Reaksi Mbappe Ketika Tom Holland Mengajak Beliau Sertai Spurs Sungguh Priceless

Bintang Paris Saint Germain, Kylian Mbappe ketawa besar depan muka Tom Holland ketika pelakon Spider-Man: No Way Home itu mengajak beliau untuk sertai Tottenham Hotspur.

Holland merupakan penyokong tegar Tottenham Hotspur dan beliau baru-baru ini bertemu dengan pemain penyerang Perancis, Kylian Mbappe di majlis penyampaian anugerah Ballon D’or 2021 di Theatre du Chatelet di Paris.

Pelakon Inggeris yang kini berusia 25 tahun itu mengakui yang Mbappe sebenarnya seorang yang sangat peramah dan mudah untuk diajak bergurau.

Dek kerana melihat sikap ramah pemain berusia 22 tahun itu, Tom Holland memutuskan untuk mengajaknya menyertai Tottenham Hotspur.

Bercakap kepada rakan ‘sekerja’ beliau yang juga merupakan bintang utama Spider-Man: No Way Home, Zendaya di LADbible TV, Holland menyatakan bahawa:

“Kami jumpa Mbappe. Saya kata, ‘Hey, gembira jumpa kamu.’

“Dia sangat peramah, jadi saya kata, ‘kawan, kamu perlu datang ke Tottenham,’ dan dia terus ketawa besar depan muka saya.”

Video rakaman Mbappe ketawa besar depan muka Holland sambil kata perpindahan beliau ke kelab London itu tidak mungkin akan berlaku tular di media sosial pada ketika ini.

“Tak, mustahil. Itu mustahil!”

Jawab Mbappe sambil ketawa besar melihat Tom Holland.

Walau dapat reaksi seperti itu, Tom Holland seharusnya rasa bangga kerana beliau lebih berani untuk pelawa Mbappe ke Tottenham Hotspur berbanding Daniel Levy yang hanya beri tumpuan untuk gagalkan perpindahan Harry Kane.

Mungkin Tom Holland sedar yang satu-satunya harapan untuk lihat Spurs akan mampu menjulang Piala adalah dengan mendapatkan bintang-bintang handalan dunia seperti Kylian Mbappe.

Nampak tak usaha seorang penyokong tu macam mana?

Kontrak Kylian Mbappe bersama Paris Saint Germain akan tamat pada musim panas tahun hadapan, dan beliau kini bebas untuk tandatangani pra kontrak bersama mana-mana pasukan di luar Perancis bermula Januari ini.

Pemenang Piala Dunia 2018 itu merupakan prospek terhangat pada jendela perpindahan musim panas nanti, dengan Real Madrid dilaporkan pasukan kegemaran yang bakal mendapatkan khidmatnya.

Los Blancos pernah menghantar bidaan bernilai £171.7 juta kepada PSG untuk mendapatkan khidmat Kylian Mbappe pada jendela perpindahan musim panas yang lalu.

PSG ketika itu menolak tawaran dari Real Madrid di hari terakhir sebelum jendela perpindahan ditutup itu dengan alasan kerana mereka mahu berusaha memujuk Mbappe agar menandatangani kontrak baru bersama kelab.

Kylian Mbappe sepertinya tetap tidak mahu menandatangani kontrak baru bersama kelab, dengan beliau tetap dengan pendiriannya untuk meninggalkan kelab pada musim panas akan datang.

Liverpool juga merupakan pasukan yang sangat berminat untuk mendapatkan khidmat Kylian Mbappe, namun melihat kepada gaji beliau, sepertinya agak mustahil untuk perpindahan itu berlaku.

Kylian Mbappe sendiri turut pernah mendedahkan yang beliau juga sememangnya mahu ke Santiago Bernabeu selepas kariernya bersama PSG berakhir nanti.

Jadi, tidak hairanlah andai Mbappe akan terus terbang ke Sepanyol pada musim panas nanti, sebaik kontrak beliau bersama Paris Saint Germain tamat.

Bercakap mengenai Tom Holland, beliau kini sedang sibuk mempromosikan filem terbarunya itu dengan panggung wayang seluruh dunia sudah mula menyiarkan Spider-Man: No Way Home.

Holland selain berusaha memujuk Kylian Mbappe untuk sertai Tottenham Hotspur, beliau turut mendedahkan pemain bola sepak yang paling beliau minat.

Tom Holland menamakan bintang Korea Selatan, Son Heung-min sebagai pemain bola sepak paling beliau minati.

“Sonny merupakan pemain bola sepak kegemaran saya. Saya peminat tegar dia.”

Jelas Tom Holland kepada media Korea.

“Dia bermain dengan sangat baik. Saya ada perjumpaan dengan Bong Joon-ho hari itu, dan kami semua bercakap tentang Sonny.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Neymar Kantoi Like Post Yang Mengutuk Kylian Mbappe