Mbappe Dilihat Mengeluh Kerana Tak Puas Hati Dengan Neymar

Paris Saint Germain berjaya merekodkan kemenangan kelapan mereka dari lapan perlawanan pertama dalam saingan Ligue 1 musim ini selepas kejayaan mereka menewaskan Montpelier di Parc des Princes awal pagi tadi.

Idrissa Gueye membuka tirai jaringan seawal minit ke-14 permainan menerusi satu rembatan padu dari luar kotak penalti.

Skuad kendalian Mauricio Pochettino itu berjaya menggandakan kedudukan mereka pada minit ke-89 permainan menerusi Julian Draxler.

Neymar berjaya mengumpan bola untuk Draxler di dalam kotak penalti dan bintang Jerman itu tenang menewaskan Jonas Omlin untuk gol kedua Paris Saint Germain.

Apa yang menariknya, ia merupakan sentuhan pertama Draxler dalam perlawanan tersebut, selepas beliau masuk menggantikan Di Maria seminit sebelum menjaringkan gol.

Sama seperti Di Maria, Kylian Mbappe turut dikeluarkan seminit sebelum Paris Saint Germain berjaya memperoleh gol kedua mereka dalam perlawanan itu, dengan beliau digantikan oleh Mauro Icardi.

Kamera berjaya merakam reaksi Kylian Mbappe sebaik kejayaan Draxler meledak gol dan beliau dilihat membebel tentang Neymar.

Rakaman yang dirakam oleh Canal+ menunjukkan Mbappe sedang membebel mengeluh tentang Neymar.

Menurut RMC Sport, Mbappe dikatakan bercakap kepada Gueye bahawa:

“Dia (Neymar) tak nak beri saya bola.”

Sepertinya ada masalah dalaman yang tidak didedahkan antara kedua-dua mereka dengan Mbappe jelas tidak senang dengan tindakan Neymar.

Jika Mbappe benar-benar mempunyai masalah dengan Neymar, ia sebenarnya bukan kali pertama beliau ada masalah dengan rakan sepasukannya.

Pemenang Piala Dunia itu turut pernah mempunyai masalah dengan Olivier Giroud ketika kejohanan Euro 2020 baru-baru ini dan hal tersebut turut didedahkan kepada umum.

Sudah tentu, ia jelas sekali Mbappe bukan hanya bengang kerana beliau dikeluarkan pada aksi babak kedua permainan.

Namun ia jelas bakal memberi masalah besar di hari mendatang dengan Neymar sendiri tidak akan gembira melihat insiden tersebut.

Paris Saint Germain ketika ini 10 mata mengatasi Marseille yang berada di kedudukan kedua dalam saingan Ligue 1 dan mereka sepertinya sedang dilandasan terbaik untuk merampas semula kejuaraan liga.

Gergasi Ligue 1 itu selepas ini bakal beraksi bertemu Manchester City dalam saingan Champions League pada Selasa hadapan, dan mereka tentunya mahu mencatatkan kemenangan dalam usaha untuk memenangi gelaran UCL pertama dalam sejarah kelab.

Lionel Messi tidak diturunkan dalam aksi bertemu Montpelier kerana beliau tidak berada di tahap kecergasan terbaiknya dan beliau berkemungkinan akan diturunkan dalam aksi bertemu Manchester City nanti.

Para peminat Paris Saint tidak sabar untuk menantikan gol pertama dari Messi dengan beliau setakat ini masih belum mampu untuk menjaringkan gol mahupun mencatatkan assists.

Messi sebelum ini dikatakan tidak puas hati dengan Mauricio Pochettino kerana mengeluarkan beliau pada aksi babak kedua permainan.

Beliau ketika itu tidak mahu bersalam dengan pengurusnya itu dan memberi renungan yang jelas menunjukkan beliau tidak puas hati dengan situasi tersebut.

Pochettino walau bagaimanapun menjelaskan yang beliau mengeluarkan Messi kerana melihat pemenang enam kali gelaran Ballon D’or itu mengalami kecederaan lutut.

Kerana bimbang kecederaan tersebut semakin parah, maka beliau terpaksa memutuskan untuk mengeluarkan Messi.

Sumber: GMS

BACA:  Tiada Pemain Lebih Besar Daripada Kelab, Presiden PSG Beri Mbappe Masa 2 Minggu