Jersi nombor 10 sering dilihat sebagai pemain kreatif atau pemain pintar di atas padang. Mereka merupakan pemikir buat pasukan untuk mencetuskan serangan dan perlu memikir jalan bagaimana pasukan menjaringkan gol.
Manakala kaki kidal merupakan satu anugerah. Kedua-duanya dimiliki oleh Roberto Mancini. Malah Mancini sudah diberikan nombor itu seawal usia 6 tahun dan jersi pertamanya adalah nombor 10.
Mancini hanya meminta hadiah sama setiap kali perayaan natal tiba iaitu kasut bola. Pada ketika itu kasut bola dibuat dari fabrik.
Bermula di Bologna
Mancini menyertai Real Jesi, sebuah kelab berhampiran tempat tinggalnya. Pada usia 13 tahun Mancini meninggalkan bandar kelahirannya untuk menyertai Bologna. Mancini terpaksa berpisah dengan keluarga.
Pada sesi pemilihan ayahnya, Aldo berpesan supaya bermain lebih kebawah. Menurutnya posisi tersebut Mancini akan menerima lebih bola dan panel pemilihan lebih mudah mengenalinya. Mancini mengikut saranan ayahnya dan dia terpilih selepas bermain selama 40 minit.
Mancini kemudiannya dipanggil untuk menandatangani kontrak, yang kemudiannya ditandatangani oleh ayahnya. Mancini baru berusia 13 tahun dan belum pandai melakukannya.
Aldo merupakan individu pertama yang membawanya mengenali bola sepak. Aldo amat meminati bola sepak dan mengajar Mancini tentang kejujuran dan kesederhanaan. Itulah karektor Mancini yang kita lihat pada hari ini.
Sementara itu ibunya lebih suka Mancini tinggal dirumah dan tidak gembira apabila Mancini pergi ke Bologna. Ketika menyertai Bologna Mancini belum menyedari potensi yang dimilikinya -hanya membuat keputusan mengikut hati.
Tetapi akhirnya keputusan tersebut membawanya lebih jauh dari apa yang dibayangkan.
Mancini mula memasang impian menjadi pemain bola sepak profesional. Bologna membayarnya sebanyak €46 sebulan ketika bersama pasukan remaja.
Malah dia hairan kenapa dia perlu dibayar untuk bergembira sambil bermain bola.
Selepas 3 tahun, Mancini diserap ke dalam pasukan Primavera iaitu pasukan bawah umur yang akan bersaing dengan pemain remaja dari kelab lain.
Disitu Mancini mula melihat ramai pemain bagus datang dan kemudian pergi dan dia mula takut hal sama terjadi kepadanya.
Disebabkan itu, Mancini mula berusaha keras, berlatih bersungguh-sungguh dan mengelak dari mengalami kecederaan supaya tidak gagal dan tersingkir.
Debut pertama Mancini bersama pasukan senior berlaku secara kebetulan. Jurulatih Radice mencari pemain untuk menggantikan pemain yang cedera.
Pelan asalnya Radice mahu memanggil Marco Marina, dia pergi ke sekolah tetapi tidak menjumpainya. Jadi dia memutuskan untuk memanggil Mancini. Mancini mula merasakan impiannya mungkin menjadi kenyataan.
Mancini mula sedar dia berbeza dari pemain-pemain lain tetapi mengganggap perkara itu masih belum cukup untuk merealisasikan impiannya.
Mancini percaya dia masih perlukan tekad dan kehendak dan hari ini Mancini faham untuk menjadi pemain hebat, pemain perlu mempunyai sesuatu lebih dari pemain lain disertai bakat, semangat dan pengorbanan yang luar biasa.
Di Bolgna Mancini mula bertemu dengan orang-orang yang dianggapnya istimewa. Menerima dan mengambil berat tentang dirinya. Pada tahun 1981 kelab mula meletakannya sebagai pemain masa depan.
Jaringan pertamanya muncul kurang sebulan selepas dia diberi peluang bermain bersama pasukan utama. Pada musim pertamanya Mancini mengumpul 9 gol, pada usia 16 tahun.
Menarik minat Sampdoria
Sampdoria mula tertarik dengan kemampuan yang dimiliki Mancini dan mahu membawanya kesana. Sampdoria sanggup membayar €1.5 juta untuk mendapatkan Mancini. Amaun itu bersamaan €40 juta pada hari ini.
Malah Sampdoria memberi 4 pemain remaja kepada Bologna sebagai tambahan. Pada masa yang sama bekas pengarah sukan Bologna yang berhijrah ke Genoa memujuknya supaya menyertai kelabnya.
Sejak itu Mancini mula berfikir dia tidak mahu menjadi apa-apa lagi selain pemain bola sepak. Mancini merasakan dia telah merealisasikan impianya apabila melihat Sampdoria sanggup membayar mahal untuk mendapatkannya.
