Kisah Sungguh Menginspirasikan Tentang Calon Pemain Baru Liverpool

Luis Diaz pada ketika ini semakin hangat dikaitkan dengan bakal menandatangani perjanjian bersama Liverpool.

Beliau dilaporkan hanya mahu menyertai Liverpool sahaja walau ada beberapa kelab lain yang turut berusaha mendapatkan khidmatnya.

Menurut sumber laporan dari Sky Sports, Liverpool pada ketika ini sedang berada dalam situasi terbaik untuk menandatangani bintang Porto itu.

The Reds membuat tawaran bernilai £45 juta untuk mendapatkan pemain sayap Colombia itu, secara tak langsung menyingkirkan persaingan dari Tottenham Hotspur yang terlebih dahulu menghantar bidaan.

Diaz dilaporkan lebih berminat untuk ke Anfield berbanding menyertai Tottenham Hotspur, dengan gergasi Merseyside itu turut sudah menghantar wakil ke Argentina untuk melengkapkan penandatanganan bintang Colombia itu.

Jika tiada masalah, beliau bakal diumumkan sebagai pemain Liverpool dalam tempoh satu ke dua hari ini sebelum jendela perpindahan Januari ditutup.

Penyokong Liverpool mungkin hanya kenal beliau sebagai bintang Colombia yang beraksi bersama FC Porto, tanpa mereka sedar Diaz sebenarnya ada kisah perjalanan yang sungguh menginspirasikan.

Dibesarkan di sebuah wilayah yang diabaikan oleh kerajaan Colombia

Diaz sebenarnya telah dibesarkan di sebuah kawasan di La Guajira yang mana ia terletak di sempadan Venezuela.

Kebanyakan penduduk di sana merupakan dari suku Wayuu dan suku tersebut merupakan puak yang tidak dipedulikan oleh kerajaan Colombia.

Dek kerana terlalu terbiar, maka ramai kanak-kanak dari suku Wayuu ini mati ketika kecil dan langsung tak sempat menikmati kehidupan dewasa.

Mereka merupakan suku terbiar dan jelas sekali kanak-kanak merupakan golongan paling terkesan dengan mereka tidak memiliki zat yang mencukupi.

The Mail melaporkan yang ada data menyatakan bahawa seramai 4,770 kanak-kanak dari suku Wayuu telah meninggal dunia dek kerana kekurangan zat makanan.

Dari tahun 2008 hingga 2016, kerajaan Colombia sepertinya sudah menganggap bahawa suku tersebut tidak wujud dan kerana itu mereka bergelut untuk meneruskan kehidupan pada ketika itu.

Ketika berada di kampung halamannya di Baranncas, tiada aktiviti lain yang boleh dilakukan oleh Diaz melainkan membuat kerja-kerja kampung.

Atas alasan sama jugalah Diaz dahulu mempunyai tubuh badan yang terlalu kurus dan ramai yang tidak percaya beliau mampu menjadi pemain bola sepak profesional.

Masalah berat badannya yang membimbangkan

Perjalanan karier Diaz untuk menjadi pemain bola sepak profesional jelas sekali tidak mudah, dengan beliau bergelut dengan masalah berat badannya yang terlalu ringan.

Ya terlalu ringan, dan hal itu berlaku kerana beliau terlalu kurus dek kerana kekurangan zat makanan ketika membesar di kampung halamannya.

Beliau turut dianggap seperti tengkorak hidup dan tiada siapa yang percaya bahawa Diaz akan mampu menjadi pemain bola sepak profesional pada ketika itu.

Salah seorang jurulatih terawal Diaz, John Pocillo Diaz memberitahu BBC bahawa:

“Ada satu ketika, kami fikir adalah sangat sukar untuk dia bermain kerana ‘Lucho’ nampak terlalu kurus.”

“Dia terlalu kurus dan memang akan kalah dalam situasi perebutan bola dengan pemain lawan. Tapi selain itu, dia antara paling menyerlah berbanding 400 calon lain dan dia terpilih sebagai 26 pemain utama.”

