Lionel Messi Sah Tinggalkan Barcelona

Lionel Messi secara rasminya tidak akan menandatangani perjanjian baru bersama Barcelona dengan pihak kelab telah mengeluarkan kenyataan berkait hal tersebut.

Kontrak legenda Argentina itu bersama kelab sudah berakhir pada penghujung bulan Jun lalu.

Beliau dijangkan akan menandatangani perjanjian baru bersama kelab pada minggu ini, dengan Messi sudah bersetuju tawaran selama lima tahun, beserta pemotongan gaji.

Walau bagaimanapun, terdapat laporan pada dua hari lalu yang menyatakan bahawa rundingan antara Messi dan Barcelona terganggu dan tidak boleh diteruskan.

Dan kini, Barcelona telah mengesahkan yang Lionel Messi tidak akan kekal bersama kelab. Gergasi Catalan itu mendedahkan hal tersebut menerusi satu kenyataan rasmi.

Mereka mendakwa yang, walaupun kedua-dua pihak sudah ada persetujuan masing-masing, namun dek kerana peraturan kewangan La Liga, maka rundingan itu mustahil untuk diteruskan.

Kenyataan dari Barcelona, telah menyatakan bahawa:

“Walaupun FC Barcelona dan Lionel Messi sudah capai persetujuan bersama dan niat kedua-dua pihak untuk tandatangani kontrak baru hari ini, ia tidak akan berlaku kerana masalah halangan kewangan dan penstrukturan (peraturan La Liga).”

“Sebagai jawapan kepada situasi ini, Messi tidak akan kekal bersama FC Barcelona. Kedua-dua pihak sangat kesal yang harapan pemain dan kelab tidak dapat dipenuhi.”

Messi telah memenangi segalanya bersama Barcelona

“FC Barcelona dengan sepenuh hati mengucapkan terima kasih kepada pemain atas sumbangannya terhadap peningkatan kelab dan mengucapkan yang terbaik untuk masa depan dalam kehidupan peribadi dan profesional.”

Barcelona sebelum ini berusaha untuk melepaskan beberapa pemain mereka, dalam usaha untuk mendaftarkan Lionel Messi dan beberapa lagi penandatanganan baru.

Sayangnya tidak ada mana-mana kelab yang berminat untuk membeli pemain-pemain yang mahu dilepaskan oleh Barca dan ia menyukarkan mereka untuk menstabilkan struktur pembayaran gaji pemain.

Antoine Griezmann antara nama yang sering dikaitkan bakal meninggalkan kelab dengan Barca sudah menawarkannya kepada beberapa kelab namun tak ada yang berminat.

Barca turut mahu menjual ramai lagi pemain dari skuad utama, namun kerana harganya terlalu tinggi untuk pemain yang tidak berprestasi, jelas tidak ada kelab berminat.

Selepas memenangi Piala pertama bersama skuad kebangsaan Argentina, Messi bahkan turut bersetuju untuk menerima pemotongan gaji 50% bersama Barca.

Namun ia masih tidak cukup untuk Barca mendaftarkan pemenang enam kali gelaran Ballon D’or itu ke dalam skuad mereka.

Lionel Messi sudah beraksi bersama Barcelona selama 21 tahun dengan beliau mula bersama kelab ketika usianya 13 tahun.

Beliau telah membuat 810 penampilan bersama kelab dengan menjaringkan 683 gol, serta membantu Barcelona memenangi 34 Piala.

Messi meninggalkan kelab sebagai pemain terbaik dalam sejarah Barca, dan tidak dinafikan beliau sememangnya pemain terhebat dalam sejarah dunia bola sepak.

Tiada masalah untuk Messi mencari kelab baru kerana kesemua pasukan yang ada dalam dunia bola sepak hari ini, sangat mahukan khidmatnya.

PSG antara calon kegemaran yang dikatakan akan menandatangani Messi pada musim panas ini berdasarkan pada kemampuan mereka.

Andai gergasi Ligue 1 itu berjaya mendapatkan khidmatnya, maka mereka bakal menjadi pasukan impian pada musim hadapan selepas penambahan beberapa pemain bintang, ditambah dengan pemain sedia ada yang menakjubkan.

Sebelum ini Man City merupakan pasukan kegemaran untuk menandatangani Lionel Messi, namun selepas mereka melaburkan £100 juta untuk Grealish dan kini berunding untuk Kane, sukar untuk kelab membawa Messi ke Etihad.

Jadi kemana destinasi pilihan Messi selepas ini? Bincangkan di ruangan komen.

Sumber: GMS

BACA:  Kali Terakhir Lionel Messi Menjejakkan Kaki Di Old Trafford