Lapan Pemain One Season Wonder Di Premier League

Mo Salah pernah dikatakan sebagai pemain one season wonder satu ketika dahulu, namun sehingga kini beliau masih mempamerkan aksi hebatnya bersama sang penakluk dunia.

Apa itu one season wonder?

One season woner ini merujuk kepada pemain yang handal semusim sahaja. Musim seterusnya pemain itu kembali menjadi buta kayu.

Terbaru, Squawka telah mengumpul data-data beberapa pemain one season wonder yang pernah beraksi dalam premier league.

Dari kesemua data diperoleh, mereka telah menyenaraikan lapan pemain yang Benar-benar hebat dalam satu musim kemudian hancur.

Berikut adalah senarai lapan one season wonder paling tersohor dalam sejarah persepak bolaan Inggeris.

8. Benjani Mwaruwari

Nama Benjani Mwaruwari meningkat naik ketika bersama pasukan Portsmouth. Beliau berjaya menjaringkan 12 gol untuk Portsmouth dalam saingan liga musim 2007/08.

Dengan kehebatan yang dipersembahkan, beliau telah ditandatangani oleh Manchester City musim berikutnya.

Namun sepanjang bersama City satu-satunya kenangan yang kekal bersemadi dalam fikirannya adalah keraian ikonik beliau dalam aksi Manchester Derby.

Selain dari itu hanyalah kisah pemain yang terlepas banyak peluang gol dan gagal mendapatkan prestasi terbaiknya.

Mwaruwari kemudian menyertai Sunderland secara pinjaman, dan gagal menjaringkan sebarang gol.

Seterusnya beliau menyertai Blackburn Rovers dan menyertai Portsmouth semula. Tetapi kisahnya tetap sama. Beliau gagal!

Menurut Harry Redknapp, Mwaruwari tak pernah ingin pergi dari Portsmouth kerana sudah selesa di sana. Namun kelab terpaksa menjual kerana krisis kewangan.

7. Benni McCarthy

Benni McCarthy merupakan legenda Afrika Selatan, beliau juga pernah beraksi mantap ketika bersama pasukan Blackburn Rovers.

Pada musim 2006/07, beliau telah menyumbangkan 18 gol untuk Blackburn Rovers, satu gol melebihi Cristiano Ronaldo.

Namun tidak tahun mengapa, kariernya merudum dan beliau bergelut untuk mendapatkan prestasi terbaiknya selepas itu, termasuk ketika bersama dengan West Ham dan juga ketika bersama pasukan Orlando Pirates.

6. Asamoah Gyan

Selepas tamat kempen Piala Dunia 2010, pemain dari Ghana yang sungguh ikonik dengan nombor 3 ini telah menandatangani perjanjian bersama Sunderland.

Sunderland beruntung mendapatkan pemain bintang Piala Dunia itu. Gyan beraksi sangat cemerlang dalam edisi Piala Dunia ketika itu.

Gyan berjaya menjaringkan 10 gol dalam saingan Liga untuk pasukan Sunderland pada kempen 2010/11.

Musim berikutnya beliau sudah tidak menjumpai jaring gol. Gyan tidak berhasil menjaringkan sebarang gol pada musim 2011/12.

Kerana mendapat tawaran lumayan dari Al Ain, Gyan bertekad untuk tidak mahu beraksi lagi bersama pasukan Sunderland.

Atas alasan yang sama beliau meninggalkan Al Ain untuk menyertai pasukan dari China, Shanghai SIPG.

Kariernya terus tenggelam. Pada tahun 2019 beliau menyertai Kayserispor dan kemudian menyertai pasukan Indian Super League iaitu NorthEast United.

5. Michu

Michu antara pemain one season wonder paling terkenal dalam sejarah premier league. Sebut sahaja namanya pasti para peminat akan ingat sejarahnya.

Hebatnya pemain bernama Michu, beliau berjaya menjaringkan 18 gol untuk Swansea City dalam debutnya di saingan Premier League musim 2012/13.

