Masalah Kecederaan Cetus Kebimbangan United Menjelang Aksi Manchester Derby

Manchester United berdepan dengan tamparan yang dasyat menjelang aksi sepak mula mereka bertemu dengan Manchester City di Old Trafford pada malam ini.

Setan merah berkemungkinan bakal turun tanpa kehadiran pemain penyerang mereka, Edinson Cavani dalam aksi Manchester derby nanti.

Pemain kebangsaan Uruguay itu berdepan masalah kecederaan ketika beraksi bertemu Tottenham Hotspur minggu lalu.

Pemain berusia 34 tahun itu dimasukkan dari bangku simpanan ketika aksi terikat 2-2 bertemu Atalanta dalam saingan Champions League baru-baru ini.

Cavani, Raphael Varane dan Paul Pogba bakal terlepas aksi Manchester derby pada malam ini memandangkan kesemua mereka sedang bergelut dengan masalah kecederaan.

Pemain penyerang itu juga terpaksa diketepikan dari skuad kebangsaan Uruguay untuk aksi kelayakan Piala Dunia bertemu Argentina dan Bolivia.

β€œDia tidak akan bermain esok. Ia memang tidak dapat dielakkan. Dia mengalami kesakitan yang teramat sangat sejak dua hari lalu.”

Jelas wartawan Uruguay, Rodrigo Romano.

β€œKesakitan itu mula dia rasakan selepas 80 minit beraksi bertemu Tottenham dan hal itulah yang menyebabkan dia tak boleh diturunkan sebagai pemain utama bertemu Atalanta. Dia dalam fasa penyembuhan. Dia tidak akan bermain esok.”

Cavani sendiri sebelum ini benar-benar teruja untuk beraksi dalam Manchester derby dengan beliau memberitahu United Review bahawa:

β€œIa merupakan jenis perlawanan yang saya rasa semua orang, termasuk saya juga, mahu terlibat dan beraksi, kerana ia merupakan perlawanan yang sangat istimewa. Perlawanan yang akan menjadi sebahagian dari sejarah dan akan kekal dalam ingatan semua orang.”

Kehilangan pemain penyerang utama sepertinya satu tamparan hebat untuk Manchester United apa lagi mereka turut kehilangan khidmat pemain pertahanan, Varane.

El Matador telah menjadi sensasi para peminat sejak dari awal ketibaannya di Old Trafford dari Paris Saint Germain pada Oktober 2020.

Beliau setakat ini sudah berjaya menjaringkan 18 gol dari 47 penampilan bersama setan merah sepanjang kariernya.

Beliau sebelum ini melalui karier yang sungguh menakjubkan bersama Paris Saint Germain dengan menjaringkan 200 gol dari 301 penampilan.

Perlawanan bertemu Manchester City bakal menjadi aksi terakhir Manchester United sebelum rehat antarabangsa dan ia juga bakal menjadi penentu yang akan menentukan masa depan Ole Gunnar Solskjaer.

Selepas kekalahan memalukan bertemu Liverpool sebelum ini, ramai pihak yang menggesa pihak kelab agar memecat pengurus dari Norway itu.

Namun dek kerana mendapat sokongan yang kuat dari legenda kelab, Sir Alex Ferguson, Solskjaer telah diberi kesempatan untuk buktikan sesuatu dari tiga perlawanan United bertemu Tottenham Hotspur, Atalanta dan Manchester City.

Beliau berjaya melakukan tugasnya dengan baik ketika bertemu Tottenham dengan mencatatkan kemenangan 3-0 di halaman lawan.

United kemudiannya berjaya mengelak dari kekalahan bertemu Atalanta dengan mereka mengikat gergasi Itali itu dengan keputusan 2-2.

Perlawanan bertemu Manchester City bakal menjadi penentu masa hadapan Solskjaer sama ada beliau akan terus diberi peluang atau dipecat.

Melihat kepada rekod pertemuan kedua-dua pasukan, Solskjaer lebih berpeluang untuk mencatatkan kemenangan.

Namun masalah kecederaan pemain jelas sekali akan mengganggu perancangan beliau, dan mungkin akan beri impak negatif dalam perlawanan tersebut.

Walau bagaimanapun, dek kerana perlawanan ini merupakan derby, jadi tidak hairanlah andai United tetap mampu pamer aksi terbaik walau tanpa kehadiran ramai bintang utama mereka.

Ia kerana para pemain kebiasaannya akan terbawa-bawa dengan aura perlawanan dan mempamerkan aksi persembahan berbeza dalam perlawanan derby seperti ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:Β  Pochettino Gembira Lihat Sir Alex Ferguson Kembali Terlibat Dengan Pasukan Utama United