Kylian Mbappe Mahu Bersara Dari Skuad Perancis Di Usia 22 Tahun

Bintang Paris Saint Germain, Kylian Mbappe telah mendedahkan yang beliau ketika ini sedang mempertimbangkan untuk bersara dari pentas bola sepak antarabangsa bersama skuad kebangsaan Perancis.

Pada musim panas lalu, Mbappe gagal membantu Perancis untuk mara lebih jauh dalam saingan Euro 2020, dengan beliau gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika bertemu Switzerland di pusingan 16 terbaik.

Beliau juga pada ketika itu mempunyai masalah dengan rakan sepasukannya, Olivier Giroud, dengan Mbappe mendakwa bekas bintang Chelsea itu tidak mahu menghantar bola kepadanya ketika aksi perlawanan pembukaan bertemu Jerman.

Mbappe yang ketika itu sememangnya bengang dengan Giroud memutuskan untuk bersuara secara terbuka tentang apa yang beliau tidak puas hati.

Terdapat juga laporan pada musim panas lalu yang menyatakan ego Mbappe sebenarnya telah membawa kesan negarif terhadap pasukan.

Nama Kylian Mbappe sememangnya menjadi sebut-sebutan para peminat pada ketika itu, dengan ramai yang menyalahkan beliau sebagai punca tersingkirnya Perancis dari saingan Euro 2020.

Baru-baru ini, bintang berusia 22 tahun itu telah mendedahkan tentang hasratnya yang mahu bersara dari pentas bola sepak antarabangsa.

“Saya sentiasa meletakkan bola sepak Perancis di posisi paling atas dari segalanya dan saya sentiasa meletakkannya di tempat tertinggi dalam hati saya.”

Jelas Mbappe kepada L’Equipe, menurut Get French Football News.

“Saya tak pernah ambil walau satu sen pun untuk bermain bersama skuad kebangsaan Perancis dan saya akan sentiasa bermain untuk skuad kebangsaan saya secara percuma sahaja. Paling penting, saya tak pernah mahu menjadi masalah.”

“Tapi pada ketika saya rasa seolah saya dianggap masalah dan semua orang rasa saya bermasalah….”

“Perkara paling penting sekali adalah pasukan bola sepak Perancis dan jika skuad kebangsaan Perancis gembira tanpa saya, biarkan lah begitu.”

Mbappe yang sedang menghampiri untuk membuat penampilan ke-50 bersama skuad kebangsaan Perancis, mengakui kegagalan menyempurnakan sepakan penalti di Bucharest merupakan titik kejatuhan beliau dalam kariernya.

Ia berlaku ketika Perancis mendahului 3-1 sehingga minit ke-80 permainan, dan dengan tiba-tiba Switzerland berjaya melakukan comeback untuk mengikat kedudukan 3-3.

Kegagalan beliau untuk menyempurnakan sepakan penalti telah menyebabkan Mbappe menerima gangguan serta hinaan berunsur perkauman.

“Saya sangat sayang dengan skuad kebangsaan Perancis dan saya meletakkannya di atas sekali. Apa yang mengejutkan saya, sekali lagi, saya dipanggil monyet kerana gagal sempurnakan penalti.”

“Sebab itu saya perlukan sokongan, bukan kerana saya menyepak ke kiri dan Sommer berjaya selamatkannya, itu semua tanggungjawab saya, kaki saya yang melakukan semua itu.”

“Saya kena boo di semua stadium di Perancis (ketawa). Selain itu, ia bukan hanya kerana penalti, ada juga kerana melibatkan urusan perpindahan, tapi apa yang pasti, saya sentiasa kena boo dekat stadium.”

Bekas pemain Monaco itu merupakan antara nadi utama skuad kebangsaan Perancis ketika menjulang Piala Dunia, dan baru-baru ini beliau menjadi pemain paling kontroversi.

Mbappe walau bagaimanapun mengatakan yang beliau tiada masalah dengan Giroud dan sangat gembira melihat bintang AC Milan itu kembali sertai skuad kebangsaan dan pecahkan rekod jaringan Thierry Henry.

“Ia berlanjutan, semuanya kerana orang yang bercakap tentang itu.”

Sambung Mbappe lagi, untuk menjelaskan tentang bagaimana masalah kecil beliau dan Giroud diperbesarkan oleh pelbagai pihak.

“Saya akan beritahu kamu kebenaran. Malam itu, saya memang marah, tapi dua hari kemudian, saya sudah langsung tidak fikir tentang hal itu. Saya luahkan pada dia, saya beritahu dia apa saya mahu katakan, dan selepas itu, semuanya berakhir.”

“Walau bagaimanapun, ia berlarutan, dan ia kerana media, orang yang sentiasa menjadi bayang-bayang kepada masalah ini, tapi antara kami tak ada masalah.”

“Saya ada pendapat berbeza, ya, tapi itu diluahkan kepada umum kerana ia bermula secara umum.”

“Kerana ia sudah bermula dari umum, saya perlu habiskan secara terbuka, ia sangat mudah. Tapi saya tak ada masalah dengan dia, saya sentiasa doakan yang terbaik untuk dia, saya gembira melihat dia beraksi baik di Milan.”

“Jika dia kembali bersama skuad kebangsaan Perancis, saya berlapang dada menerima dia. Dia sudah sangat hampir untuk pecahkan rekod Thierry Henry, sangat memalukan jika kita tidak beri dia peluang itu.”

Selain mahu bersara dari dunia bola sepak antarabangsa, Mbappe juga sudah mengesahkan yang beliau sememangnya mahu meninggalkan Paris Saint Germain pada jendela perpindahan musim panas akan datang.

Real Madrid sudah tentu menjadi destinasi pilihan utamanya, dan Mbappe sudah boleh menandatangani pra kontrak pada jendela perpindahan Januari ini, kerana kontrak asalnya akan tamat pada musim panas nanti.

Sumber: SPORTbible

BACA:  IFAB Kemaskini Peraturan Ofsaid