Klop Ketawa Besar Dapat Tahu Liverpool Bida Mbappe

Pengurus Liverpool Jurgen Klopp ketawa besar apabila mendapat tahu mengenai laporan Liverpool sedang duduk berbincang dengan PSG untuk mendapatkan Kylian Mbappe selama semusim secara pinjaman.

Seperti semua sedia maklum, Mbappe kini hanya mempunyai baki kontrak selama semusim bersama PSG dan keenggannya menandatangani kontrak baharu bersama kelab Ligue 1 itu melangkaui Jun 2024 telah menimbulkan pelbagai spekulasi.

Real Madrid dipercayai adalah kelab pilihan Mbappe. Tetapi Sepanyol itu tidak mempunyai sumber kewangan untuk mendapatkan penyerang Perancis itu di jendela perpindahan musim panas ini.

Kelab Sepanyol itu dipercayai sudah bersepakat dengan Mbappe untuk pemain itu menyertai mereka secara percuma pada musim hadapan – sesuatu yang PSG mahu elakkan.

Terdesak enggan melihat Mbappe pergi secara percuma, timbul idea PSG membenarkan Mbappe menyertai kelab lain secara pinjaman, setelah pemain itu menolak peluang untuk menyertai kelab Arab Saudi.

Liverpool, Chelsea dan Man Utd antara kelab yang dikaitkan dengan proses tersebut. Pada hujung minggu lalu media di UK gempar apabila wakil daripada kelab Merseyside dikatakan mendahului perlumbaan untuk mendapatkan Mbappe.

Ditanya mengenai kemungkinan Liverpool mendapatkan Mbappe, ini kata-kata Klopp:

“Kami ketawa besar [mendengar] berita itu.

“Saya boleh katakan dia adalah pemain yang sangat hebat, tetapi daripada segi kewangan dia bukan pemain yang sesuai untuk kami.

“Nampaknya saya sudah merosakkan cerita [laporan] itu, tetapi apa yang saya tahu setakat ini, laporan itu tiada kebenaran.

“Tetapi ia masih satu kemungkinan [Mbappe ke Anfield] jika ada pihak di kelab ini menyembunyikan sesuatu dan cuba memberikan kejutan kepada saya.

“Perkara sebegitu tidak pernah berlaku sepanjang tempoh 8 tahun saya di sini. Mungkin ini kali pertama.

BACA:  Szoboszlai Kongsi Bagaimana Rutin Di Padang Latihan Bantu Cetus Gol Pertama Untuk Liverpool