Man Utd Batalkan Kontrak Baru De Gea Yang Sudah Ditandatangan

David de Gea dilaporkan sudah bersetuju dan menandatangani kontrak baharu untuk kekal bersama Manchester United.

Namun demikian kelab Manchester itu bertindak enggan menandatangani sekaligus memeteraikan kontrak tersebut.

Sebaliknya juara 20 kali Liga Perdana Inggeris itu tampil dengan kontrak dengan tawaran gaji yang lebih rendah.

Sebelum ini penjaga gol berusia 32 tahun itu sudah bersetuju untuk menerima gaji yang lebih rendah daripada pendapatan asalnya £375,000 seminggu.

Tetapi tindakan Man Utd berdalih dan tampil dengan satu lagi tawaran kontrak yang lebih rendah bermaksud masa depan penjaga gol berusia 32 tahun itu di Old Trafford itu kini semakin samar.

Tawaran terbaru daripada Manchester United itu kini belum dipersetujui oleh De Gea yang masih mahu beraksi di tahap tertinggi dan sedang menilai pilihan yang dia miliki.

Perbincangan di antara kedua-dua pihak juga dijangka berterusan dan bekas penjaga gol Atletico Madrid itu kini turut dikaitkan dengan perpindahan ke Arab Saudi.

United turut melebarkan pilihan mereka untuk posisi tersebut dan dipercayai sudah menghubungi ejen Andre Onana yang beraksi bersama Inter Milan beberapa hari yang lalu.

Selain Onana, United turut mempunyai pilihan untuk menjadikan Dean Henderson sebagai penjaga gol utama selepas dipinjamkan ke Nottingham Forest pada musim lalu.

De Gea adalah penjaga gol yang menerima gaji paling tinggi di dunia selain menjadi pemain bola sepak dari Sepanyol dengan pendapatan termewah.

Musim lalu beliau memenangi anugerag Golden Glove, namun persepsi mengenai kemampuan penjaga gol itu sudah berbeza berbanding ketika dia memenangi anugerah sama buat kali pertama beberapa musim lalu.

Memang benar seseorang penjaga gol dinilai dengan kemampuan mereka mengumpul clean sheet. Tetapi di dalam bola sepak moden hari ini kemampuan sedemikian bukan lagi indikator utama untuk menilai kualiti penjaga gol.

Kelemahan De Gea membantu pasukan mengekalkan possesion selain beberapa kesilapan mudah yang diperagakan sepanjang musim lalu tidak digemari oleh Erik ten Hag.

Ten Hag mungkin tidak mengkritik penjaga golnya itu secara terbuka di media. Namun jurulatih daripada Belanda itu sedar kekurangan De Gea yang mampu merencatkan perancangan taktikal pasukan – terutama ketika berhadapan pasukan yang mahir melakukan pressing.

Situasi ini jelas tidak ideal buat pengurus Manchester United ity yang mahukan seorang penjaga gol yang berkemampuan bermain dengan baik untuk menyelesaikan masalah possesion. \

Jika itu yang dikehendaki, David de Gea jelas tidak akan kekal sebagai pemilik jersi No.1 Manchester United.

BACA:  Arsenal Kini Meletakkan Bintang United Sebagai Sasaran Utama Mereka