Man Utd Disiasat Kerana Hidang Ayam Mentah

Manchester United kini sedang disiasat oleh Majlis Perbandaran Trafford selepas pihak berkuasa tempatan itu menerima beberapa aduan mengenai sakit perut dan keracunan makanan selepas makan ayam mentah dalam satu majlis yang diadakan di Old Trafford.

United enggan memberikan sebarang kenyataan mengenai kes tersebut dan pihak kelab kini dilaporkan telah memulakan siasatan dalaman mereka sendiri.

Tetamu yang menghadiri majlis tersebut dikatakan mengalami simptom keracunan makanan selepas mengalami cirit birit, deman panas, sakit perut melampau, loya dan muntah.

Jangkitan salmonella yang sering dikaitkan dengan hidangan ayam mentah boleh menyebabkan mangsa dimasukkan ke hospital untuk rawatan, dan di dalam sesetengah kes boleh membawa maut.

Siasatan oleh pihak berkuasa tempatan dan kelab dijangka bertujuan untuk mengesahkan sama ada simptom yang dihadapi oleh mangsa berpunca daripada pengambilan makanan ketika menghadiri majlis di Old Trafford atau ia berlaku sebelum itu.

Semakan di laman sesawang kerajaan menunjukkan rating tahap keselamatan dan kebersihan makanan yang dihidangkan di premis makanan di Stadium Old Trafford adalah pada tahap 5 (Sangat Baik). Dan kini kes hidangan ayam mentah boleh menjejaskan rating tersebut.

Food Standard Agency (FSA) adalah agensi yang bertanggungjawab melakukan pemeriksaan premis makanan di Manchester, dan dilakukan setahun sekali.

Pemeriksaan terakhir di premis makanan di Old Trafford adalah pada 23 Oktober lalu. Dan rating untuk 2023 setakat ini belum lagi dikeluarkan oleh agensi itu.

FSA adalah agensi bebas di bawah kerajaan yang berfungsi memastikan keselamatan orang awam dalam pengambilan makanan. Rating yang diberikan oleh FSA sering kali menjadi indikasi bagaimana makanan di sesebuah premis diproses.

Tidak terhad kepada hari perlawanan, penganjuran majlis di Old Trafford adalah antara kaedah yang diamalkan oleh Manchester United untuk menarik keuntungan.

Isu kebersihan makanan sekiranya didapati bermasalah sudah pasti akan menjejaskan imej Old Trafford sebagai venue pilihan untuk penganjuran majlis sedemikian.

BACA:  Berinspirasikan Kudus, Maksud Sebenar Di Sebalik Keraian Lepak Santai Di Papan Iklan Garnacho