Low: Jerman ‘Hilang Segala-galanya’ Selepas Tersingkir Awal Dari Piala Dunia

Pengurus Jerman, Joachim Low berkata Jerman telah kehilangan semua perkara yang mereka telah bina selama ini selepas tersingkir awal dari Piala Dunia 2018.

Dalam perlawanan yang dianggap antara kejutan paling besar pernah berlaku di Piala Dunia, juara bertahan Piala Dunia mengalami kekalahan 2-0 di tangan Korea Selatan sekaligus menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan tercorot.

Korea Selatan menjaringkan dua gol pada waktu kecederaan menerusi Kim Young-gwon dan Son Heung-min dan membantu Mexico layak.

Skuad Joachim Low menjadi pasukan Jerman pertama yang gagal melepasi peringkat kumpulan sejak tahun 1938.

Keputusan tersebut menyaksikan Sweden dan Mexico menjadi dua pasukan dari kumpulan F layak ke peringkat seterusnya.

Pencapaian buruk Jerman kali ini menamatkan rekod baik Low di peringkat antarabangsa sejak mengambil alih tampuk pengurusan pasukan pada tahun 2006.

Beliau berjaya membimbing Jerman sekurang-kurangnya layak sehingga ke peringkat separuh akhir dalam kejohanan besar yang mereka sertai, dan detik terbaik beliau sudan tentu hadir pada tahun 2014 dimana Jerman muncul juara Piala Dunia di Brazil.

Low mengakui keputusan tersebut amat pahit untuk ditelan tetapi beliau masih belum bersedia untuk berbincang mengenai masa depannya selaku pengurus Jerman selepas ini. Jerman akan mengharungi pusingan kelayakan Euro’ 2020 yang akan bermula pada hujung tahun ini.

Kim Young-gwon mengejutkan dunia dengan menjaringkan gol pada minit ke-92 selepas kelam kabut di hadapan gawang Jerman

“Kami tidak berhak memenangi Piala Dunia kali ini, dan kami juga tidak berhak mara ke peringkat 16 pasukan terakhir. Kami tersingkir hari ini bukan kerana kami tidak mahu menang, tetapi kerana pasukan ini benar-benar mahukan kemenangan seperti yang anda semua dapat lihat tadi. Tetapi kami gagal untuk mencari gol pendahuluan ketika perlawanan sedang berlangsung.”

“Tahun-tahun selepas 2006, kami berjaya layak sehingga ke peringkat separuh akhir dan juga ke final. Kami menang Piala Dunia 2014. Tetapi kali kali, saya boleh katakan kami tidak bermain seperti cara biasa kami.”

“Kami perlu terima kekalahan ini. Kekecewaan dari penyingkiran merupakan sesuatu yang sukar untuk ditelan.”

“Ke mana hala tuju kami selepas ini ? Kami perlu bermula dari sini. Saya tidak bersedia untuk bercakap apa-apa buat masa sekarang, tetapi kami akan duduk berbincang dengan tenang selepas ini untuk berbincang mengenai perkara tersebut.”

Air mata

Jerman dituduh berkelakuan ‘sombong’ selepas mengharungi kempen pra-Piala Dunia yang buruk dimana mereka tewas di tangan Austria dan dipaksa bekerja keras oleh Arab Saudi.

Prestasi hambar mereka berterusan sehingga ke perlawanan pertama Piala Dunia dimana mereka dikejutkan Mexico 1-0, hasil jaringan Hirving Lozano.

Dengan penyingkiran ini, Jerman meneruskan rekod buruk penyandang juara Piala Dunia sebelum ini dengan menjadi pasukan ke-3 berturut-turut tersingkir seawal peringkat kumpulan.

Juara Piala Dunia 2006, Itali tersingkir di peringkat kumpulan pada tahun 2010 manakala Sepanyol melakukan perkara yang sama pada tahun 2014.

BACA:  Jerman Nafikan Comeback 3 Gol England, Maguire Buat 2 Kesilapan Agar Sama Sama Dapat 1 Mata