Manchester United Mahu Tandatangani Seorang Lagi Centre-back Selain Varane Pada Musim Panas Ini

Manchester United pada ketika ini sedang dalam usaha untuk menandatangani seorang lagi pemain centre-back menjelang bermulanya saingan musim baharu nanti.

Ketika masih sedang berunding dengan Real Madrid berkait urusan perpindahan Raphael Varane, setan merah turut berusaha untuk mendapatkan Jules Kounde.

United telah dikaitkan dengan perpindahan melibatkan bintang Real Madrid, Raphael Varane pada musim panas ini, dengan laporan yang menyatakan bahawa mereka telah membuat tawaran bernilai £50 juta.

Pemenang Piala Dunia bersama Perancis itu sudah menyatakan persetujuannya untuk ke Old Trafford, namun pada masa sama beliau tetap mahu menghormati kontraknya bersama Los Blancos.

Beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Real Madrid untuk memutuskan sama ada mahu melepaskannya atau tidak.

Memandangkan kontrak Varane bersama kelab hanya berbaki satu tahun, pihak kelab tentunya tidak mahu melepaskan beliau secara percuma tahun hadapan.

Oleh yang demikian, Los Blancos tentu akan memanfaatkan kesempatan yang ada dengan menggunakan Varane untuk memberikan kelab sedikit dana tambahan.

Namun Daily Mail telah mendakwa yang United masih terus memburu seorang lagi pemain pertahanan lain, sambil mereka menanti jawapan dari Real Madrid.

Setan merah ketika ini sedang berusaha untuk mendapatkan rakan sepasukan Varane dalam skuad kebangsaan Perancis, Jules Kounde.

Kounde menyertai Sevilla dari Bordeaux pada tahun 2019 dan beliau telah menjadi salah seorang pemain pertahanan muda paling berpotensi dalam dunia bola sepak masa kini.

Walau baru berusia 22 tahun, Kounde telah terpilih untuk mewakili skuad kebangsaan Perancis ke saingan Euro 2020 baru-baru ini.

Tottenham Hotspur dan Chelsea turut dikatakan berminat untuk menandatangani Jules Kounde sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Kontrak Kounde bersama Sevilla akan berakhir pada 2024 nanti, maka tidak mengejutkan untuk melihat kelab akan meletakkan tanda harga yang tinggi untuk melepaskan beliau.

United sebelum ini sering menggunakan gandingan Harry Maguire bersama Victor Lindelof, dengan mereka berjaya mengakhiri saingan liga di kedudukan kedua pada musim lalu.

Usia yang muda dan kemampuan yang luar biasa, United mungkin perlu sediakan dana yang besar untuk mendapatkan khidmatnya

Setan merah pada musim panas ini telah berjaya melengkapkan perpindahan Jadon Sancho minggu lalu dan juga Tom Heaton pada awal bulan lalu.

Namun begitu, ketika berbicara tentang pemain yang akan keluar, nama Paul Pogba hangat dikatakan akan meninggalkan kelab pada musim panas ini, memandangkan kontraknya akan tamat tahun hadapan.

Terdapat laporan yang menyatakan bahawa Paris Saint Germain bersedia untuk membuat tawaran dan membawa Pogba ke Parc des Princes.

Pengurus pasukan, Ole Gunnar Solskjaer telah menjelaskan tentang masa depan Pogba ketika temu bual selepas tamat perlawanan persahabatan bertemu Queens Park Rangers kemarin.

“Perbincangan ketika ini sedang berjalan antara wakil Paul bersama wakil dari kelab.”

Jelas Solskjaer.

“Sememangnya sentiasa akan ada spekulasi berkait masa depan Paul dan memang akan sentiasa ada kelab yang berminat dengan dia, sudah tentu ia kerana kita semua sudah lihat bagaimana aksi dia ketika sedang dalam rentak persembahan terbaik dia.”

“Saya tak begitu jelas tentang setiap hal dalam perbincangan itu, tapi Paul tahu apa yang kami rasa tentang itu. Saya sentiasa gembira sepanjang bekerjasama dengan Paul dan harapnya kami akan terus mampu untuk bekerjasama.”

“Apa yang saya tahu, segala yang saya bualkan bersama Paul, dia nampak mahu beri tumpuan kepada musim baharu nanti.”

Selain Paul Pogba, rakan senegaranya, Anthony Martial juga dilaporkan menjadi calon pemain yang mungkin akan meninggalkan Old Trafford pada musim panas ini.

Selepas kehadiran Jadon Sancho, sepertinya Martial semakin sukar untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama skuad.

Melihatkan kepada prestasinya yang tidak menentu, Martial pada musim lalu turut sering diketepikan dari skuad utama.

Jadi, dengan kehadiran Sancho, sepertinya semakin sukar untuk beliau bersaing dan merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad.

United jelas bersetuju untuk melepaskan Sancho dan telah meletakkan tanda harga bernilai £50 juta untuk pemain kebangsaan Perancis itu.

Nilai tersebut sedikit sebanyak boleh membantu United mendapatkan dana tambahan selepas mereka keluarkan belanja besar pada jendela perpindahan musim panas ini.

Sumber: SB

BACA:  Soutgate Pertahan Maguire Walaupun Setelah Jaring Gol Sendiri