Si Pemimpin Wataru Endo, Adakah Dia boleh Menyelesaikan Masalah NO6 Liverpool?

Wataru Endo telah menjadi pemain baharu ketiga Liverpool dalam jendela perpindahan pemain musim ini. Sebelum ketibaannya, Liverpool telah membeli Alexis Mac Allister dan Dominic Szobozslai.

Kemudian, secara tiba-tiba Jordan Henderson dan Fabinho telah menarik minat dari kelab Arab Saudi. Henderson mahu pergi kesana disamping Liverpool tidak mampu menolak tawaran sebanyak £40 juta untuk Fabinho.

Liverpool membuat langkah perlahan dalam usahanya mendapatkan Romeo Lavia. Kemudian mereka beralih kepada Moises Caicedo sebelum kembali kepada Lavia selepas Caicedo memilih Chelsea.

Pada akhirnya Lavia juga memilih untuk pergi ke Chelsea dan Liverpool terpaksa membuat pembelian panik ketika jendela perpindahan bakal ditutup kurang dari 2 minggu lagi.

Dengan kekurangan masa Liverpool membeli Endo pada harga £16.3 juta. Satu harga yang mahal untuk seorang pemain berusia 30 tahun, tiada nilai jualan semula dan pemain pelan jangka pendek.

Endo bukanlah satu nama yang terkenal dalam bola sepak Inggeris dan sejak perpindahan telah dimuktamadkan, penyokong ingin mengetahui lebih lanjut tentang siapa dia.

Berapa banyak masalah bahagian-tengah defensif Liverpool mampu diselesaikannya.

Pencarian pemain NO6 menjadi keperluan mendesak selepas Liverpool melepaskan Fabinho. Hanya Fabinho satu-satunya specialist NO6 dalam pasukan itu.

Endo bukan lah satu prospek muda yang menarik. Lavia, Caicedo, Ryan Gravenberch (Bayern Munich) dan Khephren Thuram (Nice) antara nama yang sentiasa dilihat ideal dengan Liverpool

Endo berada dalam kumpulan pemain yang berbeza, di satu sisi lain dia sudah stabil dan mempunyai pengalaman luas.

Liverpool terpaksa menilai semula profil pemain sasarannya selepas gagal mendapatkan Caicedo dan Lavia. Kelab itu tidak mempunyai masa untuk berfikir lagi.

Selepas mengeluarkan ramai pemain pada musim ini, purata umur bahagian-tengah Liverpool telah menurun dengan ketara (24 tahun) dengan hanya Thiago berusia yang 32 tahun.

Jadi, pengalaman Endo dilihat sebagai aset atau keperluan baharu selepas kehilangan Fabinho, Jordan Henderson dan James Milner.

Cuma agak jarang Liverpool sanggup membayar mahal untuk seorang pemain yang berada dalam usia 30an.

Hanya Thiago yang didatangkan pada skala harga itu (£25 juta/29 tahun) sejak ketibaan Ragnar Klavan (£4.2 juta) dari Augsburg pada tahun 2016.

Liverpool mungkin telah kehilangan “lighthouse” dan “Dyson” (2 gelaran Fabinho) tetapi Endo tiba dengan banyak gelaran iaitu “soldier”, “warrior”, “heartbeat” dan “bodyguard”.

Nampaknya Endo lebih hebat dari Fabinho dari sudut nama samaran.

Endo boleh beroperasi di dua posisi utama iaitu pemain-tengah dan pemain-tengah bertahan. Pada musim lepas dia memainkan dua peranan itu dengan seimbang di Stuttgart.

Endo juga pernah digunakan sebagai bek-tengah tetapi ia bukan posisi pertama atau keduanya kecuali keadaan benar-benar terdesak. Endo dikenali sebagai pemain NO8 defensif atau half 6/8.

Di Stuttgart, Endo sangat disayangi oleh para penyokongnya. Dia dikenali sebagai seorang pemain yang profesional dan mempunyai dedikasi tinggi.

Sentiasa cergas dan boleh dipercayai menjadi ciri-ciri utama Liverpool membuat keputusan untuk membelinya. Dari sudut itu, Endo akan menyertai Mac Allister dan Szoboszlai yang juga mempunyai rekod kecergasan baik.

Sejak 3 musim lepas Endo hanya terlepas 3 perlawanan, bermain dalam 99 dari 102 perlawanan. 3 perlawanan tersebut kerana penggantungan, Covid dan cedera-gegaran otak). Dia pandai menjaga badannya.