Pada ketika itu, Swansea menerima bidaan £20 juta dari Arsenal untuk mendapatkan Michu selepas usaha Arsene Wenger untuk mendapatkan Luis Suarez menemui kegagalan.

Namun Swansea menolaknya kerana merasakan mereka patut mendapat sekurang-kurangya £25 juta untuk Michu.

Atas aksi hebat yang dipamerkan Michu turut dipanggil untuk menyertai pasukan kebangsaan Sepanyol ketika itu.

Namun kecederaan telah membunuh kariernya. Swansea mungkin patut menerima sahaja bidaan £20 juta daripada Arsenal itu.

Beliau hanya menjaringkan 2 gol pada musim 2013/14. Selepas melalui karier yang sukar, Michu bersara pada 2017.

4. Marcus Stewart

Marcus Stewart mungkin satu nama yang ganjil bagi peminat bola sepak masa kini, namun untuk peminat Liga Perdana era 2000-an, pemain ini pasti cukup dikenali.

Beliau berjaya menjaringkan 19 gol untuk Ipwsich Town pada musim 2000/01. Tak hairanlah beliau dipanggil mewakili pasukan England.

Stewart berjaya membantu pasukannya layak ke UEFA Cup / Europa League untuk musim berikutnya. Hebat bukan?

Namun selepas dari itu, beliau tidak dapat lagi menjadi peledak gol utama untuk pasukannya.

Marcus Stewart kemudian menyertai Sunderland. Tetapi beliau terus gagal untuk mendapatkan rentak kehebatannya semula.

3. Andy Johnson

Nama yang peminat PES 6 takkan lupa. Pemain yang pernah menggegar liga utama dengan 21 gol pada musim 2004/05.

Hanya Thierry Henry yang mampu mengatasi beliau ketika itu. Berpeluh juga King Henry nak kalahkan dia.

Andy Johnson kemudian dipanggil menyertai pasukan kebangsaan England. Namun pada musim berikutnya nama beliau tenggelam.

Johnson kemudian menyertai beberapa pasukan lagi termasuk Everton, Fulham dan Queens Park Rangers.

Johnson kembali semula ke Palace pada 2014. Dan kemudian bersara. Beliau dianggap legenda oleh peminat Crystal Palace dan kini menjadi duta kelab.

2. Amr Zaki

Sebelum Mo Salah digelar Egyptian King, Amr Zaki pernah diberikan gelaran yang serupa pada satu ketika dahulu oleh peminat Wigan.

Beliau menyertai Wigan secara pinjaman dan telah menjaringkan 5 gol daripada 6 penampilan pertamanya termasuk voli luar biasa di Anfield.

Wigan Athletic mahu mendapatkan beliau secara tetap. Namun Amr Zaki enggan menerima tawaran daripada Steve Bruce kerana menurutnya dia perlu mendapatkan gaji lebih besar.

Zaki kemudian pulang semula ke negaranya, dan menunggu tawaran dari pasukan yang lebih besar daripada Wigan.

Malangnya beliau tidak menerima tawaran dari mana-mana pasukan gergasi Eropah lalu kariernya terus merudum tanpa khabar berita.

Beliau dilaporkan bersara pada tahun 2015 ketika beraksi untuk pasukan Arab Contractors.

1. Roque Santa Cruz

Pasti ramai peminat bola sepak yang mengenali sosok bernama Roque Santa Cruz ini. Beliau adalah pemain pertama dalam senarai beli Manchester City sewaktu menerima pelaburan dari Thaksin Shinawatra satu ketika dahulu.

Selain dari City, Santa Cruz turut menjadi pemain rebutan untuk kebanyakkan pasukan gergasi Eropah pada ketika itu.

Segalanya hanya kerana aksi luar biasa beliau bersama dengan Blackburn Rovers pada musim 2007/08. Di mana beliau menjaringkan 19 gol ketika itu.

Namun selepas berpindah ke Man City, nama beliau terus tenggelam dan kemudian menyertai Malaga serta kelab Mexico, Cru Azul pada 2015.

Kini beliau sedang bermain untuk kelab Paraguay, Olimpia.

BACA:  Premier League 2020/21: Liverpool 3-1 Arsenal