Kylian Mbappe Diarah Jalani Latihan Bersama Skuad Simpanan PSG Bermula Hari Ini

Kylian Mbappé dilarang menyertai latihan skuad utama Paris Saint-Germain (PSG) dan kelab tersebut mengarahkan penyerang antarabangsa Perancis itu menyertai latihan skuad simpanan pasukan itu bermula hari ini.

Tindakan drastik itu dilakukan oleh kelab Ligue 1 Perancis tersebut sebagai tindak balas berkaitan kontroversi melibatkan kontrak pemain itu yang bermula sejak bulan lalu.

PSG kembali menjalani latihan di pusat latihan kelab selepas selesai jelajah pra musim di Jepun dan Korea Selatan, namun Mbappe jelas tidak lagi berada di dalam perancangan jurulatih, Luis Enrique.

Sumber daripada PSG yakin Mbappe sudah mempunyai persetujuan untuk menyertai Real Madrid pada musim panas akan datang setelah baki kontrak setahun tamat pada Jun 2024.

Mbappe pula difahamkan enggan melakukan rundingan untuk kekal di Parc des Princess melangkaui tempoh kontrak sedia ada.

Ini akan membenarkannya menyertai kelab baharu sebagai ejen bebas pada jendela perpindahan musim panas akan datang.

Sebelum ini PSG dilaporkan telah memberi kebenaran kepada Al Hilal untuk berbincang terus dengan Mbappe selepas kelab itu menerima bidaan rekod dunia berjumlah £259 juta pada bulan lalu.

Walaupun demikian Mbappe tetap bertegas enggan menemui delegasi daripada Al Hilal walaupun wakil daripada Arab Saudi itu sudah berada di Paris.

Al Hilal dilaporkan bersedia untuk menawarkan kontrak mewah bernilai £700 juta seminggu, dengan klausa kontrak yang membenarkan pemain itu menyertai Real Madrid selepas semusim.

PSG akan memulakan kempen baharu Ligue 1 2023/24 menentang Lorient pada Sabtu hadapan.

BACA:  Mbappe Tidak Akan Sampai Ke Tahap GOAT Seperti Messi