PSG Pelan Balas Dendam Hilang Mbappe Dengan Cubaan Dapatkan 4 Pemain Real Madrid

Kontroversi melibatkan Kylian Mbappe telah menghiasai laporan media dalam dan luar negara sejak beberapa minggu yang lalu.

Semuanya kerana penyerang antarabangsa Perancis itu tidak berhasrat untuk menyambung kontrak bersama kelab Ligue 1 itu sehingga memaksa mereka meletakkan pemain itu di dalam senarai untuk dijual.

Mbappe boleh meninggalkan PSG sebagai ejen bebas sekiranya memilih untuk tidak menyambung kontrak bersama PSG yang akan tamat pada Jun 2024.

PSG pula percaya Mbappe sebenarnya sudah bersepakat dan mempunyai perjanjian dengan Real Madrid menyebabkan pemain itu enggan dijual – memilih untuk kekal di Parc des Princess sehingga kontrak tersebut tamat.

Situasi itu sememangnya tidak disenangi oleh PSG. Apatah lagi Mbappe enggan melayan sebarang rundingan daripada mana-mana kelabs setakat ini, termasuk daripada kelab Arab Saudi, Al Hilal.

Kecewa dengan perbuatan Real Madrid yang melakukan rundingan daripada pintu belakang untuk mendapatkan Mbappe, PSG kini merancang untuk membalas dendam dengan mendapatkan 4 pemain bintang Los Blancos.

Laporan oleh Sport mendedahkan empat pemain yang kini berada di dalam radar kelab Perancis itu adalah Eduardo Camavinga, Aurelien Tchouameni, Rodrygo dan pemain muda, Nico Paz.

Real Madrid sudah tentu tidak mempunyai perancangan untuk melepaskan kempat-empat pemain tersebut.

Laporan tersebut bagaimanapun mengatakan PSG tidak peduli dengan pendirian Real Madrid, dan kini mulai melakukan perancangan untuk memikat keempat-empat pemain sebagai tindakan balas dendam.

Pada masa ini Mbappe dilihat akan kekal bersama PSG selama semusim dan hanya akan berpindah ke Estadio Santiago Bernabeu pada musim hadapan.

Sama ada Mbappe menyertai Real Madrid dalam masa terdekat atau pada musim hadapan, PSG dikatakan sudah tidak peduli dan kekal dengan pendirian akan melakukan sesuatu sebagai tindak balas.

BACA:  Kemuliaan Hati Benzema Tawarkan Kesempatan Untuk Rodrygo Catat Hat-trick