Man Utd Dianggap Terlalu Mundur Dan Akan Bergelut Untuk Mencabar Kedudukan Empat Teratas

Manchester United telah diberitahu yang mereka sebenarnya terlalu jauh untuk mencabar kedudukan empat teratas dalam saingan Premier League musim hadapan.

Skuad setan merah dianggap tidak berkemampuan untuk bersaing merebut slot ke saingan Champions League pada musim berikutnya.

Pengurus baru Manchester United, Erik Ten Hag telah diberi tanggungjawab untuk membantu setan merah kembali menjadi pasukan yang digeruni selepas melalui musim yang suram pada musim lalu.

Manchester United pada musim lalu telah melalui musim yang sangat mendukacitakan dengan mereka mengakhiri saingan liga dengan pungutan mata paling rendah dalam sejarah kelab.

Manchester United juga berdepan kesukaran selepas mereka kehilangan beberapa pemain berprofil tinggi seperti Paul Pogba, Jesse Lingard dan Juan Mata.

Dek kerana terlalu ramai pemain yang bakal meninggalkan kelab, maka Man Utd dilaporkan bakal melakukan rombakan besar-besaran pada jendela perpindahan musim panas ini.

Namun begitu, sehingga ke hari ini, Manchester United masih lagi belum mampu melengkapkan pembelian walau seorang pemain pun lagi.

Bekas bintang Chelsea dan West Ham, Scott Minto tampil menghentam Man Utd dengan menganggap skuad setan merah itu tidak boleh pergi jauh dan sukar untuk bersaing merebut kedudukan keempat dalam saingan Premier League musim hadapan.

“Saya fikir Manchester United terlalu jauh dan kamu tak boleh nampak mereka bersaing merebut kedudukan empat teratas. Saya memang tak boleh nampak itu, langsung tak nampak senang cerita.”

Jelas Scott Minto kepada talkSPORT.

Rakan penyampai beliau kemudiannya menyampuk dengan menyatakan:

“Aku cabar kau untuk cakap benda itu kepada Erik Ten Hag.”

“Jadi saya sangat yakin yang dia sedang berusaha keras dibelakang tabir dan dapatkan pemain untuk dibeli. Tapi pada ketika ini, saya minta maaf, kamu tahu pengakhiran pada musim lalu mereka sangat menyedihkan.”

“Saya tengok perlawanan bertemu Brighton dan mereka kena belasah 4-0, mereka berjuta batu di belakang dan sukar untuk bersaing merebut kedudukan empat teratas, apa lagi mahu bersaing merebut Piala.”

Musim 2021/22 bermula dengan sangat optimis apa lagi selepas kehadiran pemain seperti Cristiano Ronaldo, Jadon Sancho dan Raphael Varane.

Tapi optimis mereka terkubur terlalu awal dengan skuad United gagal untuk menepati ramalan mereka pada musim lalu.

Pada November lalu, selepas dibelasah 5-0 di tangan Liverpool, Manchester United turut dibelasah Watford dengan keputusan 4-1.

Hal itu menyebabkan pengurus pasukan, Ole Gunnar Solskjaer dipecat oleh pimpinan kelab dan tempat beliau digantikan oleh Ralf Rangnick.

Ralf Rangnick masuk sebagai pengurus interim dengan beliau mengikat kontrak selama enam bulan bersama setan merah.

Sepertinya era Ralf Rangnick lebih teruk berbanding era Manchester United ketika di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer.

Memandangkan musim baru bakal bermula, maka Erik Ten Hag bakal melalui cabaran yang sangat getir bagi mempersiapkan skuadnya.

Walau bagaimanapun, para penyokong Manchester United sangat kecewa melihat cara bagaimana skuad United menguruskan jendela perpindahan musim panas ini.

Man Utd membuang masa yang terlalu lama untuk mengejar pemain seperti Frenkie de Jong dengan mereka masih lagi menghabiskan masa untuk menunggu Barca menerima permohonan mereka.

Barcelona sebelum ini menolak tawaran dari Manchester United untuk melepaskan De Jong kerana mereka merasakan nilai yang setan merah tawarkan terlalu rendah.

Manchester United walau bagaimanapun masih tidak mahu menyerah dengan mereka sehingga kini masih lagi berusaha keras mahu menghantar bidaan kedua mendapatkan bintang Belanda itu.

Para penyokong dan ramai lagi pihak lain sebenarnya sangat terkesan dengan tindakan kelab itu dan mereka bimbang Man Utd tidak akan mampu menandatangani mana-mana pemain pada musim panas ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Peminat Teruja Melihat Ketegasan Ten Hag Ketika Sesi Latihan Bersama Skuad United