Klopp Akui Pasukannya Akan Dinilai Berdasarkan Trofi Yang Mereka Menangi

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengakui beliau akan dinilai berdasarkan jumlah trofi yang beliau menangi walaupun baru sahaja melalui kempen liga yang cukup luar biasa bersama Liverpool musim ini.

Klopp mengakui jumlah trofi yang dimenanginya sepanjang bergelar pengurus Liverpool akan menjadi kayu ukur karier beliau di Merseyside.

Klopp akui masanya bersama Liverpool akan dinilai dengan trofi

Bekas pengurus Borussia Dortmund itu berpeluang memenangi trofi pertama beliau di Anfield apabila Liverpool turun menentang Tottenham Hotspurs dalam pentas final Liga Juara-Juara Eropah malam ini di Madrid.

Sepanjang bergelar pengurus, Klopp hanya pernah memenangi perlawanan akhir sebanyak sekali, iaitu pada tahun 2012 ketika Dortmund menumpaskan Bayern Munich untuk menjulang trofi DFB Pokal.

Selepas itu, Klopp berjaya mara ke perlawanan akhir sebanyak 6 kali bersama Dortmund dan Liverpool tetapi gagal memenangi kesemuanya.

Musim lalu menyaksikan Liverpool dikecewakan Real Madrid dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah dan sudah tentu Klopp tidak mahu pisang berbuah dua kali bagi edisi tahun ini.

Kali terakhir Klopp memenangi perlawanan akhir adalah pada tahun 2012. Lama benorr

Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino turut mempertahankan rekod Klopp sebagai pengurus, sambil menyifatkan Klopp tidak wajar dinilai berdasarkan dua pentas final Liga Juara-Juara Eropah yang gagal dimenanginya sebelum ini.

Walaupun Klopp bersetuju dengan pendapat Pochettino, pengurus berusia 51 tahun ini sedar beliau akan dinilai berdasarkan trofi yang dimenanginya.

“Saya rasa pendapat Pochettino betul tetapi itu bukan perkara paling utama. Sebenarnya, luar daripada sini, peminat berhak untuk menilai kami berdasarkan apa yang telah kami menangi dan gagal menangi.”

“20 tahun akan datang, tiada siapa yang akan bercakap mengenai musim kami yang menakjubkan kecuali jika ada pasukan yang mampu mengutip 97 mata. Tetapi bagi saya sebagai seorang manusia, ia akan kekal dalam memori buat selama-lamanya.”

“Mungkin itu yang dikehendaki Pochettino tetapi realiti dunia hari ini berbeza dan anda perlu menerimanya.”

“Untuk menilai jurulatih berdasarkan apa yang beliau menangi merupakan perkara yang mengarut kerana setiap jurulatih berada dalam situasi yang berbeza. Setiap jurulatih mempunyai pasukan yang berbeza. Kami perlu berjuang menentang perkara yang berlainan.”

Sejak mengambil alih tugas pengurus di Anfield pada Oktober 2015, Klopp sudah tewas dalam 3 perlawanan akhir, termasuk final Liga Juara-Juara Eropah musim lalu.

Namun begitu, Klopp percaya trofi bukan satu-satunya perkara yang boleh digunakan untuk menilai seseorang pengurus.

“Kebanyakan kami jurulatih menilai antara satu sama lain bukan berdasarkan trofi. Bukan disebabkan kebanyakan kami tidak memenangi trofi,tetapi kami tahu apa tugas kami.”

“Saya tidak boleh cakap Pep Guardiola adalah yang terbaik, walaupun itu yang saya rasa ketika ini kerana beliau sentiasa memenangi liga dimana sahaja beliau berada.”

“Saya menganggap Guardiola sebagai pengurus terbaik kerana bola sepak yang dimainkan beliau dan perkara yang beliau sedang lakukan.”

BACA:  Klopp Penuh Emosi Tanya Bekas Pemain City 'Kau Pernah Main Bola Tak?'