Klopp: Tiada Siapa Tahu Setakat Mana Keupayaan Sebenar Shaqiri

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp memuji persembahan Xherdan Shaqiri sepanjang beraksi untuk Liverpool dan mendakwa tiada pihak dapat menjangka keupayaan sebenar Shaqiri.

Liverpool berjaya mendapatkan Shaqiri dari Stoke City pada harga sekitar £13 juta, iaitu jumlah yang sangat rendah jika diambil kira harga pemain dalam pasaran sekarang. Terdapat satu klausa dalam kontrak Shaqiri yang menetapkan beliau boleh berpindah keluar pada harga tersebut sekiranya Stoke tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris dan itulah yang berlaku musim lepas.

Tahap sebenar Shaqiri masih menjadi tanda tanya banyak pihak. Mungkin boleh menjadi sehebat Messi , atau sekadar Safiq Rahim

Pemain antarabangsa Switzerland itu sudah mula menunjukkan persembahan yang cemerlang untuk Liverpool walaupun baru sahaja menyertai kelab tersebut beberapa bulan yang lalu.

Klopp menamakan Shaqiri dalam kesebelasan utama bagi dua perlawanan terakhir Liverpool menentang Huddersfield dan Red Star Belgrade. Shaqiri membalas kepercayaan yang telah diletakkan terhadapnya dengan menghasilkan assists dalam kedua-dua perlawanan.

Klopp juga memuji persembahan Shaqiri ketika Liverpool mencatatkan kemenangan 4-0 ke atas Red Star Belgrade dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah dan percaya tiada siapa tahu setakat mana Shaqiri mampu berkembang sebagai seorang pemain.

Stoke terpaksa melepaskan Shaqiri pada harga durian runtuh kerana klausa relegasi yang ada dalam kontrak pemain tersebut

“Saya tidak rasa sesiapa tahu betapa bagusnya persembahan Shaqiri untuk Liverpool buat masa sekarang.”

Walaupun baru berusia 27 tahun, Shaqiri kerap berpindah dari satu kelab ke kelab yang lain dan pernah beraksi dengan pasukan ternama Eropah seperti Bayern Munich dan Inter Milan.

“Saya sudah mengenali beliau ketika beliau berusia 19 tahun bermain untuk Bayern Munich. Pada masa itu, beliau sudah dianggap sebagai antara pemain yang memiliki bakat yang hebat.”

“Tahun pertamanya di Bayern berlangsung dengan sangat baik, tetapi tahun kedua tidak berapa baik. Selepas itu beliau berpinda keluar dan hilang dari radar buat seketika. Inter Milan dan kemudian Stoke.”

“Menandatangani Shaqiri merupakan tindakan yang logik buat kami. Shaqiri masih bukan artikel yang lengkap. Beliau masih mempunyai ruang untuk menjadi lebih baik dan itu merupakan perkara yang baik.”

Pernah beraksi untuk Basel, Bayern Munich, Inter Milan dan Stoke sebelum menyertai Liverpool.

“Shaqiri memberikan Liverpool suatu kelainan. Setakat ini, kami masih belum menggunakan sepenuhnya kemahiran beliau dalam mengambil sepakan percuma tetapi dari apa yang saya lihat, beliau memiliki teknik yang menakjubkan.”

Liverpool akan melayan kunjungan Cardiff City di tempat sendiri malam ini dan Klopp sedar hanya kemenangan sahaja yang mereka perlukan sekiranya mahu terus menekan kedudukan Manchester City di persada liga.

BACA:  Carragher Digantung Sky Sehingga Tamat Musim Ini Berhubung Insiden Meludah Peminat Manchester United