Liverpool Dan Man City Terikat Di Etihad Dalam Perlawanan Yang Sungguh Menghiburkan

Manchester City dan Liverpool telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan di Etihad awal pagi tadi, dengan kedua-dua pasukan mencatatkan keputusan seri 2-2.

Kedua-dua pasukan menyajikan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menghiburkan dan jelas sekali para peminat berpuas hati menonton perlawanan tersebut.

Anak-anak buah Pep Guardiola dan Jurgen Klopp sekali lagi mempamerkan aksi serang menyerang sepanjang 90 minit perlawanan dan turut sekali lagi mencatatkan keputusan seri pada musim ini.

Kevin De Bruyne membuka tirai jaringan untuk Man City pada minit ke-5 permainan selepas bola rembatan beliau terbias terkena Matip sebelum menerjah jaring gawang gol The Reds.

Pasukan pelawat walau bagaimanapun tidak menunggu lama dengan mereka kemudiannya berjaya memadam gol pendahuluan tersebut menerusi Diogo Jota.

Jota cemerlang menyempurnakan hantaran dari Trent Alexander Arnold untuk mengubah kedudukan menjadi 1-1.

Gabriel Jesus kemudiannya meletakkan Manchester City kembali di hadapan selepas beliau bijak melepaskan diri dari perangkap offside seterusnya menewaskan Alisson Becker untuk City mendahului 2-1.

Sebaik bermula aksi babak kedua, Liverpool kembali menyamakan kedudukan selepas Sadio Mane cemerlang menyempurnakan hantaran dari Mohamed Salah untuk Liverpool mengikat kedudukan menjadi 2-2.

Raheem Sterling kemudiannya berpesta selepas kejayaan beliau menjaringkan gol ketiga untuk Man City, namun malangnya gol jaringan beliau itu dibatalkan oleh pengadil perlawanan kerana beliau berada di kedudukan offside.

Keputusan seri secara tak langsung memberi kelebihan kepada Man City untuk lebih berpotensi muncul sebagai Juara kerana mereka kini memiliki kelebihan satu mata berbanding Liverpool.

Berbaki tujuh perlawanan, laluan Liverpool sepertinya lebih sukar berbanding Man City dengan anak-anak buah Jurgen Klopp itu selepas ini perlu berdepan Man Utd dan Tottenham Hotspur.

Man City sementara itu memiliki laluan yang lebih mudah dengan kesemua baki tujuh perlawanan mereka merupakan pasukan di luar ‘Big Six’.

Walau bagaimanapun juga, mengikut rekod, Man City sebelum ini kerap keciciran mata ketika bertemu pasukan pertengahan dan bawahan liga, dan kerana itulah Liverpool sebenarnya masih ada harapan untuk memintas mereka.

Jurgen Klopp masih lagi berpotensi untuk membantu Liverpool memenangi gelaran quadruple musim ini dengan beliau masih berada di landasan terbaik untuk melakukan hal itu.

Mereka selepas ini akan turun beraksi bertemu Benfica dalam saingan Champions League dengan The Reds akan turun beraksi di Anfield dengan memiliki kelebihan dua gol.

Mereka sepertinya tidak akan berdepan masalah untuk menyingkirkan Benfica seterusnya melayakan diri beraksi di peringkat separuh akhir.

Selepas aksi bertemu Benfica, Liverpool akan kembali bertemu Manchester City dan kali ini kedua-dua pasukan akan bertemu di peringkat separuh akhir dalam saingan FA Cup.

Kedua-dua pasukan juga berpotensi untuk sekali lagi bertemu dalam saingan Champions League andai kedua-dua mereka layak hingga ke aksi perlawanan akhir.

Seandainya kedua-dua gergasi dari saingan Premier League itu benar-benar bertemu di pentas perlawanan akhir saingan Champions League, maka jelas sekali mereka layak dianggap sebagai dua kelab terhebat dalam dunia bola sepak.

Manchester City: Ederson, Walker, Stones, Laporte, Cancelo, Silva, Rodri, De Bruyne, Jesus (Grealish 83), Sterling (Mahrez 75), Foden

Pemain simpanan: Ake, Gundogan, Zinchenko, Steffen, Fernandinho, McAtee, Lavia

Penjaring: De Bruyne 5, Jesus 36

Kad kuning: Silva

Pengurus: Pep Guardiola

Liverpool: Alisson, Alexander-Arnold, Matip, van Dijk, Robertson, Henderson (Keita 78), Fabinho, Thiago, Salah, Jota (Diaz 70), Mane (Firmino 84)

Pemain simpanan: Konate, Milner, Gomez, Jones, Tsimikas, Kelleher

Penjaring: Jota 13, Mane 46

Kad kuning: Robertson, Thiago, Fabinho, van Dijk

Pengurus: Jurgen Klopp

BACA:  Premier League 2019/20: Manchester City 4-0 Liverpool