Lingard Menjadi Rebutan Empat Pasukan Premier League

Bintang kontroversi Manchester United, Jesse Lingard dilaporkan direbut oleh empat pasukan dari premier league.

Tetapi bekas pemain muda harapan itu kini masih bersama setan merah dan bertekad untuk terus beraksi bersama United.

Menurut laporan dari 90Min, bintang England itu kini menjadi rebutan antara pasukan Leicester City, Everton, West Ham United dan Newcastle United.

Walaupun ramai yang beranggapan musim ini adalah antara musim paling hambar untuk Lingard, ternyata bakat terpendamnya masih dihargai sehingga menjadi rebutan begini.

Pemain berusia 27 tahun itu langsung tidak menjaringkan gol atau mencatatkan assist dalam saingan liga musim ini bersama setan merah.

Lingard awalnya antara prospek masa depan terbaik yang dimiliki oleh United, tetapi dua musim terakhir ini aksinya agak merosot dan boleh dikatakan sangat hambar.

Pada jendela perpindahan Januari yang lalu, setan merah telah menandatangani Bruno Fernandes dan pemain kebangsaan Portugal itu kini sudah mengambil alih tempat Lingard dalam skuad.

Selain Fernandes, pemain muda seperti James dan Mason Greenwood turut menjadi pilihan Ole untuk diturunkan berbanding Lingard.

Baki kontrak Lingard bersama setan merah akan tamat pada tahun 2021, tetapi United nampaknya akan mempertimbangkan untuk menjual bekas prospek masa depan kelab itu.

Setan merah juga kini dalam pemburuan untuk mendapatkan pemain handalan lain seperti Jadon Sancho, Jack Grealish dan James Maddison pada jendela perpindahan musim panas nanti.

Jadi dengan kehadiran pemain-pemain itu ke Old Trafford, sudah pastinya masa depan Lingard disana semakin malap.

Kali terakhir Lingard beraksi dalam premier league adalah pada bulan Februari lalu ketika menentang Wolves. Lingard turut digugurkan dari skuad utama United dalam empat perlawanan terakhir sebelum saingan Liga digantung.

Walau bagaimanapun, bekas pemain akademi United itu tidak akan dipaksa untuk meninggalkan kelab sekiranya beliau terima peranannya dengan baik dan mahu memperbaiki aksinya.

Pada bulan Januari lalu, Lingard secara rasminya telah melantik Mino Raiola sebagai ejennya dan tindakan beliau itu mengundang kemarahan kelab.

Mino Raiola merupakan seorang ejen yang mempunyai ramai pemain handalan dunia bersamanya, namun beliau dikenali sebagai seorang tokoh yang jahat di Old Trafford.

Lihat saja krisis yang dicetuskan olehnya tentang Paul Pogba, kerana itu lah beliau dikenali dengan gelaran itu di United.

Lingard dan rakan sepasukannya di akademi United, Andreas Pereira dihentam teruk oleh pengurus pasukan United, Ole Gunnar Solskjaer.

Kedua-dua pemain itu tidak serius ketika latihan dan mereka juga tidak menunjukkan peningkatan dalam aksi mereka bersama setan merah.

Pemain midfield England itu turut mendedahkan bahawa aksinya serba tidak menjadi kerana beliau merisaukan kesihatan ibunya yang menderita dengan penyakit yang dihidapi.

“Bila saya beraksi tidak bagus dia sentiasa ada untuk saya. Dia mahukan lebih dari saya.”

Jelas Lingard kepada Lan Ladyman.

“Jadi saya rasa langkah terbaik adalah keluarkan semua yang terbuku dihati dan ceritakan kepada dia kenapa saya selalu bercelaru. Jadi saya akan ketuk pintu dia.”

“Bila saya sampai pengurus akan cakap dekat saya, ‘sila teruskan dan bermain dengan senyum serta nikmatinya’.”

“Mendengarkan itu membuatkan saya lebih yakin. Dia tahu sepenuhnya karakter saya. Saya perlu terus senyum.”

“Dia mungkin maksudkan kepada saya semuanya akan ok. Mungkin saya cuma perlukan seseorang untuk mengatakan itu.”

“Dia kata dia mahu melihat Jesse yang lama kembali dan mungkin saya akan boleh kembalikannya sekarang.”

Lingard nampak bersemangat untuk terus memberi yang terbaik dan beliau dahulunya memang seorang pemain yang sangat berbakat.

Empat pasukan yang memburunya sudah pasti tahu kebolehan dan kehandalan Lingard yang sebenar.

BACA:  Selepas Martial, Kini Lingard Pula Tampil Mengaku Difitnah Oleh Ralf Rangnick