Stuttgart amat sedih melihat Endo pergi namun mereka telah lama tahu dia berada di tahap yang lebih tinggi daripada kelab itu sendiri. Endo juga sudah lama memasang impian untuk bermain di Liga Perdana.

“Sebagai pemain dan seorang individu, dia amat berharga,” kata bekas pengarah sukan Stuttgart, Sven Mislintat pada 2021.

“Dia adalah salah satu anchor, focal point dalam sistem kami. Sama ada dia bermain sebagai bek-tengah atau sebagai pemain-tengah bertahan, ia bagus untuk dia berada di situ dan beraksi.”

Pada tahun 2019, Mislintat membawa pemain Jepun itu ke Stuttgart dari kelab Belgium Sint-Truidense secara pinjaman. Kemudian mereka membelinya secara kekal.

Dia telah menyertai pasukan Belgium itu setahun lebih awal selepas memulakan kariernya di J.League bersama Shonan Bellmare dan Urawa Red Diamonds.

Ketika Endo tiba di Jerman, Tim Walter (pengurus) merasakan dia tidak cukup bagus. Dia hanya bermain beberapa minit sahaja dalam 11 perlawanan pertamanya di Bundesliga 2.

Apabila Endo mendapat peluang berada dalam kesebelasan utama menentang Karlsruhe, ia telah mengubah nasibnya. Sejak itu dia kekal sebagai pilihan utama.

Mislintat pernah bekerja bersama Klopp di Borussia Dortmund. Mislintat memegang jawatan ketua penjejak bakat (scout). Mereka membina hubungan kuat dan sehingga hari ini mereka masih kerap berhubung.

Mislintat seseorang yang dipercayai dan pendapatnya dihargai oleh Klopp. Mislintat berkemungkinan telah mengesyorkan Endo kepada Liverpool.

Jorg Schmadtke (pengarah suka Liverpool) mempunyai pengetahuan luas tentang Bundesliga, pandangannya juga menjadi kunci pembelian ini. Dia juga mempunyai hubungan rapat dengan Mislintat.

Liverpool hilang elemen kepimpinan dalam pasukannya selepas Henderson dan James Milner pergi. Endo pula mempunyai ciri-ciri kepimpinan, dia merupakan kapten Stuttgart dan skuad kebangsaan Jepun.

Endo seorang yang pemalu dan merendah diri. Dia jarang bercakap tetapi apabila dia bercakap, pada kebiasaannya ia akan memberi kesan.

Soalan penting ialah berapa banyak masalah NO6 yang dihadapi Liverpool boleh diselesaikan oleh Endo?

Berikut adalah pencapaian Endo pada musim lepas di Stuttgart. Dia bermain sebanyak 2,891 minit dan ketika itu dia berusia 29 tahun.

Defending; 76/99 (ariel duels quantity), 70 (defending intensity) 56 (defending impact), 40 (disrupting opponent moves), 29 (ball recoveries & interceptions)

Possession; 56/99 (progressive passing), 55 (link up play volume), 52 (carry & dribble volume), 42 (ball retention ability)

Attacking; 67/99 (xG from shot creation), 61 (shot volume), 59 (xG from ball creation), 57 (receptions in opponent box)

Pada musim itu Endo terlibat dengan 2 posisi utama iaitu pemain-tengah bertahan (56%) dan pemain-tengah (46%). Ini menunjukkan Endo seorang pemain yang seimbang.

Endo tidak mempunyai satu ciri yang terlalu menonjol. Dia seorang pemain serba lengkap (well rounder) dan selesa dengan penguasaan, pertahanan aktif, menyokong serangan dan boleh melakukan percubaan.

Endo dibeli untuk dijadikan sebagai pemain NO6. Endo boleh beroperasi dalam peranan itu tetapi dengan pivot berkembar.

Pada musim 2020-21, dia membentuk gandingan dengan Orel Mangala. Endo melindungi bahagian pertahanan sementara itu Mangala lebih agresif di bahagian hadapannya.

Dengan sistem 3-box-3 Liverpool, Endo mempunyai Trent Alexander-Arnold yang akan bersamanya ketika pasukan menguasai bola atau dalam fasa menyerang.

Liverpool akan kembali kepada bentuk (shape) 4-3-3 bertahan apabila pihak lawan membina serangan. Endo akan beroperasi sebagai pivot tunggal dan dia perlu melindungi lebih banyak kawasan.

