Man Utd Tawarkan Jadon Sancho Kepada Kelab Gergasi Eropah

Bintang Manchester United, Jadon Sancho berkemungkinan akan dilepaskan ke Barcelona selepas beliau dilihat sangat bergelut di Old Trafford.

Sancho dilihat gagal memulakan kehidupan baru yang sempurna di Old Trafford dengan beliau jelas tidak berada di tahap persembahan terbaiknya pada ketika ini.

Menurut sumber laporan dari media di Sepanyol, setan merah berkemungkinan akan melepaskan Sancho untuk sertai Barcelona dalam masa terdekat ini.

Setan merah sebelum ini sudah lama cuba mengejar tandatangan bintang berusia 21 tahun itu, dan mereka akhirnya berjaya juga menamatkan rundingan pada jendela perpindahan musim panas baru-baru ini.

Manchester United menandatangani Jadon Sancho dari Borussia Dortmund dengan yuran perpindahan bernilai £73 juta dan bintang England itu diharapkan bakal membantu kelab untuk mencabar kejuaraan liga.

Walau bagaimanapun, Sancho dilihat bergelut untuk mendapatkan tahap persembahan seperti kariernya di Jerman, dan beliau jelas sekali tidak gembira dengan hal tersebut.

Beliau pada ketika ini hanya mampu menjaringkan dua gol sahaja dari 23 penampilan untuk setan merah, dan ia bukanlah sesuatu yang diharapkan oleh pihak kelab.

Nacional kini melaporkan yang United berkemungkinan akan mengizinkan Sancho untuk meninggalkan Old Trafford selepas baru satu musim beliau beraksi bersama kelab.

Hal itu berkemungkinan akan berlaku seandainya pihak kelab dapat apa yang mereka mahukan (bergantung tawaran dari Barcelona).

Media Sepanyol itu melaporkan yang pemain sayap United itu sememangnya ada dalam radar Barcelona dan Xavi sangat berminat untuk mendapatkan khidmatnya secepat mungkin.

Sancho yang kini mempunyai kontrak sehingga 2026 bersama Man United dilaporkan telah ditawarkan kepada Barcelona dan gergasi Catalan itu sama sekali tidak menolak tawaran tersebut.

Bekas bintang Borussia Dortmund itu berjaya memukau Barcelona ketika beliau masih beraksi dalam saingan Bundesliga, dan Xavi sedar Sancho ada potensi yang beliau mahukan.

Menurut sumber laporan dari Nacional juga, agak mengejutkan sebenarnya untuk melihat United sanggup melepaskan pemain yang telah lama mereka sendiri buru sebelum ini.

Walau bagaimanapun, United menegaskan yang mereka hanya akan mahu berunding dengan kelab yang sanggup menawarkan £50 juta untuk mendapatkan Sancho.

Melihat angka tersebut, ia jelas sesuatu yang sukar untuk Barcelona yang kini sedang bergelut dengan masalah kewangan.

Pengurus Barcelona, Xavi pula kini sudah mula hilang sabar dengan seorang lagi bintang Borussia Dortmund, Ousmane Dembele berkait masa depannya bersama kelab.

Kontrak pemain sayap Perancis yang kini berusia 24 tahun itu akan tamat pada penghujung musim nanti dan beliau telah dikaitkan bakal menyertai United, Newcastle dan Liverpool.

Walaupun Barca mungkin boleh mendapatkan dana tambahan untuk mendapatkan Sancho dengan menjual Dembele, namun Xavi dilaporkan tidak mahu melakukan hal tersebut.

Beliau merasakan terlalu berisiko untuk membawa Sancho dengan mengeluarkan dana bernilai lebih dari £50 juta.

Xavi menganggap harga tersebut terlalu mahal untuk seorang pemain bagi Barcelona apa lagi selepas mereka mengeluarkan dana besar untuk mendapatkan Ferran Torres sebelum ini.

Sancho tidak diturunkan ketika aksi kemenangan 3-1 Man Utd bertemu Brentford awal pagi tadi, kerana beliau dilaporkan mempunyai masalah berkait urusan keluarga.

Man Utd berjaya mencatatkan kemenangan selesa 3-1 seterusnya merapatkan lagi jurang mata antara mereka dengan West Ham yang kini berada di kedudukan keempat dalam carta liga.

Skuad setan merah perlu mengelak dari keciciran mata, dan terus mengutip mata-mata penting dalam usaha mereka untuk menamatkan saingan musim ini di kelompok empat teratas.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Jadon Sancho Diragui Oleh Rakan Sepasukannya Sendiri Di Old Trafford