Walaupun Mancini masih sedar dia perlu mengembangkan kariernya sebagai pemain bola sepak dan masih percaya semuanya boleh berakhir dengan sekelip mata jika dia sudah merasa selesa.
Di Sampdoria Mancini mencipta sejarah bersama individu yang sangat dikagumi iaitu presiden kelab, Paolo Mantovani.
Kadang-kadang Mancini terfikir orang seperti Mantovani tidak pernah wujud. Mancini cukup mengagumi Mantovani.
Mancini berkata, pada kebiasaanya Mantovani hanya bercakap sekali setahun, tetapi ketika dia membuka mulut, dia cukup yakin. Dua patah perkataannya sudah cukup untuk sampai ke dalam hati para pemain.
Gandingan Mancini-Viali
Di Sampdoria Mancini membina persefahaman kuat dengan rakan penyerang, Gianluca Vialli. Kedua-dua mempunyai kebolehan berbeza namun saling melengkapi antara satu sama lain.
Mancini dan Viali membentuk the goal twins. Bagi Mancini melakukan bantuan gol seperti menjaringkan gol, Viali lebih kepada penjaring gol.
Mancini mengenali Viali sejak mereka bersama dalam pasukan Itali B21 tahun. Viali juga beberapa kali menyarankannya menyertai Sampdoria.
Sampdoria muncul juara Serie A pada musim 1990/91 dan bermain di Champions League pada musim berikutnya. Sampdoria mara ke final, Mancini berhadapan Barcelona yang memiliki Johan Cryuff dan Pep Guardiola.
Sampdoria tewas 0-1 apabila Ronald Koeman berjaya menjaringkan gol pada masa tambahan (m112) dan ia menjadi kekecewaan paling diingati Mancini.
Sampdoria dan Mancini tahu peluang tersebut tidak selalu muncul, ia mungkin peluang pertama dan terakhir bakal diperolehi pasukannya.
Selepas itu Mantovani melihat kelab perlu menjual beberapa pemain untuk mendapatkan wang bagi membina Sampdoria baru. Pada pra musim 1993 Mantovani memulakan projek barunya.
Mancini menyaksikan beberapa pemain meninggalkan kelab dan dia masih ingat perbualan telefonnya bersama presiden kelab.
“Encik presiden, saya akan pergi juga (tinggalkan Sampdoria). Bagaimana kita boleh menang tanpa mereka.”
Mantovani hanya menjawab sila pergi dan terus memutuskan panggilan telefon.
Mantovani membawa masuk beberapa pemain baru seperti David Platt, Vladimir Jugovic, Ruud Gullit dan Alberico Evani. Dia perlu menjual ramai pemain tetapi membuat keputusan untuk tidak menjual Mancini.
Malangnya projek Mantovasi tidak tergendala, dia meninggal dunia pada Oktober 1993.
Scudetto pertama dan ke-2 Mancini
Kejuaraan Serie A pertama diaraih oleh Mancini berlaku pada tahun 1990/91 selepas 8 tahun dia bersama kelab itu. Sampdoria menewaskan Napoli iaitu pasukan yang diwakili Diego Maradona yang memenangi Serie A pada musim sebelumnya.
Keyakinan itu muncul selepas Sampdoria bangkit dari ketinggalan dan melakar kemenangan ketika menentang Napoli. Pada saat itulah Mancini yakin Sampdoria mempunyai kemampuan menjuarai liga dan ianya berlaku.
Pada tahun 1997 Mancini memutuskan untuk menyertai Lazio. Lazio dibimbing oleh Sven Goran Eriksson dan ia menjadi faktor kuat untuk Mancini pergi kesana.
Mancini pada ketika itu berusia 32 tahun dan dia mahu mengakhiri kariernya disana. Walaupun ramai peminat melihat kariernya sudah berakhir namun Mancini percaya dia masih boleh menyumbang kepada pasukan.
Bersama pemain seperti Anttilio Lambardi, Jun Sebastian Veron dan Sinisa Mihajlovic Lazio memenangi Serie A. Ia merupakan Scudetto ke-2 dalam almari Mancini.
Disamping itu Mancini juga meraih medal Cup Winners Cup, Coppa Italia sebanyak 2 kali, Supercoppa Italia dan Super Cup.
ITALI
Di peringkat antarabangsa Mancini menjaringkan 9 gol bersama Itali B21 tahun. Mancini mendapat debut bersama skuad senior pada Mei 1984. Kariernya bersama Azzuri berjalan selama 10 tahun. Mancini bersara pada Mac 1994 dari pentas antarabangsa.
