La Liga R-28: Barcelona 4-0 Mallorca

Barcelona menang mudah menewaskan Mallorca awal pagi tadi dengan ketua pasukan mereka, Lionel Messi berjaya meledak satu jaringan serta dua bantuan jaringan membantu pasukannya menang 4-0.

Barcelona membuka tirai jaringan pada minit ke-2 perlawanan menerusi Arturo Vidal sebelum Martin Braithwaite menggandakan jaringan untuk pasukan 35 minit kemudian.

Martin Braithwaite membuktikan kata-kata beliau sebelum ini benar dengan mempamerkan aksi mantap untuk Barcelona dalam perlawanan awal pagi tadi.

Beliau dilihat sudah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk kembali beraksi selepas berehat hampir tiga bulan kerana saingan bola sepak digantung.

Luis Suarez turut melakukan penampilan pertama beliau sejak Januari lalu kerana berehat akibat dari kecederaan yang agak serius.

Pada minit ke-79, Jordi Alba berjaya menjaringkan gol ketiga untuk pasukan Barcelona selepas menerima hantaran dari ketua pasukannya, Lionel Messi.

Lionel Messi melengkapkan kemenangan besar Barcelona keatas Mallorca dengan menjaringkan gol keempat ketika perlawanan masuk ke masa kecederaan.

Barcelona kini memiliki kelebihan lima mata di puncak liga mengatasi Real Madrid yang bakal turun berhadapan Eibar awal pagi esok.

Penangguhan saingan liga bola sepak akibat dari penularan wabak Koronavirus telah memberi ruang untuk Luis Suarez kembali pulih dari kecederaan yang beliau alami selepas menjalani proses pembedahan lutut pada Januari lalu.

Suarez tampak bersedia dan beliau kelihatan lebih berbisa dalam perlawanan ini, penyerang kebangsaan Uruguay itu banyak kali menguji gawang Mallorca.

Tetapi sebaik sahaja Vidal membuka tirai jaringan untuk Barcelona diawal minit permainan, Martin Braithwaite berjaya mencuri tumpuan dengan mempamerkan aksi yang memukau.

Braithwaite ditandatangani oleh Barcelona di luar jendela perpindahan sebenar dan ianya dibenarkan dalam peraturan La Liga.

Barcelona menandatangani Braithwaite kerana mahu menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Luis Suarez dan Ousmane Dembele yang ketika itu mengalami kecederaan.

Mallorca sebenarnya jelas menguasai kawalan bola dalam perlawanan ini namun sayangnya mereka gagal untuk memberikan ancaman yang berbahaya ke gawang Barcelona.

Terdapat satu insiden yang juga menjadi tumpuan dalam perlawanan ini dengan kehadiran seorang penyokong yang memakai jersi Argentina berjaya masuk ke dalam padang walaupun perlawanan berjalan dalam stadium tertutup.

Aksi Lionel Messi dalam perlawanan ini juga wajar dipuji dengan ketua pasukan Barcelona itu berjaya mencatatkan dua assist dan satu jaringan membantu pasukannya menang besar dalam perlawanan tersebut.

Messi telah berjaya terlibat dalam 15 dari 18 jaringan Barcelona sejak dikendalikan oleh Quique Setien. Beliau mencatatkan tujuh assist dan lapan jaringan sepanjang tempoh tersebut.

Jaringan Messi dalam perlawanan ini merupakan jaringan Ke-20 beliau dalam saingan La Liga musim ini.

BACA:  Messi Terpaksa Berehat 3 Minggu Akibat Patah Tulang Tangan Kanan, Bakal Terlepas El-Clasico