Lionel Scaloni Bidas Kembali Tuduhan Argentina Taktik Kotor

scaloni

Pengurus Argentina, Lionel Scaloni telah membidas kembali mereka yang menuduh Argentina menggunakan taktik kotor yang turut dilabel sebagai ‘Unsporting Behaviour’ ketika menewaskan pasukan Belanda.

Sungguh lain macam tuduhan yang dikenakan kepada Argentina oleh negara Eropah ini yang merasakan merekalah bangsa terbaik dan bertamadun kerana Argentina bertindak balas kepada provokasi mereka.

Argentina berdepan Croatia pada separuh akhir pertama pada pagi rabu selepas memerlukan penentuan sepakan penalti untuk menyingkirkan Belanda berikutan keputusan seri 2-2 yang diserikan dengan 17 layangan kad kuning dan satu kad merah.

Terdapat beberapa konfrontasi antara pemain dan kakitangan, baik di atas padang mahupun di dalam terowong selepas perlawanan, tetapi Scaloni berkata pasukannya tidak sengaja melakukan provokasi.

Bosan dengan tuduhan tidak berasas yang berterusan ketika separuh akhir hampir tiba, Lionel Scaloni mahu menamatkan episode ini dan mahu fokus diberikan kepada perlawanan.

“Saya mahu menamatkan topik ini,” kata Scaloni di sidang akhbar menjelang perlawanan.

“Kami bermain dengan cara yang kami perlu bermain. Ia adalah kedua-dua pasukan, Argentina dan Belanda, tetapi itulah bola sepak.”

“Anda perlu bertahan dan menyerang dan dalam perlawanan macam-macam perkara boleh berlaku. Pertengkaran boleh berlaku dan itulah sebabnya ada pengadil.

Lionel Scaloni juga menggesa semua pihak menghentikan tuduhan pasukan Argentina bermain kotor dan tidak menghormati lawan dan menyatakan mereka tenang sahaja ketika tewas kepada Arab Saudi.

“Kita perlu menamatkan idea dan pemikiran bahawa Argentina adalah pasukan mengamalkan tingkah laku seperti itu.”

“Kami menghormati Belanda dan kini kami menghormati Croatia. Kami tewas kepada Arab Saudi dan tidak berkata apa-apa.”

“Saya tidak yakin dengan idea tentang tingkah laku tidak sukan ini. Kami bermain permainan seperti yang kami perlu bermain dan ada pengadil yang bertanggungjawab. Kami perlu menamatkan idea ini kerana ia bukan seperti kami.”

Argentina, kehilangan dua orang pemain, Marcos Acuna dan Gonzalo Montiel yang digantung untuk perlawanan menentang Croatia di Stadium Lusai.

Ini merupakan pertemuan pertama mereka sejak kekalahan 3-0 kepada pasukan Zlatko Dalic pada peringkat kumpulan Piala Dunia 2018 di Rusia.

Nicolas Tagliafico berada dalam pasukan Argentina di Rusia, tetapi pemain pertahanan Lyon itu berkata keputusan itu tidak akan mempengaruhi pasukan mana yang layak ke final kali ini.

“Sudah empat tahun. Mereka telah melakukan kerja yang sangat baik, mereka adalah pasukan yang bagus dan skuad yang bagus. Ia adalah pemain yang berbeza sekarang dan kami adalah skuad lain dan pasukan lain. Saya fikir perlawanan itu akan dimainkan dengan cara lain.

“Kami telah menganalisis bagaimana Croatia bermain tetapi kami perlu memikirkan apa yang boleh kami lakukan untuk mengecewakan mereka. Kami akan fokus pada Argentina dan fokus pada diri kami sendiri.”

Sementara itu, Dalic, jurulatih Croatia, terpaksa mempertahankan corak permainan bertahan dengan penuh keperkasaan pasukannya menjelang separuh akhir.

Croatia hanya memenangi satu perlawanan dalam tempoh 90 minit di Qatar dan melakukan satu sahaja percubaan tepat iaitu gol penyamaan ketika menentang Brazil pada suku akhir sebelum menewaskan juara lima kali itu menerusi penentuan penalti.

Ia telah menimbulkan persoalan sama ada Dalic menajadikan pasukannya secara khusus untuk menunggu masa tambahan dan penentuan sepakan penalti tetapi jurulatih berusia 56 tahun itu mempunyai jawapan ringkas kepada cadangan bahawa taktiknya membosankan.

“Kami mahu menjaringkan gol dan mendapatkan keputusan. Kami berada di separuh akhir Piala Dunia dan di situlah kisahnya berakhir.” Katanya.

Croatia mara ke separuh akhir kedua berturut-turut dan ketiga sejak 1998, tetapi menjelang pertemuan mereka dengan Argentina, Dalic berminat untuk memberi tekanan kepada pihak lawan, yang cuba memenangi Piala Dunia buat kali pertama sejak 1986.

“Mereka berada di bawah tekanan yang lebih besar daripada kami. Ia adalah perlawanan yang sangat penting untuk mereka. Mereka akan mempunyai ramai penyokong, lebih daripada kami, ” tambahnya.

“Dan itu adalah satu kecacatan bagi kami tetapi kami tidak akan merungut. Kami akan menentang salah satu pasukan bola sepak terbaik di dunia jadi kami akan menikmatinya.”

Walaupun corak bertahan diamalkan oleh Croatia namun mereka masih masih mampu merubah corak permainan mereka dengan beberapa orang pemain berkualiti itu menjadikan Croatia berbeza dengan kebanyakkan pasukan bermain secara bertahan.

BACA:  'Semakin Menjadi-Jadi' - Messi Ledak 5 Gol Bantu Argentina 'Tibai' Estonia