Klopp: Salah Dalam Landasan Yang Tepat Untuk Berada Di Tahap Messi

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berkata Mohamed Salah berada dalam landasan yang tepat untuk dibandingkan dengan Lionel Messi selepas pemain itu menjaringkan 4 gol ketika Liverpool mencatatkan kemenangan 5-0 ke atas Watford awal pagi tadi.

Dalam pertembungan Liga Perdana Inggeris di Anfield, Salah membuktikan mengapa beliau adalah pemain terbaik di England ketika ini selepas terlibat dalam kesemua jaringan Liverpool. Roberto Firmino berjaya menjaringkan satu gol hasil hantaran Salah dari sebelah sayap kanan.

Salah ku makin berbisa

Persembahan Salah dalam perlawanan awal pagi tadi mengembalikan ingatan penyokong Liverpool terhadap Luis Suarez dimana pemain antarabangsa Uruguay ini adalah pemain terakhir yang berjaya menjaringkan 4 gol dalam satu perlawanan di Anfield.

Ketika ditemuramah wartawan selepas tamat perlawanan, Klopp telah ditanya sama ada Salah mampu berada di tahap pemain terbaik dunia sebanyak 5 kali, Lionel Messi.

“Saya rasa Mo dalam perjalanan untuk mencapai tahap itu. Saya tidak rasa Mo atau pemain lain di luar sana mahu dibandingkan dengan Lionel Messi. Messi adalah pemain yang berada di tahap tertinggi untuk satu tempoh yang cukup lama.”

“Hanya seorang sahaja pemain yang saya tahu mempunyai pengaruh terhadap persembahan pasukan seperti Messi dan pemain tersebut adalah Diego Maradona.”

Messi bakal berdepan cabaran Salah untuk meraih Ballon D’Or ke-6

“Tetapi Mo masih pemain yang fantastik buat kami. Seperti biasa kita lihat dalam kehidupan, jika anda mahu diangkat setaraf dengan Messi, anda harus melakukannya secara konsisten. Mo adalah pemain yang sangat bagus dan telah banyak membantu pasukan ini.”

“Pemain Liverpool yang lain gembira dapat bermain dengan beliau. Mo juga gembira bermain dalam pasukan ini. Beliau berjaya menyumbang 4 gol dan saya rasa itu adalah pencapaian yang sangat menakjubkan.”

“Kami perlu menghadapi dan mengatasi situasi yang sukar dalam perlawanan tadi. Permukaan padang agak licin. Semua pemain merana dengan situasi tersebut tetapi bukan Mo. Ia membuatkan pemain ini bertambah istimewa.”

Watford gagal menampilkan persembahan yang baik dan peluang terbaik mereka hanya hadir apabila sepakan percuma pemain tengah, Roberto Pereyra terkena tiang ketika Liverpool sudah menjaringkan 3 gol tanpa balas.

36 gol setakat ini. Memang berbaloi-baloi

“Saya sangat gembira dengan keputusan ini dan juga persembahan pasukan. Saya ada membuat analisi mengenai permainan Watford ketika mereka menentang Arsenal tempoh hari dan mereka adalah pasukan yang sukar untuk dihadapi.”

“Mereka tewas 3-0 dalam perlawanan tersebut tetapi ia merupakan perlawanan yang sengit. Sama seperti yang anda lihat dalam perlawanan tadi. Kami tidak benarkan mereka melakukan perkara yang mereka mahu lakukan, dan saya sangat gembira dengan keputusan perlawanan.”

Salah kini telah mengumpul 36 gol buat Liverpool dalam semua pertandingan dan muncul pemain terbanyak menjaringkan gol dalam musim pertama sepanjang sejarah Liverpool.

BACA:  Klopp Anggap Gol Neves Tak Aci Kerana Wolves Melepasi Garisan Tengah