Klopp Kritik Anak Buahnya Selepas Tersingkir Dari Saingan Piala FA

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengkritik bahagian pertahanan Liverpool selepas pasukannya disingkirkan oleh West Bromwich Albion dalam pusingan ke-4 Piala FA awal pagi tadi.

Liverpool kecundang di hadapan penyokong sendiri selepas West Brom bangkit dari ketinggalan pada awal perlawanan untuk keputusan akhir 3-2.

Bek tido

Perlawanan tersebut berlangsung agak kelam-kabut dengan pengadil sering menggunakan ‘Video Assistant Referee’ untuk menilai sesuatu keadaan. Dalam satu insiden dalam kotak penalti, pengadil telah menghadiahkan penalti kepada Liverpool selepas merujuk VAR apabila Mohamed Salah dijatuhkan dalam kotak penalti.

Insiden ini mengambil masa yang agak lama untuk ditentukan dan telah mengundang rasa tidak puas hati pemain dan pengurus West Brom, Alan Pardew. Malang buat Liverpool apabila Roberto Firmino gagal menyempurnakan sepakan penalti tersebut.

Firmino terlebih dahulu membuka jaringan perlawanan dengan merembat bola lambung menewaskan Ben Foster yang tidak berada di kedudukan yang sepatutnya. Kegembiraan penyokong The Reds tidak berkekalan lama kerana Jay Rodriguez berjaya menjaringkan gol penyamaan tidak lama selepas itu.

Insiden penalti Firmino mengambil masa yang agak lama untuk diputuskan

Rodriguez sekali lagi menjaringkan gol buat West Brom untuk menjadikan kedudukan 2-1 selepas menerima umpanan dari bek kiri, Kieran Gibbs dalam kotak penalti. Liverpool bertambah malang apabila West Brom sekali lagi menjaringkan gol sebelum tamat separuh masa pertama menerusi jaringan sendiri Joel Matip untuk kedudukan 3-1.

Mohamed Salah berjaya menjaringkan gol kedua Liverpool pada minit ke-78 tetapi ianya sudah terlambat dengan West Brom kental bertahan untuk menyingkirkan anak buah Jurgen Klopp dari saingan Piala FA di hadapan penyokong mereka sendiri.

Ketika bercakap kepada pemberita selepas tamat perlawanan, Klopp menyalahkan barisan pertahanan pasukannya yang gagal bermain dengan baik tetapi mengakui West Brom berhak menang perlawanan tersebut.

West Brom bermain baik dan berhak menang. Bukan Liverpool

“Pada waktu-waktu genting sebelum West Brom menjaringkan gol, kami bermain cukup buruk. Kami tidak bertahan dengan baik. Pertahanan yang buruk bermakna kami kerap melakukan beberapa keputusan yang salah.”

“Ini merupakan perlawanan yang sukar menentang lawan yang berpengalaman. Sejujurnya, West Brom berhak menang. Saya tidak gemar mengakuinya tetapi ini adalah kebenaran. Mereka berhak menang dan pujian harus diberikan kepada West Brom.”

“Ini bukanlah kekalahan pertama saya dan juga bukan perlawanan pertama yang saya sangat inginkan kemenangan tetapi kalah. Ini perasaan yang teruk tetapi ia adalah perkara yang wajar buat saya dan para pemain.”

BACA:  Liverpool Ada Satu Masalah dan Namanya Adalah Fabinho