Mane Dakwa Liverpool Mampu Tewaskan Mana-Mana Pasukan Selepas Mara Ke Pentas Final UCL

Pemain Liverpool, Sadio Mane percaya pasukannya memiliki keupayaan untuk menewaskan mana-mana pasukan di dunia ketika ini selepas mengesahkan tempat di perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah musim ini.

Dalam perlawanan timbal balik awal pagi tadi, Mane berjaya menjaringkan gol pertama Liverpool untuk memberikan lebih banyak tekanan kepada AS Roma. Liverpool tewas 4-2 dalam perlawanan tersebut tetapi mara ke pentas final menerusi aggregat 7-6.

Penjaring gol pertama Liverpool. Sepakan yang cukup padu

Jurgen Klopp dan anak buahnya akan berkunjung ke Kiev, Ukraine hujung bulan ini untuk bertemu Real Madrid dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah. Mane mengakui beliau sudah tidak sabar untuk menghadapi Real Madrid walaupun saingan Liga Perdana Inggeris masih lagi berbaki 2 perlawanan.

“Jika anda perlu berhadapan Real Madrid, anda tidak boleh untuk tidak memikirkan pasukan tersebut kerana mereka adalah antara pasukan terbaik di dunia sekarang.”

“Kami adalah Liverpool dan kami juga pasukan yang kuat. Kami mampu menewaskan mana-mana pasukan di dunia. Kami akan berjuang habis-habisan untuk memenangi perlawanan akhir itu nanti.”

Di peringkat domestik pula, The Reds dalam landasan terbaik untuk melayakkan diri beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan untuk dua musim berturut-turut.

Van Dijk meraikan kejayaan The Reds mara ke final

Kemenangan ke atas Chelsea hujung minggu ini akan mengesahkan perkara tersebut dan Mane mahu seluruh pasukan mengalihkan fokus terhadap Liga Perdana Inggeris buat masa sekarang.

“Saya rasa masih terlalu awal untuk bercakap mengenai final Liga Juara-Juara kerana kami masih mempunyai dua perlawanan liga yang penting sebelum musim ini berakhir.”

“Chelsean Ahad ini dan seminggu selepas itu Brighton. Kami perlu memenangi dua perlawanan ini bagi memastikan Liverpool kekal berada di kedudukan 4 teratas.”

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp pula berada dalam mood yang gembira selepas melihat pasukannya mengenepikan cabaran Roma di Stadium Olimpico awal pagi tadi.

Bekas pengendali Borussia Dortmund ini mahu anak buahnya ‘menghabiskan kerja’ dengan memenangi Liga Juara-Juara Eropah musim ini, menewaskan Real Madrid.

“Kami berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Liga musim lalu tetapi gagal memenanginya. Tiada sesiapa pernah menyebut ketika berjumpa saya di luar, ‘Terima kasih kerana  membawa Liverpool ke final’.”

“Kami juga mara ke final Europa League sebelum ini. Tetapi tiada sesiapa yang berterima kasih kepada saya atas pencapaian tersebut. Saya tidak dapat melihat mana-mana trofi selepas mengharungi perlawanan akhir tersebut.”

Tiada siapa akan mengingati pasukan di tempat ke-2

“Liverpool tidak menggantung medal naib juara di Melwood. Ia agak kesian tetapi itulah bolasepak. Kami masih mempunyai tugas yang perlu diselesaikan hujung bulan ini.”

“Melangkah perlawanan akhir adalah perkara yang bagus tetapi memenanginya merupakan pencapaian yang lebih baik. Kami akan bersiap sedia untuk menewaskan Real Madrid.”

“Tiada pasukan yang lebih berpengalaman dalam pertandingan ini dari Real Madrid. Mereka berjaya mara ke perlawanan akhir sebanyak 4 kali dari 5 musim yang terakhir.”

“Mereka pasukan yang lebih berpengalaman berbanding pasukan Liverpool, tetapi kami akan berjuang habis-habisan.”

BACA:  De Bruyne Didakwa 'Copy Paste' Teknik Alexander-Arnold Hasilkan Assist Padu Lawan Liverpool