Liverpool Tolak Tawaran Pertama Bayern Munich Untuk Sadio Mane

Bayern Munich dikhabarkan telah melakukan bidaan pertama untuk mendapatkan Sadio Mane. Namun, tawaran tersebut ditolak terus oleh Liverpool.

Kontrak Mane bersama Liverpool berbaki semusim sahaja lagi. Penyerang antarabangsa Senegal itu sebelum ini secara terbuka berkata tidak akan terus kekal di Anfield, dan menyatakan niat untuk mencari angin baharu bersama kelab lain.

Melalui sidang media menjelang perlawanan kelayakan Piala Afrika, Mane turut mengulas mengenai masa depannya.

Menurut penyerang sayap itu, rata-rata pihak di Senegal mahu melihat beliau segera meninggalkan kelab Merseyside itu.

“60 hingga 70 peratus orang di Senegal ingin saya tinggalkan Liverpool? Saya akan melakukan apa yang mereka inginkan,” kata Sadio Mane menjelang perlawanan di antara Senegal vs Benin, pada Sabtu lalu.

Bayern Munich menjadi kelab pilihan untuk mendapatkan tandatangan Mane pada jendela perpindahan musim panas ini.

Mane yang turut pernah beraksi bersama RB Salzburg dan Soithampton sebelum menyertai Liverpool dilihat sebagau pengganti semulajadi kepada Robert Lewandowski yang akan meninggalkan Allianz Arena pada masa terdekat.

Menurut Daily Mail, Bayern Munich sudah melakukan tawaran pertama kepada Liverpool untuk mendapatkan Mane.

Tawaran pertama tersebut dipercayai sekitar £21 juta, tidak termasuk bayaran bonus sekitar £3.43 juta.

Masalahnya Liverpool menagih Bayern untuk membayar sebanyak £30 juta untuk pemain yang memberikan kejuaraan Champions League ke-6, dan trofi Liga Perdana Inggeris pertama sepanjang sejarah kelab itu.

Nilai tinggi yang dipinta Liverpool bukanlah tanpa sebarang sebab. Mane dianggap sebagai pemain yang memiliki naluri pembunuh tinggi dan masih mampu beraksi di tahap tertinggi untuk beberapa musim mendatang.

Sepanjang musim 2021/22, Sadio Mane telah menghasilkan 23 gol daripada 51 penampilan untuk Liverpool di semua pertandingan.

Secara keseluruhan, Mane telah mencetak 120 gol daripada 269 penampilan untuk skuad Jurgen Klopp.

BACA:  Guardiola Mungkin Turunkan Skuad Lebih Lemah Bagi Pertemuan Menentang Manchester United