Mbappe Mahu Neymar Berambus Kerana Tidak Bagi Dia Ambil Penalti

kylian mbappe

Kylian Mbappe dilaporkan mahu Neymar segera berambus dari PSG dan dijual hanya kerana pemain Brazil itu tidak membenarkan pemain bintang Perancis itu mengambil sepakan.

Kemenangan PSG ke atas Montpellier dengan jaringan 5-2 tidak menjadi topik utama bualan dunia bola sepak tetapi sisi gelap pasukan semakin terdedah.

Insiden Mbappe menghentikan larian kerana Vitinha tidak menghantar bola, Mbappe mahu merebut sepakan penalti dari Neymar, Mbappe melanggar bahu Messi yang dianggap kurang ajar antara cerita yang keluar dari kemenangan itu.

Malah Achraf Hakimi juga telah dituduh sebagai kroni Mbappe kerana tidak menghantar bola kepada Lionel Messi dan Neymar dengan hantaran kebanyakkannya mencari Mbappe.

Sebelum ini The Guardian melaporkan bahawa ada kerisauan di bilik persalinan PSG kerana mereka mungkin akan terpecah kepada kem Mbappe dan Neymar.

Perkara itu seperti sudah terjadi sekarang ini dan pasti akan memberi kesan kepada pasukan jika benar.

Isu Neymar dan Kylian Mbappe dikatakan sedang mendidih ketika ini di PSG. Neymar pernah kecewa dengan Mbappe apabila pemain itu dengan terbuka menyatakan dia menyokong idea pemilik kelab untuk menjual Neymar.

Kylian Mbappe merupakan pemain yang super istimewa kerana diberikan kuasa pemilik dalam kontrak baharunya sebagai tanda bahawa PSG benar benar mahu menjadikannya teras projek mereka.

Namun hubungan mereka kembali ok, selepas PSG tidak menjual Neymar atas nasihat Luis Campos.

Ini kerana menurut Campos, Pengarah Sukan baharu PSG, penjualan Neymar akan memberikan impak kepada Messi yang baru kehilangan rakan baiknya Angel Di Maria.

Di mana Messi masih cuba mencari rentak terbaiknya di PSG.

Tetapi ketegangan hubungan antara Mbappe dan Neymar kembali memuncak selepas aksi Ahad lalu.

Di mana Kylian Mbappe tanpa segan silu telah meminta Neymar memberikannya bola untuk mengambil sepakan penalti kedua, selepas dia gagal menyempurnakan yang pertama.

Kerana sepakan penalti Neymar dan Mbappe kini dilaporkan sudah tidak sehaluan. Neymar sebelum ini pernah berebut sepakan penalti dengan Edison Cavani ketika mula menyertai PSG.

Sebelum ini Neymar merupakan pelaksana penalti yang utama untuk pasukannya. Nampaknya bermula musim ini, Neymar menjadi orang kedua untuk tugasan itu.

Selepas Mbappe gagal menyempurnakan yang pertama, Neymar merasakan tiba gilirannya pula untuk mengambil penalti. Tetapi Mbappe sempat meminta dia memberikan bola. Neymar tidak melayan permintaan itu.

Video Mbappe datang dan meminta penalti itu sudah tular dan menjadi bualan dunia bola sepak dan Neymar pula seperti mencurah garam + limau ke luka.

Neymar seperti mencari geruh apabila telah kantoi meletakkan tanda Like di post yang telah mengutuk Kylian Mbappe yang merupakan rakan sepasukan dan juga pemilik bersama PSG.

Post dari akaun media sosial, Twitter itu berbaur anti Kylian Mbappe nyata telah menarik minat Neymar untuk mengetik butang Like.

Bukan satu Like yang diketik oleh Neymar tetapi beberapa Like telah diberikan Neymar kepada post yang mengutuk Kylian Mbappe.

Hantaran dari akaun Twitter itu berkisar kepada kegagalan bintang mega Perancis itu menyempurnakan sepakan penalti untuk meletakkan PSG di depan mendahului Montpellier.

Like pertama Neymar hadir di akaun Twitter Portal Brazil yang menulis:

“Hari ini dalam perlawanan PSG, Neymar telah menjaringkan gol dan MEMALUKAN penjaga gol (sekali lagi) di sepakan penalti. Dalam pada itu Mbappe telah melakukan satu sepakan yang amat teruk dan gagal.”

“Selepas perlawanan, jurulatih telah berkata bahawa Mbappe akan menjadi penyepak penalti utama pasukan untuk musim ini. Ini tidak masuk akal.”

Selepas kegagalan Mbappe. PSG mendapat satu lagi sepakan penalti, Neymar telah bersembang dengan Mbappe mungkin meminta izin dan berjaya menyempurnakan sepakan penalti.

Sukaan Neymar mengetik Like tidak berhenti di situ apabila telah meletakkan Like kedua di post dari akaun @Neymargiabr yang telah mencoret:

“Jelas ini sesuatu yang termaktub dalam kontrak kerana tiada kelab dalam dunia ini akan meletakkan Neymar sebagai pilihan kedua untuk sepakan penalti. tiada!!”

“Situasi ini jelas kerana kontrak, Mbappe adalah pemilik PSG!!”

Sergio Ramos dilaporkan kini menjadi jaksa pendamai dan menjadi orang tengah untuk meredakan ketegangan antara Neymar dan Mbappe.

Mungkin Ramos akan mengusulkan jalan tengah supaya kedua-dua pemain itu mengalah dan membiarkan Ramos menjadi pengambil sepakan penalti utama.

Padu kot Ramos amek penalti.

BACA:  Peminat Tuduh Neymar Sengaja Kutip Kad Merah