Martial Pilih Untuk Sertai Kelab La Liga Januari Ini

Anthony Martial lebih memilih untuk sertai Sevilla seandainya beliau benar-benar meninggalkan Manchester United pada jendela perpindahan Januari ini.

Laporan mengejut dari media UK itu mendedahkan yang Martial bersungguh untuk meninggalkan United Januari ini, dan Sevilla merupakan destinasi pilihan beliau.

Martial pada ketika ini bergelut untuk mendapat tempat dalam skuad utama, dengan beliau kini lebih kerap memanaskan bangku simpanan sahaja berbanding diturunkan untuk beraksi.

Beliau semakin terpinggir selepas kelab berjaya mendapatkan khidmat Cristiano Ronaldo dan Jadon Sancho pada jendela perpindahan musim panas baru-baru ini.

Pemain berusia 26 tahun itu hanya mampu 2 kali sahaja berada dalam kesebelasan utama United dalam aksi saingan Premier League pada musim ini.

Melihat beliau kini sukar untuk mendapat tempat dalam skuad utama, banyak kelab gergasi Eropah yang berusaha memantau perkembangan Martial pada ketika ini.

Sky Sports News mendakwa Sevilla, Barcelona dan Juventus merupakan antara pasukan yang sangat berminat untuk mendapatkan khidmat Martial pada jendela perpindahan Januari ini.

Laporan sama turut mendedahkan yang Martial sebenarnya lebih memilih untuk melengkapkan perpindahan menyertai Sevilla pada Januari ini, kerana merasakan beliau akan mendapat lebih banyak minit permainan di sana.

Sevilla pada ketika ini berada di kedudukan kedua dalam carta saingan La Liga, dengan mereka hanya enam mata sahaja di belakang pendahulu, Real Madrid.

Kontrak Martial bersama Manchester United dilaporkan masih berbaki tiga tahun lagi, dan beliau pada Januari ini berkemungkinan akan meninggalkan kelab sebagai pemain pinjaman sahaja terlebih dahulu.

Pemain kebangsaan Perancis itu dijangka akan mengadakan rundingan terus dengan pengurus interim kelab, Ralf Rangnick berkait masa hadapan beliau bersama kelab dalam tempoh beberapa hari dari sekarang.

Awal bulan lalu, ejen Martial, Philippe Lamboley telah menyatakan yang pemain penyerang itu berhasrat untuk meninggalkan Old Trafford dalam masa terdekat ini.

“Anthony berharap untuk meninggalkan kelab pada Januari.”

Jelas Lamboley kepada Sky Sports News.

“Dia hanya mahu bermain. Dia tak mahu kekal pada Januari ini dan saya akan bercakap dengan kelab tidak lama lagi.”

Minggu lalu, Ralf Rangnick menegaskan yang Martial tidak bercakap sama sekali dengan beliau, tentang hasratnya yang mahu meninggalkan kelab.

Menjawab komen dari Lamboley, Rangnick menjelaskan bahawa:

“Saya tidak berkomunikasi dengan ejen menerusi media atau sidang media.”

“Pemain sendiri tidak bercakap dengan saya atau kami tentang itu.”

“Sejujurnya, apa yang dikatakan oleh ejen dia pada media, ia tidak begitu menarik minat saya.”

Selain Martial, Manchester United juga berkemungkinan akan kehilangan beberapa lagi pemain dari skuad utama mereka, yang memilih untuk meninggalkan kelab.

Kebanyakan dari mereka memutuskan untuk meninggalkan kelab kerana kekurangan minit permainan, dan tentu sekali menyertai kelab lain yang lebih memerlukan khidmat mereka merupakan satu-satunya cara untuk mereka dapatkan minit permainan yang mencukupi.

Jesse Lingard, Donny Van de Beek, Dean Henderson, Juan Mata, Mason Greenwood dan Edinson Cavani merupakan antara nama-nama yang dikaitkan bakal meninggalkan kelab pada jendela perpindahan Januari ini.

Ada yang bakal melakukan perpindahan tetap dan ada yang meminta untuk dipinjamkan ke pasukan lain dalam usaha untuk mendapatkan minit permainan.

Paul Pogba pula sedang menghampiri untuk kontraknya tamat pada penghujung musim nanti, dan beliau dijangka bakal meninggalkan Old Trafford pada musim panas akan datang.

Jendela perpindahan Januari ini bakal menjadi antara jendela perpindahan yang sangat menarik untuk disaksikan dek kerana ramainya pemain yang mahu meninggalkan kelab masing-masing untuk mendapatkan minit permainan.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Anthony Martial Pemain United Pertama Jaringkan Hatrick Selepas Era Alex Ferguson