Sejak menyertai Manchester United dari Arsenal pada jendela perpindahan Januari 2018, karier Alexis Sanchez merudum dan menjunam dengan teruk.
Ketika mewakili Arsenal, Sanchez dianggap sebagai pemain paling penting untuk skuad Arsene Wenger bersama dengan Mesut Ozil.
Walau bagaimanapun, keengganan beliau untuk menurunkan tandatangan bagi melanjutkan kontraknya di Emirates memaksa Wenger menjual beliau kepada pasukan yang berminat.
Pada ketika itu, kontrak Sanchez bersama Arsenal hanya berbaki 6 bulan sahaja lagi dan Arsenal tidak mahu kehilangan pemain antarabangsa Chile itu secara percuma.
Maka bermulalah tarik tali di antara pengurus Manchester City, Pep Guardiola dan pengurus United pada ketika itu, Jose Mourinho.
Ketika Sanchez semakin hampir untuk menyertai Manchester City, muncul Mourinho menawarkan gaji yang teramat lumayan dan seperti pemain Amerika Selatan yang lain, money is king. Duit lebih penting dari bola sepak dan Sanchez mengambil keputusan untuk membuat U-turn dan menyertai Mourinho di Old Trafford.
Red Devils menawarkan gaji paling tinggi dalam sejarah Liga Perdana Inggeris berjumlah hampir £500,000 seminggu termasuk bonus. Angka tersebut memang tidak masuk akal tetapi jika terdapat kelab yang mampu menawarkan jumlah setinggi itu, kelab tersebut adalah Setan Merah.
Sesungguhnya selepas setahun berlalu, Guardiola patut berterima kasih kepada Mourinho kerana menyelamatkan beliau dari Alexis Sanchez.
Sejak menyarung jersi Setan Merah, prestasi Sanchez jatuh mendadak dan beliau tidak lagi tajam di hadapan gol, tidak seperti ketika di Arsenal dahulu dimana beliau adalah penjaring utama pasukan.
Ketibaan Ole Gunnar Solskjaer juga tidak banyak membantu menaikkan prestasi Sanchez. Solskjaer lebih suka menggunakan Anthony Martial dan Marcus Rashford di posisi Sanchez, dan masalah kecederaan juga tidak banyak membantu karier Sanchez di Old Trafford.
Musim ini menyaksikan Manchester United melalui kempen yang cukup mengecewakan dan rombakan besar-besaran dijangka berlaku pada jendela perpindahan musim panas nanti.
Dan nama pertama yang mungkin dilepaskan Solskjaer sudah tentu Sanchez. Gaji lumayan yang diterima Sanchez juga menjadi masalah dalam skuad Red Devils.
Pemain seperti Paul Pogba dan David De Gea merasakan mereka juga patut menerima gaji yang sama seperti Sanchez.
Perbincangan kontrak di antara United dengan Ander Herrera turut terjejas kerana permintaan terlampau gara-gara gaji Sanchez.
Disebabkan itu, menurut laporan Daily Mail, Manchester United bersedia untuk membayar £13 juta kepada Sanchez semata-mata untuk memastikan beliau tidak lagi berada di Old Trafford musim hadapan.
Melihat pada prestasi Sanchez, sukar untuk melihat kelab yang sanggup membayar gaji yang tinggi kepada Sanchez. Tetapi jika Sanchez mampu kembali ke prestasi seperti di Arsenal dulu, beliau mungkin mampu menjadi pembelian yang berbaloi.