Manchester City Tawarkan Raheem Sterling Kepada Chelsea

Manchester City telah menawarkan pemain sayap mereka, Raheem Sterling kepada Chelsea pada jendela perpindahan musim panas ini.

Kontrak bintang England yang kini berusia 27 tahun itu bersama Manchester City akan tamat musim panas hadapan dan beliau berpotensi untuk meninggalkan Etihad musim panas ini.

Menurut laporan media Sepanyol, AS, Manchester City telah menawarkan Raheem Sterling kepada beberapa kelab termasuk Chelsea.

Laporan sama turut mendedahkan yang Raheem Sterling sememangnya mahu meninggalkan kelab dan Manchester City sendiri turut tiada masalah untuk melepaskan bekas bintang Liverpool itu.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu berharap agar mereka akan mampu memperoleh dana tambahan hasil penjualan Sterling pada musim panas ini.

Laporan sama turut mendedahkan yang The Citizens sanggup melepaskan Raheem Sterling dengan nilai pasaran yang jauh lebih rendah berbanding harga asalnya.

Chelsea dikatakan sanggup mengeluarkan dana tambahan untuk mendapatkan Raheem Sterling memandangkan mereka juga sememangnya dalam usaha mencari pemain penyerang.

Sterling tidak dinafikan sememangnya antara pemain terbaik Man City musim ini dengan beliau berjaya menjaringkan 17 gol dan mencatatkan 9 assists dari 47 penampilan.

Sehingga kini masih tidak jelas lagi berapa nilai yang mampu Chelsea bayar untuk mendapatkan khidmat Raheem Sterling dari Man City.

Namun begitu, melihat kepada situasi kontrak beliau bersama Man City akan tamat pada musim panas akan datang, sepertinya Chelsea tidak perlu mengeluarkan dana yang besar untuk dapatkan bintang England itu.

The Blues mempunyai beberapa pemain pilihan di posisi serangan seperti Hakim Ziyech, Romelu Lukaku, Kai Havertz, Mason Mount, Timo Werner, Christian Pulisic dan Callum Hudson-Odoi.

Sepertinya Chelsea juga akan melepaskan beberapa pemain tersebut dan tentunya mereka akan berusaha untuk menyediakan tempat untuk Raheem Sterling.

Lukaku antara pemain yang paling berpotensi akan meninggalkan Stamford Bridge pada musim panas ini, dan jelas sekali masa depan beliau bergantung kepada status Marina Granovskaia.

Skuad kendalian Thomas Tuchel itu pada ketika ini sudah diambil alih oleh pemilik baru, Todd Boehly dan jelas sekali pemilik baru akan membenarkan pengurus dari Jerman itu untuk meneruskan tugasnya mengikut perancangan beliau sendiri.

Pemilik baharu Chelsea dilaporkan bersedia mengeluarkan dana bernilai £200 juta dan dengan nilai itu jugalah Thomas Tuchel akan gunakan untuk mendapatkan Raheem Sterling.

Barcelona dan Real Madrid juga dilaporkan turut berminat mahu mendapatkan Raheem Sterling dari Man City, namun sepertinya Chelsea yang lebih berpotensi untuk mendapatkan bintang England itu.

Pemain berusia 27 tahun itu dilahirkan di ibu kota England dan beliau pernah menghabiskan karier awalnya bersama Queens Park Rangers.

Chelsea pada ketika ini sedang dalam usaha mereka untuk bersaing dengan Man City dan Liverpool di puncak saingan Premier League.

Penambahan pemain seperti Raheem Sterling jelas sekali akan membantu jentera serangan Chelsea dan tentunya Thomas Tuchel akan lebih gembira dengan kekuatan skuadnya.

Chelsea musim ini berada di kedudukan ketiga dalam carta saingan Premier League dan mereka juga turut berjaya layak ke dua aksi perlawanan akhir.

The Blues tewas di tangan Liverpool dalam aksi perlawanan akhir FA Cup dan Carabao Cup dengan anak-anak buah Thomas Tuchel itu berjaya heret Liverpool ke aksi penentuan sepakan penalti.

Dalam saingan Champions League pula, Chelsea hanya mampu layak hingga ke peringkat suku akhir sahaja sebelum mereka disingkirkan oleh Real Madrid.

Jelas sekali Thomas Tuchel akan memastikan anak-anak buahnya mampu mencatatkan sesuatu yang lebih baik musim hadapan.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Zidane & Lampard Disenarai Pendek Chelsea Untuk Gantikan Tempat Sarri