Matyo Mahu De Paula Diturunkan Menerajui Barisan Serangan Malaysia Menentang Vietnam

Nama pemain naturalisasi negara, Guilherme De Paula, sering menjadi sasaran cemuhan para penyokong bola sepak Malaysia sejak kali pertama dia menyarung jersi Harimau Malaya pada pusingan kelayakan Piala Asia pada pertengahan tahun ini.

Ada yang mengatakan bahawa dia tidak berfungsi sebagai penyerang, tahap permainannya sama dengan pemain tempatan dan bermacam lagi cemuhan yang dilemparkan.

Apabila ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, mengeluarkan senarai nama pemain yang akan menggalas cabaran negara di Piala AFF 2020, seluruh alam Nusantara memberikan reaksi bercampur baur.

Dalam perlawanan pertama Malaysia menentang Kemboja, De Paula diturunkan di kesebelasan utama dan pemain berasal Brazil ini gagal menjaringkan gol buat pasukan negara.

Perlawanan kedua menentang Laos, De Paula sekadar dimasukkan pada penghujung perlawanan dan dengan masa yang tidak banyak, tiada impak yang berjaya diberikan oleh bekas penyerang Perak ini.

Walaupun memegang status pemain paling dibenci oleh penyokong Malaysia, De Paula tetap menjadi pilihan untuk diturunkan oleh dua bekas pemain Malaysia, Shukor Adan dan Nurshahrul Idlan Talaha.

Shukor, dalam bual bicara sebelum perlawanan menentang Laos, berpendapat bahawa kehadiran De Paula dalam kotak penalti lawan mampu untuk memberikan kelebihan kepada pasukan negara apabila bertemu pasukan yang bertahan begitu rendah.

Manakala Nurshahrul, yang lebih mesra dikenali sebagai Matyo, mempunyai pendapat yang sama bagi perlawanan menentang Vietnam.

Dalam bual bicara di Astro Arena, hos Burn telah bertanyakan pendapat Matyo selaku penyerang tentang prestasi dan kegunaan De Paula dalam pasukan kebangsaan.

“Untuk perlawanan menentang Vietnam, saya akan memilih De Paula untuk bermain di posisi top striker,” jawab Matyo.

“Sebab kita tahu pertahanan-pertahanan Vietnam ni. Saya pernah alami dengan pertahanan Vietnam, memang diorang punya hard marking.

“Jadi kita perlukan De Paula. Nak tak nak kita kena, macam Coach Tan, kena bagi motivasi yang tinggilah kepada De Paula untuk perlawanan esok [hari ini].

“Kalau nak pakai dia, memang betul-betul kena bagi motivasi untuk dia bagi 100 peratus untuk perlawanan esok, ibarat macam perlawanan akhir lah perlawanan esok.

“De Paula, dia kena ambillah tanggungjawab itu.”

Ketika ditanya apakah yang kita perlukan – sama ada kekuatan fizikal atau kebolehgerakan pemain di atas padang, Matyo menjawab;

“Dua-dua,” ringkas jawabnya, lalu menambah;

“De Paula ada fizikal, jadi nak tak nak pihak jurulatih kena push De Paula untuk bekerja keras esok. Kena kerja lebih.

“Macam saya sendiri, untuk lawan Vietnam, malam ni kita dah fikir esok kita kena double work [dengan bola dan tanpa penguasaan bola].”

Ketika ditanya tentang jumlah pemain yang dibawa oleh Tan Cheng Hoe seramai 24 orang, berbanding 30 pemain yang dibenarkan, Matyo mempunyai jawapannya sendiri.

“Coach Tan pun tak terfikir pemain boleh kena Covid.

“Cuma kalau dia bawa ramai tu, saya rasa lah sebab saya kenal Coach Tan lama, mungkin dia nak menjaga perasaan pemain ke.

“Bila dia bawa ramai ke Singapura nanti ada yang tak ada dalam skuad jadi benda tu boleh terguris hati pemain, bila tak ada dalam skuad, duduk atas tengok perlawanan.

“Malah kalau duduk di bangku simpanan pun siapa yang tak dapat main akan kecewa. Tapi nak tak nak, kita satu pasukan, memang kita kena sentiasa berfikir positif.

“Mungkin itu satu sebab kenapa Coach Tan tak bawa ramai pemain.”

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia menang ketika menentang Vietnam adalah tujuh tahun lalu di mana pasukan Harimau Malaya berjaya menewaskan Naga Emas 4-2 pada peringkat separuh akhir kedua di Hanoi, dan Matyo muncul sebagai penjaring gol kedua negara.

Malaysia tiba di negara tersebut dengan tugas yang berat apabila tewas 1-2 di pusingan pertama di Stadium Shah Alam, dalam perlawanan yang dicemari tindakan bodoh segelintir monyet yang menganggap diri mereka sebagai hooligan.

Dalam perlawanan di Hanoi, Malaysia mendahului lawan menerusi sepakan penalti daripada Safiq Rahim selepas Indra Putra Mahyuddin dikasari pertahanan Vietnam.

Tidak lama kemudian, Matyo mengambil kesempatan di atas ketidaktahuan pertahanan Vietnam dan penjaga gol mereka, yang gagal mengagak lantuan bola dengan tepat.

Matyo menyungkit bola ke belakang penjaga gol dan menolak bola ke dalam gawang yang terbuka luas.

Vietnam merapatkan kedudukan beberapa minit kemudian menerusi sepakan penalti selepas penyerang Vietnam, Guyet dikasari dalam kotak penalti.

Namun tanpa rasa mengalah Malaysia bangkit dan terus menyerang kubu lawan dan hasilnya, hantaran Indra Putra dari sebelah kiri padang ditampan oleh pemain Vietnam ke dalam gol sendiri.

Menuju ke penghujung separuh masa pertama, pemain legenda Shukor Adan, menjaringkan gol keempat Malaysia apabila tanpa dikawal dia telah melakukan tandukan ke dalam gawang Vietnam selepas menerima hantaran daripada Fadhli Shas.

BACA:  Piala AFF B-16: Malaysia 3-0 Kemboja