Diaz terpilih untuk mewakili Colombia dalam aksi Copa America yang dianjurkan oleh kaum asli di Amerika Selatan dan beliau berjaya menjaringkan dua gol untuk membawa negaranya ke aksi perlawanan akhir.

Apa yang menariknya, bakat beliau pada ketika itu telah dikenal pasti oleh legenda terhebat sepanjang zaman Colombia, Carlos Valderrama.

Ketika berusia 17 tahun, Luis Diaz menyertai sesi pemilihan untuk mewakili suku orang asli Colombia ke aksi saingan Copa America pada tahun 2015.

Ketika sesi pemilihan tersebut beliau sudah berjaya mencuri perhatian ramai dan pada masa sama jugalah Carlos Valderrama nampak potensi serta bakat yang beliau miliki.

Diaz berhutang budi dengan Barranquilla

Seperti yang didakwa sebelum ini, masalah badannya yang terlalu kurus telah menyebabkan Diaz tidak dipandang dan tidak dianggap layak untuk menjadi pemain bola sepak profesional.

Kerana nampak potensi yang ada pada bintang Porto itu, sebuah kelab dari liga division kedua saingan bola sepak Colombia, Barranquilla telah memilih untuk menandatangani beliau.

Sepanjang bersama Barranquilla, Diaz telah diberikan diet yang sihat dalam usaha pihak kelab mahu membantu beliau menaikkan berat badannya.

Barranquilla berjaya membantu Diaz menaikkan berat badannya sebanyak 10 kg sepanjang kariernya di sana dan hal itu benar-benar membantu beliau untuk lebih mencuri perhatian ramai.

Apa yang lebih menakjubkan, kelab dari Colombia itu sememangnya menandatangani Diaz hanya untuk membantu beliau mendapatkan fizikal yang lebih baik agar beliau boleh menjadi bintang besar dalam dunia bola sepak.

Bermula dari situlah beliau mula dipandang oleh kelab-kelab gergasi dan antara kelab yang pernah berusaha mendapatkan khidmatnya adalah Cardiff City.

Percaya atau tidak, Diaz sebenarnya sudah hampir untuk sertai pasukan dari England pada musim 2018/19 yang lalu, namun beliau menolak untuk menerima tawaran dari Cardiff.

Beliau sebaliknya lebih memilih untuk mengikuti jejak langkah bintang Colombia lain seperti James Rodriguez dan Radamel Falcao dengan melengkapkan perpindahan menyertai Porto setahun selepas beraksi bersama Zenit St Petersburg.

Kini, selain Cardiff beliau juga telah menolak tawaran dari Tottenham Hotspur secara terang-terangan kerana mahu memilih untuk menyertai Liverpool.

Beliau merupakan antara pemain terpenting untuk skuad Porto pada ketika ini, dan seandainya Liverpool benar-benar berjaya mendapatkan khidmatnya, maka ia jelas pelaburan yang sangat berbaloi.

Antara pencapaian terbaik Luis Diaz sepanjang kariernya adalah ketika kejayaan beliau memenangi anugerah kasut emas ketika aksi Copa America 2021.

Satu hal yang paling menakjubkan, Luis Diaz sebenarnya berjaya berkongsi kedudukan dengan Lionel Messi sebagai penjaring terbanyak saingan Copa America 2021.

Bintang Colombia itu merupakan satu-satunya pemain selain Messi yang mampu menjaringkan empat gol termasuk gol lipat ketika bertemu Brazil.

Lionel Messi bukan hanya membantu Argentina untuk memenangi gelaran Copa America, bahkan beliau turut berjaya menyapu bersih semua anugerah lain yang dipertandingkan, termasuk anugerah kasut emas yang beliau kongsi bersama Luis Diaz.

Sumber: GMS

BACA:  Champions League 2021/22: Liverpool 2-0 Villarreal