalami degupan jantung yang tidak sekata, atau dalam bahasa doktornya disebut cardiac arrythmia.

Sumbangan terakhirnya buat pasukan kebangsaan Argentina adalah dalam kempen Copa America pada musim panas lalu di mana dia masuk sebagai pemain gantian dalam perlawanan suku akhir ketika menentang Ecuador. La Albiceleste berjaya memenangi piala tersebut menamatkan penantian selama 28 tahun.

Persaraan Diiringi Air Mata

Aguero jelas seorang pemain yang disayangi oleh ramai peminat dan pemain, sama ada rakan sepasukan ataupun lawan. Menerusi tinjauan kami di Twitter, ramai pemain dan penyokong telah menzahirkan rasa sedih dan hormat mereka di atas persaraan ini yang dirasakan terlalu awal bagi pemain sebaik Aguero.

Bekas rakan sepasukan di Manchester City, Leroy Sane telah menciap;

“Seorang legenda sebenar dalam permainan ini.
“Adalah satu kebanggaan dapat beraksi bersama kamu, Sergio.
“Aku ucapkan selamat maju jaya untuk masa depan kamu.”

Bekas kapten Manchester City yang telah banyak kali menjulang Liga Perdana Inggeris bersama Aguero, Vincent Kompany, turut menciap di akaun rasmi Twitternya.

“Seorang penyerang yang luar biasa telah bersara daripada sukan ini, tetapi juga merupakan seorang rakan sepasukan yang mantap, seorang kawan dan seorang yang berpersonaliti unik. Terima kasih dan salam hormat kepada fenomena sebenar Man City.
“Saya ucapkan yang terbaik buat legenda terbaik.”

Pasukan gergasi Jerman, Bayern Munich, tidak ketinggalan untuk memuatnaik ciapan yang penuh hormat kepada legenda ini.

“Dukacitanya karier yang mantap telah berakahir.
“Selamat maju jaya untuk masa depan, Sergio Aguero.”

Bekas kapten Chelsea, John Terry, telah mengiktiraf Aguero antara pemain terbaik yang pernah beraksi di Liga Perdana Inggeris, sambil memuatnaik gambarnya memegang trofi liga.

Pendahulu La Liga, Real Madrid, turut mengucap selamat kepada Aguero.

“Adalah satu kebanggaan dapat bersaing dengan pemain seperti kamu Sergio Aguero, salah seorang pemain terbaik dalam dunia. Semoga berjaya buat kami dan keluarga kamu.”

Statistik Gila Aguero

Penjaring Keempat Terbanyak

Aguero adalah penjaring keempat terbanyak dalam sejarah Liga Perdana Inggeris dengan 184 gol dalam 275 perlawanan, hanya di belakang Alan Shearer yang menjaringkan 260 gol, Wayne Rooney dengan rekod 208 gol dan Andrew Cole yang berjaya menembusi gawang lawan sebanyak 187 kali.

Dia juga merupakan penjaring terbanyak bagi kategori rakyat asing, sembilan gol mengatasi Thierry Henry yang merekodkan 175 jaringan.

Conversion Rate Yang Tinggi

Selain itu, Aguero juga telah menjaringkan satu gol dalam setiap 108 minit perlawanan dalam Liga Perdana Inggeris dan ini adalah kadar conversion yang paling tinggi dalam liga terbaik di dunia tersebut.

Sebenarnya, Aguero masih boleh bermain selama 2520 minit, bersamaan dengan 28 perlawanan dalam Liga Perdana Inggeris tanpa jaringan dan masih lagi mempunyai nisbah minit per gol terbaik bagi mana-mana pemain yang telah menjaringkan lebih 20 gol.

Hatrik

Penyerang Argentina ini telah mencipta 18 hatrik dalam kariernya, termasuk 12 kali di dalam saingan Liga Perdana Ingggeris – rekod tertinggi bagi mana-mana pemain dalam divisyen tertinggi bola sepak England.

Konsistensi

Di antara musim 2007-08 sehingga musim 2019-20, Aguero telah menjaringkan sekurang-kurangnya 20 gol semusim, dalam 12 daripada 13 musim tersebut. Dia juga telah mencapai lebih 30 gol dalam lima musim berasingan sepanjang bersama Manchester City.

Liga Juara-Juara UEFA

Secara totalnya, Aguero telah menjaringkan 36 gol buat Manchester City dalam saingan tertinggi buat kelab-kelab Eropah, Liga Juara-Juara UEFA – berkongsi rekod bersama Didier Drogba. Jumlah ini merupakan jaringan terbanyak daripada seorang pemain, buat kelab-kelab Inggeris.

Pasukan Lawan

Sebanyak 128 pasukan telah merasai bagaimana perasaannya selepas gol mereka dibolosi Aguero. Antaranya adalah Barcelona, Real Madrid, Bayern Munich, Chelsea, Liverpool, Manchester United dan juga Queens Park Rangers.

AGUEROOOOOOOOOOOOOOOOOOOOOO

Meskipun sudah banyak kali menjulang trofi Liga Perdana Inggeris bersama Manchester City, detik yang paling diingati oleh mana-mana penyokong bola sepak adalah pada perlawanan terakhir musim 2011-12 di mana pasukan Citizens bertemu Queens Park Rangers di laman sendiri.

Pada penghujung perlawanan, City berjaya mengikat kedudukan 2-2 dengan Manchester United telah pun menamatkan perlawanan mereka di Stoke dengan kemenangan 1-0.

Jika City kekal seri, United akan ditabalkan sebagai juara pada musim tersebut.

Maka terjadilah satu detik yang paling tidak akan dilupakan oleh semua peminat bola sepak.

Aguero mendapat bola di luar kotak penalti dan dia menolaknya kepada Mario Balotelli yang dikerumuni oleh pertahanan QPR. Dengan penuh cekal Balotelli mengawal bola dan mengumpannya kembali kepada Aguero yang sudah melakukan larian ke dalam kotak penalti.

Sebaik menerima bola, Aguero melakukan satu feint dan membuatkan seorang pemain QPR terduduk, sebelum dia melepaskan satu rembatan yang membawa kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat Manchester City buat pertama kali.

Bak kata Martin Tyler;

“AGUEOOOOOOOOOOOOOOOOOOOOOOOOOOOO!”

Sumber : BBC

BACA:  Linangan Air Mata Iringi Persaraan Sergio Aguero