Lompatan Anti-Gravity Haaland Berjaya Hasilkan Gol Yang Menakjubkan

Erling Haaland berjaya melakukan lompatan dan tandukan melawan gravity ala Cristiano Ronaldo ketika membantu Borussia Dortmund menewaskan Greuther Furth 3-0 awal pagi tadi.

Penyerang terhebat dunia itu menyumbat dua gol dan salah satu darinya dianggap gol yang sungguh luar biasa menakjubkan.

Pemain kebangsaan Norway yang kini berusia 21 tahun itu membuka tirai jaringan untuk Borussia Dortmund pada aksi babak pertama permainan, dalam perlawanan yang dilangsungkan di Westfalenstadion itu.

Beliau tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk menewaskan Sascha Burchert yang jelas tidak mampu berbuat apa-apa melainkan melihat sahaja bola padu rembatan Haaland menerjah jaring gawang golnya.

Haaland kemudiannya menjaringkan gol kedua peribadinya dalam perlawanan ini pada minit ke-82 permainan, menerusi satu tandukan yang sungguh luar biasa menakjubkan.

Beliau ketika itu sedang berada di dalam kotak penalti, dengan Julian Brandt pula dipertanggungjawabkan untuk mengambil sepakan percuma yang mereka menangi.

Brandt kemudiannya menghantar bola yang sungguh kemas ke dalam kotak penalti dan tepat melalui ruang udara tempat di mana Haaland sedang berdiri.

Haaland kemudiannya melakukan lompatan Anti-Gravity jauh mengatasi pemain pertahanan lawan seterusnya berjaya menanduk padu bola untuk sekali lagi menewaskan Burchert.

Para peminat di media sosial benar-benar kagum dan teruja melihat gol jaringan dari Erling Haaland dan merasakan lompatan beliau lakukan itu tidak mampu dilakukan oleh manusia biasa.

Melihat Haaland terus menerus meledak gol walau baru pulih dari kecederaan, para peminat sangat yakin yang bekas bintang Red Bull Salzburg itu layak untuk dianggap sebagai pemain terhebat dunia pada ketika ini.

“Dia sememangnya pemain terhebat dalam dunia bola sepak sekarang, dan saya berani jamin dia akan jadi yang terbaik sepanjang zaman.”

“Saya penyokong Manchester United, saya harap Man Utd akan hantar cheque kosong kepada Dortmund dan benarkan mereka tulis berapa saja angka yang mereka mahu untuk berikan Haaland kepada kita.”

“Jika Haaland sudah mula pamer aksi hebat seperti ini ketika bola di udara, maka makin sukarlah untuk Kylian Mbappe tandingi dia.”

“Kalau dia terus konsisten, saya rasa dia perlukan beberapa tahun sahaja lagi untuk pecahkan rekod gol Ronaldo dan Messi.”

“Dia pemain yang pantas dan ada kualiti rembatan yang sungguh menakjubkan, sekarang dia tunjukkan pula kemampuan dia dengan bola di udara, saya rasa tidak ada keraguan lagi, dia yang terbaik.”

Donyell Malen kemudiannya menjaringkan gol ketiga untuk Borussia Dortmund dalam perlawanan ini, secara tak langsung mengesahkan kemenangan 3-0 mereka menewaskan Greuther Furth.

Haaland yang dilaporkan memiliki klausa perlepasan bernilai £68 juta dalam kontraknya itu dilaporkan berpotensi untuk meninggalkan Borussia Dortmund pada musim panas akan datang.

Pemain kebangsaan Norway itu tidak dinafikan lagi sememangnya antara pemain terhangat dalam pasaran pemain pada ketika ini.

Beliau merupakan bintang yang menjadi buruan kelab-kelab gergasi dunia bola sepak seperti Manchester United, Liverpool, Chelsea, Bayern Munich, Real Madrid dan Barcelona.

Dortmund kekal di kedudukan kedua dalam carta saingan Bundesliga, dengan mereka pada ketika ini sedang berusaha untuk memintas Bayern Munich.

Skuad kendalian Marco Rose itu selepas ini akan kembali beraksi dalam saingan Bundesliga untuk bertemu Hertha Berlin di Olympiastadion Berlin pada hujung minggu ini.

Ketinggalan enam mata di belakang Bayern Munich, Borussia Dortmund jelas sekali tidak boleh keciciran mata dan harus terus mencatat kemenangan untuk terus mencabar kejuaraan liga musim ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  "Barca Mana Ada Duit Beli Saya"- Haaland Label Barcelona Kelab Miskin