Klopp Tidak Gembira Dengan ‘Terjunan’ Salah Ketika Tumpas Di Tangan Chelsea

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menegur tindakan Mohamed Salah yang melakukan ‘diving’ ketika mereka tumpas 1-0 di tangan Chelsea dalam aksi Liga Perdana Inggeris yang berlangsung di Stamford Bridge semalam.

Kekalahan tersebut menyebabkan Liverpool gagal mengesahkan tempat untuk beraksi di Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan dan memberi sinar harapan kepada Chelsea untuk memintas mereka dalam perebutan slot untuk bermain di kejohanan tersebut.

Tindakan Salah cuba melakukan terjunan jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang melarang umatnya menipu.

Dalam perlawanan tersebut, tandukan bekas penyerang Arsenal Olivier Giroud pada babak pertama sudah cukup untuk memberikan 3 mata berharga kepada pasukan tuan rumah. Ini bermakna Liverpool harus menewaskan Brighton dalam perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris bagi memastikan tempat untuk bermain di Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.

Insiden yang mencetuskan rasa tidak puas hati Klopp berlaku pada hujung babak pertama apabila Salah ‘menjatuhkan badan’ hampir dengan kawasan kotak penalti. Dalam usaha Salah untuk  menggelecek Gary Cahill, beliau merebahkan badan bagi mendapatkan ehsan dari pengadil supaya memberikan penalti atau sepakan percuma kepada Liverpool.

Mujurlah pengadil perlawanan bijak menganalisis situasi tersebut dan memberikan kad kuning kepada pemenang anugerah Pemain Terbaik PFA musim ini. Ulang tayang juga menunjukkan keputusan pengadil adalah tepat dan Salah melakukan diving untuk mendapatkan penalti.

“Ia merupakan satu ‘terjunan’ atau Salah menunggu sentuhan dari pemain lawan. Saya tidak pasti yang mana satu. Saya tidak mahu melihat tindakan tersebut daripadanya dan saya tahu Salah juga tidak mahu melakukannya. Kadang kala ia berlaku.”

Salah yang baru sahaja diumumkan sebagai pemenang pemain terbaik tahunan oleh PFA dan FWA mempunyai satu lagi baki perlawanan untuk menambah koleksi gol beliau musim ini, seterusnya memecahkan rekod gol terbanyak dalam Liga Perdana Inggeris dalam satu musim.

Selepas mengharungi 37 perlawanan, Salah telah berjaya menjaringkan 31 gol, 4 gol melebihi pencabar terdekat Harry Kane tetapi penyerang England itu mempunyai kelebihan satu perlawanan berbanding Salah.

Semoga Salah tidak mengulangi aksi tidak senonoh tersebut dan memecahkan rekod jaringan EPL dalam semusim

Salah kini terikat dengan 3 pemain yang pernah menjaringkan 31 gol dalam sejarah Liga Perdana Inggeris iaitu Alan Shearer (1995-1996), Cristiano Ronaldo (2007-2008) dan Luis Suarez (2013-2014).

Walaubagaimanapun, bekas pengendali Borussia Dortmund itu percaya Salah akan menamatkan ‘kemarau’ gol beliau dengan menjaringkan gol ketika menentang Brighton hujung minggu ini.

“Salah mampu mempamerkan aksi yang lebih bagus. Saya tidak meragui beliau akan kembali menjaringkan gol tidak lama lagi.”

Walaupun Liverpool masih lagi berkuasa untuk menentukan tempat mereka bermain di Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan, tempat ke-3 mungkin tidak akan menjadi milik mereka sekiranya Tottenham berjaya menewaskan Newcastle Rabu nanti.

BACA:  Mourinho: Lukaku Tahu Beliau Mampu 'Ayamkan' Lovren Sebelum Perlawanan