Pada kejohanan Piala Eropah 1988 Mancini menyumbang 4 gol. Mancini sebenarnya berharap dia bermain lebih banyak bersama negaranya namun ianya tidak berlaku.
Dari pemain ke bidang kejurulatihan
Pada usia 36 tahun Mancini memutuskan untuk bersara sepenuhnya sebagai pemain bola sepak profesional. Dia mula terlibat dengan dunia kejurulatihan -menyertai Eriksson di Fiorentina sebagai penolong pengurus.
Ketika musim 2000/01 sedang berjalan persiden Fiorentina memintanya melatih kelab secara penuh. Mancini terus memenangi Coppa Italia bersama kelab tersebut.
Selepas itu Mancini berhijrah ke Lazio, Mancini berkata kelab ini banyak memberi kenangan baik sepanjang berada disana baik sebagai pemain dan pengurus.
Namun Mancini mempunyai cabaran besar apabila Lazio mengalami krisis kewangan dan kelab kehilangan pemain bintang seperti Alessandro Nesta.
Mancini menerapkan kepercayaannya pemain perlu gembira dalam latihan untuk mendapatkan hasil terbaik. Mancini membantu Lazio layak ke Champions League.
Selepas itu Mancini dilantik sebagai pengurus Inter bermula musim 2004/05. Inter sedang mengalami kemarau trofi -kali terakhir menang pada tahun 1998.
Pada musim pertamanya disana, Mancini menamatkan kempen di tempat ke-3 dibelakang Juventus dan AC Milan, pada akhirnya AC Milan dinobatkan sebagai juara selepas Juventus dilanda kontroversi kes mengatur perlawanan.
Selepas itu Mancini memacu Inter Milan menang 3 kali Serie A secara berturut-turut disamping 2 trofi Coppa Italia dan 1 kali Supercoppa Italia.
Beberapa bulan terakhir di Inter, Mancini mula memikirkan mahu mencari cabaran baru di luar Itali.
Mengembara ke negara lain
Selepas memutuskan berpisah dengan Inter Mancini keluar dari Itali menyertai Manchester City yang sedang melakukan projek besar dibawah pemilikan barunya.
Mancini menggantikan Mark Hughes yang dipecat pada pertengahan musim. Manchester City menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) di tempat ke-5.
Pada tahun 2011 Mancini meraih trofi pertama bersama Manchester City apabila menrangku Piala FA. Ia merupakan penantian panjang oleh kelab itu yang tidak pernah menang apa-apa sejak 35 tahun sebelumnya.
Seterusnya Mancini berjaya membantu Manchester City menjuarai EPL. Musim dimana semua orang mengingati bagaimana Sergio Aguero menjaringkan gol pada masa kecederaan dan memintas Manchester United.
Di England Mancini belajar menjadi pengurus pasukan sepenuhnya berbanding Itali yang lebih kepada kerja jurulatih.
Mancini mula memahami beberapa aspek penting dalam menguruskan kelab yang sangat terkait dengan dunia luar dan perniagaan.
Mancini meninggalkan Manchester City dengan kata-kata perpisahan baik dari para penyokongnya dan media disana.
Dari Turki kembali ke Itali
Selepas meraih pengalaman di England dan Itali Mancini dijemput oleh presiden Galatasaray, Unal Aysal melatih kelab tersebut menggantikan Fatih Terim.
Selama 8 bulan disana Mancini menang Piala Turki dan menamatkan kempen liga di tangga ke-2. Bagi Mancini ia merupakan peluang baginya melihat budaya baru dan mengenali negara tersebut.
Mancini tidak pernah terfikir dia akan kembali melatih Inter. Pihak kelab telah memanggilnya dan membentang projek kelab dan ia menarik minat Mancini untuk kembali.
Inter jatuh ke tangga ke-8 Serie A berbanding tempat ke-5 musim sebelum dia hadir. Bagaimanapun Mancini memperbaiki catatan itu apabila menamatkan musim 2015/16 di tangga ke-4.
Tidak lama selepas itu Mancini menerima anugerah ‘Italian Football Hall of Fame dalam kategori jurulatih. Kemudian Mancini mengembara ke Rusia menyertai kelab gergasi, Zenith Saint Petersburgh.
Mancini kurang berjaya disana namun namanya diangkat untuk melatih pasukan kebangsaanya menggantikan Gian Piero Ventura yang merekod sejarah terburuk apabila gagal layak ke Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah negaranya.
Sejak 2018 Mancini mengubah Itali dari pasukan tidak layak ke Piala Dunia kepada pasukan tidak kalah dalam 30 perlawanan dan tidak bolos selama 990 minit. Kini Mancini sedang berada dalam kejohanan Piala Eropah dalam jangkaan yang tinggi.
Sumber Asal: My Story Roberto Mancini