Lima Fakta Menarik Sebalik Kejayaan Malaysia ‘Tibai’ Laos 4-0

Tan Cheng Hoe membuat kejutan dengan menggunakan kesemua pemain tempatan dalam senarai kesebelasan utamanya untuk aksi berdepan dengan Laos.

Pemain yang paling teruk dikritik dan dikecam pada minggu lalu, Guilherme De Paula sekadar diletakkan dalam senarai pemain simpanan sahaja dalam perlawanan ini.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, para peminat sudah mula menggesa Tan Cheng Hoe untuk menggunakan khidmat pemain tempatan sahaja kerana pemain naturalisasi tidak memberikan impak seperti yang diharapkan.

Bukan mahu memandang rendah kepada pemain-pemain naturalisasi, namun setiap kali mereka diturunkan bersama skuad kebangsaan, aksi mereka jauh berbeza dengan persembahan bersama kelab.

Aksi bertemu Laos pada hari ini membuktikan yang para pemain tempatan sebenarnya boleh beraksi dengan lebih baik dan ketiadaan pemain naturalisasi langsung tak bagi kesan.

Kemenangan 4-0 menewaskan Laos tanpa bantuan dari pemain naturalisasi sudah cukup untuk menunjukkan yang para pemain tempatan kita sebenarnya berkualiti tinggi.

Berikut merupakan lima perkara penting sebalik kejayaan Malaysia membenam Laos 4-0.

1. Baddrol Bakhtiar perancang terbaik

Baddrol Bakhtiar merupakan pemain terbaik dalam perlawanan ini dengan beliau menunjukkan kualiti permainan yang sungguh menakjubkan.

Kawalan bola, kualiti hantaran, ketenangan menjadikan Baddrol Bakhtiar sebagai pemain paling berprestasi dalam perlawanan pada hari ini selain Safawi Rasid.

Melihat kepada corak permainan Laos, Malaysia jelas sekali memerlukan seorang pemain perancang berkualiti tinggi dan Bad membuktikan beliau adalah individu yang dimaksudkan.

Tidak keterlaluan juga untuk menganggap yang Baddrol Bakhtiar merupakan kunci utama sebalik kejayaan Malaysia membenam Laos hari ini.

2. Arif Aiman pemain paling bernilai

Arif Aiman juga turut mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan dalam perlawanan ini, dengan jentera serangan negara menjadi lebih berfungsi dengan adanya beliau.

Bintang muda JDT ini jelas sekali boleh dianggap sebagai pemain paling bernilai dalam saingan liga bola sepak Malaysia, dengan kematangan aksi yang beliau persembahkan layak untuk dipuji.

Gol pertama Malaysia berpunca dari kebijaksanaan Arif Aiman yang melakukan pressing awal dan memenangi bola sebelum menghantar bola yang sungguh cantik mencari Safawi Rasid.

Sepanjang perlawanan ini juga beliau tidak henti-henti mengasak serta melancarkan serangan berbahaya ke kubu Laos.

3. Safawi Rasid kembali temui sentuhan berbisa

Safawi Rasid berjaya mencatatkan hat-trick dalam perlawanan ini, seterusnya menjadikan beliau sebagai penjaring terbanyak dalam saingan AFF Suzuki Cup musim ini.

Empat gol dari dua perlawanan, sepertinya Safawi sudah berjaya menemui sentuhan terbaiknya dan tidak akan mengejutkan andai beliau bakal meledak lebih banyak gol selepas ini.

Tidak boleh dipertikaikan lagi kemampuan serta kualiti penyudah Safawi Rasid dengan beliau telah mempamerkan aksi persembahan berkualiti tinggi dalam perlawanan ini.

Gol kedua beliau sebenarnya cukup cantik dengan beliau bijak mencari ruang untuk menyambut bola hantaran dari rakan sepasukannya.

4. Perlu tajamkan penyudah

Tidak dinafikan yang Malaysia memiliki banyak peluang untuk menjaringkan gol, namun telah disia-siakan oleh jentera serangan skuad Harimau Malaya.

Luqman Hakim dan Shahrel Fikir memiliki banyak peluang untuk menjaringkan gol namun sayangnya kualiti penyudah mereka sedikit mengecewakan.

Mereka jelas sekali perlu mendapatkan gol untuk membina semula keyakinan dan mendapatkan sentuhan mereka semula.

Agak sayang melihat empat ke lima peluang gol yang disia-siakan oleh kedua-dua pemain ini, namun aksi mereka di atas padang tidak boleh dipertikaikan.

Mereka bermain dengan sangat cemerlang, namun kualiti penyudah mereka sangat mengecewakan.

5. De Paula tak manfaatkan kelebihan yang ada

Agak kasihan untuk melihat beliau terus menerus dikecam, dimaki, dihina hingga terpaksa menutup akaun media sosial miliknya.

Para peminat tidak sepatutnya melakukan hal tersebut kerana ia agak keterlaluan dan menambah lagi tekanan yang sedang beliau hadapi pada ketika ini.

De Paula di masukkan pada 10 minit terakhir perlawanan dan beliau sebenarnya boleh menghasilkan sesuatu ketika dimasukkan dalam keadaan pertahanan Laos sudah kepenatan.

Sayangnya beliau tidak memanfaatkan kelebihan situasi dengan De Paula lebih kerap pergi mencari bola dan membuat hantaran sia-sia berbanding tunggu di atas dan gunakan kelebihan fizikal beliau untuk mengkucar-kacirkan barisan pertahanan lawan.

BACA:  Malaysia Bakal Ke Piala Dunia 2034