Keupayaan Endo tidak begitu sempurna tetapi dia adalah seorang pemain defensif yang cukup aktif, intensiti bertahan 91/99.

Endo tidak akan lelah dengan tugasnya, seorang pemain yang mempunyai kecerdasan taktikal untuk membaca permainan, mengesan bahaya, memintas hantaran dan menutup ruang terbuka.

Sejak berada di Bundesliga, Endo berada di kedudukan pertama dalam tugas memenangi penguasaan di satu pertiga-bertahan (defensive third) – 254 kali.

Menang pertarungan (ariel duels) – 219 kali, mengeluarkan bola dari kawasan bahaya melalui kepala (headed clearance) – 105 kali.

Dia berada di tangga kedua untuk menang penguasaan di satu pertiga-tengah (middle third) – 404 kali dan bentesan (tackle) – 208 kali.

Bermain dengan Stuttgart adalah berbeza dengan Liverpool kerana kelab itu adalah pasukan pertengahan liga. Sudah semestinya Endo perlu menangani lebih banyak serangan dari pihak lawan.

Apa yang ditunjukkan oleh data adalah Endo boleh melakukan tugas itu.

Untuk peranan yang lebih kebawah, Endo gemar meletakkan bola ke bahagian-atas melalui hantaran progresif; 69/99 atau secara sendirian; 58/99.

Sejak 2020-21, dia pemain kedua paling banyak menyentuh bola (touches) – 6,511 kali dan mempunyai hantaran berjaya (complete passes) – 3,940 kali.

Endo mampu menawarkan ancaman dalam serangan. Dia mempunyai jangkaan gol (xG) yang mengagumkan; 81/99.

Ini menyerlahkan keupayaannya untuk memasukkan bola ke kawasan berbahaya, mencipta peluang dan melakukan percubaan.

Sepanjang pramusim, Liverpool mempunyai kaitan dengan ramai pemain-tengah. Tidak pasti mereka mahu mendapatkan pengganti Fabinho yang mempunyai profil yang sama atau berbeza.

Secara perbandingannya, Endo dan Fabinho merupakan pemain yang cukup berbeza. Kekuatan Fabinho adalah kelemahan Endo dan begitu juga sebaliknya.

Endo lebih progresif dalam penguasaan manakala Fabinho adalah sebaliknya. Fabinho tidak akan mengambil risiko dalam melakukan hantaran, dia hanya bermain hantaran pendek dengan rakan sepasukan.

Fabinho tidak seaktif Endo tetapi dia mempunyai impak lebih kuat dalam bertahan. Endo lebih berkesan dalam mematikan serangan lawan, sebelum lawan benar-benar menyerang.

Endo hanya mempunyai ketinggian 178 sentimenter dan wujud tanda tanya bagaimana dia boleh menangani fizikal di Liga Perdana namun dia mempunyai kadar menang ariel duels yang baik – purata 1 menang untuk setiap 2 minit.

Kesimpulan

Pembelian Endo tidak akan memberi jawapan tepat sehingga perlawanan Liga Perdana tidak memasuki ke minggu 10. Dengan Endo seorang, dia tidak akan menyelesaikan kesemua masalah NO6 Liverpool hadapi.

Ia cuma pembaikan jangka pendek dan Liverpool perlu terus mencari pemain lain pada jendela seterusnya. Liverpool perlu mendapatkan seorang pemain muda, berpotensi tinggi untuk bersama Endo.

Masalah Liverpool sekarang adalah kuota non-homegrown mereka semakin hampir dengan hadnya. Endo merupakan pemain ke-16 dari 17 pemain yang dibenarkan. Cuma memasukkan Endo hanya mengambil kuota Fabinho.

Prestasi Fabinho semakin menurun dan penjualannya pada harga £40 juta adalah satu urusniaga yang baik. Mendapatkan penganti yang lebih tua adalah satu tindakan yang kurang menyakinkan.

Hanya masa yang akan menentukan sama ada ini adalah keputusan yang betul. Endo mungkin sebagai tambahan bijak yang boleh menutup lubang ternganga dalam skuad Liverpool.

Sama ada dia akan memberi impak yang cukup untuk menjadikan Liverpool sebagai pasukan pencabar kejuaraan, ianya sukar dinilai pada masa ini.

Tetapi dia sekurang-kurangnya boleh menyediakan keselamatan jika Liverpool gagal mendapatkan pemain sasaran utamanya pada masa yang tepat.

BACA:  Jentera Serangan Liverpool Terlalu Handal Untuk Ditandingi