Legenda Liverpool Bertaruh Mandi Bogel ‘Live’ Kalau Mbappe Ke Anfield

Bekas bintang Liverpool, Jose Enrique mendedahkan yang beliau akan terjun dalam kolam renang sambil berbogel secara langsung di laman instagram miliknya, andai Kylian Mbappe tandatangani kontrak bersama The Reds.

Masa depan Kylian Mbappe di ibu kota Perancis itu dilihat agak samar-samar pada ketika ini, selepas beliau menolak untuk menandatangani tawaran lanjutan kontrak dari kelab.

Kontrak semasa beliau bersama Paris Saint Germain akan tamat pada 2022 nanti, dan pihak kelab sudah berusaha sehabis daya untuk memastikan bintang muda Perancis itu tandatangani kontrak baru.

Menurut laporan terbaru dari Perancis, pemain berusia 22 tahun itu bakal meninggalkan saingan Ligue 1 pada musim panas ini selepas beliau menolak untuk menandatangani tawaran lanjutan kontrak dari kelab.

PSG sangat terdesak untuk memastikan Mbappe tidak ke mana-mana dan terus kekal bersama kelab, dengan mereka turut menandatangani beberapa bintang berprofil tinggi dalam usaha untuk memujuknya.

Kelab telah menandatangani Lionel Messi, Gianluigi Donnarumma, Sergio Ramos, Achraf Hakimi, dan Georginio Wijnaldum dalam usaha untuk memujuk Mbappe agar menandatangani kontrak baru.

Walau bagaimanapun, hal itu sama sekali tidak mengubah keputusan Mbappe dengan beliau tetap menolak tawaran kontrak baru dan bertegas mahu meninggalkan kelab.

Pemain kebangsaan Perancis itu telah hangat dikaitkan bakal menyertai Real Madrid, namun RMC Sport melaporkan yang ada sebuah pasukan dari England yang identiti mereka dirahsiakan sangat berminat untuk menandatangani Mbappe.

RMC Sport turut menambah lagi yang PSG telah menawarkan kontrak lanjutan selama lima tahun pada Mbappe, yang mana termasuk lanjutan setahun lagi jika beliau berminat.

Walau bagaimanapun, perjanjian baru itu meletakkan pemenang Piala Dunia 2018 itu berada di kedudukan ketiga dari senarai penerima gaji tertinggi kelab, dibelakang Messi dan Neymar.

Enrique yang sebelum ini pernah menghabiskan kariernya selama lima tahun di Anfield, sememangnya masih mempunyai hubungan yang kuat dengan Liverpool.

Beliau antara individu yang paling gembira ketika mendengar Kylian Mbappe dikaitkan dengan Liverpool selepas meninggalkan PSG.

Bekas bintang Sepanyol yang kini berusia 35 tahun itu menulis di laman instagram miliknya dengan menyatakan bahawa:

“Jika ia berlaku dan kita yang menandatangani dia, saya akan terjun dalam kolam renang berbogel sambil bersiaran langsung di Instagram.”

Spekulasi berkait masa depan Mbappe bersama PSG terus hangat diperkatakan dan semakin menarik menjelang tutupnya jendela perpindahan pada 31 Ogos ini.

Real Madrid yang dikatakan sebagai calon kegemaran untuk mendapatkan khidmat Mbappe masih tidak menghubungi PSG dan mereka kini sedang berdepan dengan krisis ekonomi yang agak teruk.

Legenda Arsenal, Thierry Henry tampil dan menasihati rakan senegaranya itu supaya menolak tawaran dari Madrid dan kekal saja bersama PSG.

Beliau ketika bercakap kepada Amazon Prime mendedahkan bahawa:

“Saya tak tahu apa yang berlaku dengan Kylian Mbappe.”

“Kita memang boleh sentiasa buat spekulasi dan bercakap tentang macam-macam perkara. Saya, apa yang saya nampak dia masih di sana, dia masih jalani latihan, dia masih berjalan, dia berlari dan dia cuba untuk cipta peluang untuk rakan sepasukan dia.”

“Dia jaringkan gol, saya sangat tahu itu. Dia merupakan seorang pemain yang patuh pada kontrak dia, dia tak buat hal yang tak sepatutnya, dan dia berikan yang terbaik di atas padang, jadi saya gembira.”

“Seperti yang sering saya katakan, dengan pemain yang luar biasa, kita akan selalu lihat kesalahan kecil mereka. Saya harap dia akan kekal bersama PSG, saya harap dia dalam keadaan baik-baik sahaja dan kita akan lihat bagaimana masa depan dia kerana memang sudah lumrah untuk manusia buat andaian.”

“Tapi adakah dia tidak menghormati seseorang? Tak, saya tak pernah lihat hal seperti itu. Dia ada di sana, dia masih ada dan dia bermain dengan sangat bagus.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Pemilik Nottingham Forest Serang Pengadil Yang Bantu Liverpool Menang