Kisah Pemain Morroco, Hakim Ziyech Yang Digelar Bodoh Oleh Van Basten

Bekas pemain Ajax Amsterdam, Hakim Ziyech telah membuktikan pilihannya untuk menyarung jersi Morocco adalah pilihan yang tepat selepas mambantu negaranya layak ke Piala Dunia 2018 Russia .

Kejayaan tersebut memaksa bekas penolong jurulatih Belanda, Marco Van Basten menelan balik apa yang pernah dikatakan beliau terhadap Ziyech selepas pemain ini menolak tawaran untuk menyarung jersi Oranje walaupun bermain di Liga Dutch Eredivisie.

Pemain berusia 29 tahun ini dilahirkan di Dronte, Netherlands tetapi ibunya berasal dari Morocco dan ini telah melayakkan beliau untuk dipilih dan memilih bermain bersama Morocco di peringkat antarabangsa.

Beliau memulakan kariernya bersama Heerenveen sebelum menyertai FC Twente. Ziyech beraksi cemerlang ketika bersama FC Twente dengan menjaringkan 34 gol dari 76 penampilan dalam aksi Liga Belanda.

Selepas menunjukkan persembahan yang cemerlang bersama Heerenveen dan FC Twente, nama beliau telah dicadangkan kepada pengurus Belanda ketika itu, Danny Blind untuk dipanggil menganggotai skuad kebangsaan.

Walaubagaimanapun, tiada panggilan telah dibuat terhadap pemain ini kerana pada ketika itu, Belanda gagal untuk melayakkan diri ke pusingan akhir EURO 2016 yang diadakan di Perancis.

Ketika zaman remajanya, Ziyech adalah salah seorang pemain terbaik dalam skuad bawah umur Netherlands.

Akan tetapi, pada September 2015, Ziyech telah melakukan kejutan besar dengan mengumumkan bahawa beliau akan mewakili negaran kelahiran ibunya, Morocco dan menolak tawaran Belanda.

Marco Van Basten

Marco Van Basten merupakan penolong pengurus pasukan kebangsaan Belanda ketika Ziyech membuat keputusan tersebut dan telah mengkritik Ziyech kerana terlalu gelojoh membuat keputusan untuk mewakili Morocco.

Van Basten dipetik berkata kepada FOX Sports:

“Betapa bodohnya seorang pemain untuk memilih mewakili Morocco walaupun sedar beliau mempunyai peluang cerah dipilih mewakili pasukan Netherlands.”

“Satu kerugian kerana beliau tidak sabar menunggu panggilan Belanda. Beliau telah membuat pilihan untuk mewakili Morocco dan kami mempunyai sebab kami sendiri kenapa tidak memanggil beliau ke dalam skuad kebangsaan sebelum ini.”

“Andainya beliau lebih sabar, Ziyech sudah pasti akan bermain dalam skuad Netherlands hari ini. Beliau pemain yang cukup sempurna untuk Belanda, Nilai pasaran beliau juga pasti akan meningkat andainya beliau menjadi pemain antarabangsa Netherlands.”

“Kami telah berhubung dengan pihak beliau tetapi Ziyech sudah membuat keputusan untuk mewakili Morocco. Ziyech berkata kepada saya ‘Betul saya mahu mewakili Morocco’. Danny Blind [pengurus Belanda ketika itu] turut cuba memujuk beliau. Satu kerugian buat Ziyech kerana beliau tidak sabar.”

Marco Van Basten pasti mahu melupakan apa yang pernah dikatakan beliau kepada pihak media sebelum ini selepas melihat Morocco melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia.

Belanda pula terkandas di peringkat kumpulan dimana mereka sekadar menghabiskan kempen di tempat ketiga di belakang Perancis dan Sweden.

Manakala keputusan Ziyech untuk menyarung jersi Morocco jelas membuahkan hasil. Morocco berjaya menewaskan Ivory Coast 2-0 untuk mengesahkan tempat mereka ke Piala Dunia selaku juara kumpulan C. Gol perlawanan dijaringkan oleh Nabil Dirar dan Mehdi Benatia.

Pada saingan Piala Dunia 2018 di Russia, Morocco berada di kumpulan B bersama Portugal, Sepanyol dan Iran. Morocco telah menunjukkan permainan yang sedap lagi menghiburkan.

Tetapi sayang mereka bergelut menjaringkan gol ketika tewas tipis kepada Portugal dan Iran dengan satu jaringan dan hampir menyingkirkan Sepanyol pada perlawanan terakhir kumpulan.

Kini Hakim Ziyech telah beraksi diperingkat tertinggi dalam bola sepak apabila disambar Chelsea dengan harga €40 juta dan bermain di liga paling kompetiti di dunia tanpa menjadi pemain Belanda.

Rumusannya, Ziyech telah beraksi dalam saingan bolasepak paling berprestij di dunia manakala semua warganegara Belanda hanya mampu menonton aksi Piala Dunia menerusi kaca televisyen, sama sahaja seperti yang dilakukan rakyat Malaysia setiap 4 tahun.

BACA:  "Ye Ke Masalah Lutut?" - Ziyech Persenda Alasan Perpindahan Tinggalkan Chelsea Gagal