Membelah Taktikal 3-4-3 Jerman dan Peranan Gosens Ketika Menghumban Kapal Portugis ke Laut

Joachim Loew membuktikan dia masih punya sentuhan berbisa untuk mengemudi Jerman buat kali terakhir sebelum melepaskan jawatan yang dipegangnnya sejak tahun 2006 kepada Hansi Flick selepas kempen Euro Die Mannschaft berakhir.

Selepas tewas tipis 1-0 di tangan Perancis, dalam perlawanan pertama Jerman di kempen Euro 2020, Loew dikecam hebat media dan penyokong Jerman, bukan kerana tabiatnya yang suka korek-korek cium di tepi padang, tetapi kegagalan Jerman merobek gawang lawan.

Ditambah pula dengan kisah Jerman tersingkir awal di peringkat kumpulan ketika Piala Dunia 2018 di Russia, ada yang mengatakan Loew sudah ketandusan idea untuk mengemudi juara dunia 2014 tersebut.

Walaubagaimanapun, dalam perlawanan kedua Euro 2020 mereka ketika menentang Jerman, anak buah Loew turun dengan perwatakan yang berbeza daripada perlawanan sebelumnya. Sebaik wisel sepak mula dibunyikan, pemain Jerman mendominasi perlawanan dengan melancarkan serangan bertali arus ke atas kubu Portugal, dengan sekali sekala sahaja anak buah Fernando Santos mampu untuk melancarkan serangan balas.

Jadi di hari yang indah ini, kita buat bedah siasat sikit tentang taktik dan formasi yang digunapakai oleh Loew dalam perlawanan tersebut, serta bagaimana dua bek sayap mereka menjadi kunci ketika menyerang.

Bila kita bercakap tentang taktikal, kadang-kadang kunci utama kepada pelaksanaannya adalah benda-benda yang halus, benda yang orang tak berapa nak perasan.

Contohnya seperti larian mengumpan pertahanan lawan oleh penyerang, pemain bek tepi yang sekali sekala naik lebih tinggi daripada biasa, atau pemain sayap yang masuk ke tengah dan macam-macam lagi pergerakan yang akan membina tekanan atau membuka peluang kepada jaringan atau percubaan ke arah gol.

Pada masa yang sama, ada juga taktik yang secara jelasnya kita nampak apa yang akan dilakukan oleh pemain – inilah yang dilakukan oleh Loew dalam kemenangan ke atas Portugal tersebut.

Kalau kita tengok balik, jarang kita akan jumpa taktik yang sejelas dan seterang ini, atau dengan kata lain taktik yang jujur sangat.

Loew meletakkan bek sayapnya jauh di atas dan terbuka, dan ini telah menghasilkan empat gol, dan satu gol tidak dikira kerana ofsaid.

Tindakan Loew untuk kekal dengan sistem 3-4-3 adalah satu tindakan yang berani tapi berhasil. Ketika Jerman tewas kepada Perancis, ada perkara positif terutamanya apabila kita lihat dua bek sayap mereka, Joshua Kimmich overlap ke atas di sebelah kanan dan bilamana Robin Gosens kekal tinggi dan lebar di sebelah kiri.

Sistem 3-4-3 ni kalau di atas kertas, ketika menguasai bola, Jerman membentuk satu rangka yang agresif. Ia akan menjadi 3-2-5 dan ada kalanya jadi seperti 1-4-5 dengan dua pertahanan tengah, Antonio Rudiger dan Matthias Ginter, berada jauh ke tepi umpama pertahanan sisi, dan dua pemain tengah Toni Kroos dan Ilkay Gundogan, kekal di depan Mats Hummels yang menjadi sweeper.

Rangka 1-4-5 Jerman. Gambar : The Athletic

Rangka ini membolehkan Jerman menjadi ampuh apabila mempertahankan gol mereka daripada counter attack pasukan Portugal, dan mereka ternyata berjaya – kecuali gol pertama yang dijaringkan Cristiano Ronaldo yang berpunca daripada tendangan sudut Jerman.

Di bahagian atas pula, rangka ini membolehkan Jerman untuk melepaskan bek sayap mereka untuk naik ke atas dan membentuk lima pemain serangan.

Kalau kita perhatikan betul-betul, pemain bek sayap Jerman adalah pemain yang paling terkedepan berbanding pemain lain, dengan penyerang tengah Serge Gnabry sering melakukan larian di belakang, sekaligus memberikan mereka kelebihan apabila berdepan empat pertahanan Portugal.

Yang penting, mereka memastikan akan ada seorang pemain di bahagian far post yang tidak dikawal. Kalau dalam permainan semalam, kita tengok Gosens lah.

Gambar di bawah adalah contoh bila mana Jerman berjaya mewujudkan situasi 5 lawan 4 di depan kotak penalti Portugal.

Lihat Gosens di seberang sana yang tidak dikawal. Gambar : The Athletic

Gambar di bawah pula menunjukkan kedudukan pemain Jerman apabila empat pertahanan Portugal mengecilkan ruang untuk memberi tumpuan kepada tiga penyerang Jerman, dan memaksa pemain serangan Portugal, Diogo Jota dan Bernardo Silva untuk turun dan menjaga bek sayap Jerman, sekaligus menjadikan Portugal bermain seolah-olah dengan enam pertahanan.

Jota dan Silva turun ke bawah untuk menjaga bek sayap Jerman. Gambar : The Athletic

Dalam kes gol yang dibatalkan, kita boleh nampak hantaran yang bermula daripada bek tengah-kanan, Ginter, yang naik ke atas seperti pemain sayap menghantar bola ke kawasan far-post ke arah Gosens, yang kemudiannya melakukan sepakan separa akrobatik tepat ke dalam gol lawan.

Tetapi gol ini dibatalkan kerana Gnabry yang berada di posisi ofsaid ketika menghulurkan kakinya di depan go Portugal, sebelum bola singgah kepada Gosens.

Gosens berlari tanpa dicabar. Gambar : The Athletic

Banyak kali kita lihat taktikal Jerman yang mengumpan pemain Portugal ke sebelah kanan mereka, dengan bola dimainkan kepada Kimmich, Ginter atau Hummels sendiri. Bilamana pemain Portugal memberi fokus ke sebelah kiri mereka, dalam diam Gosens sudahpun melakukan larian ke arah far-post Portugal tanpa dikawal.

Contoh yang paling jelas adalah ketika Jerman menjaringkan gol penyamaan.

Kimmich menerima bola di sebelah kanan, dan dia dengan jelas nampak larian Gosens di far-post, lantas menukar permainan ke sebelah kiri kepada Gosens yang tidak dijaga mana-mana pemain Portugal.

Kimmich hantar bola kepada Gosens. Gambar : The Athletic

Usai menerima bola, Gosens melepaskan satu volley bertaraf rembatan ke tengah kotak penalti Portugal untuk mencari Havertz, lalu bola tertampan kaki Ruben Dias sebelum masuk ke gol Portugal dengan Rui Patriciao hanya mampu melihat tanpa berkelip.

Voley-shot daripada Gosens ditampan Dias. Gambar : The Athletic

Gol kedua Jerman juga terjadi dalam gerakan yang hampir sama, cuma berbeza sisi dan kali ini di sebelah kanan pula. Kimmich melakukan larian ke dalam kotak penalti Portugal tanpa dikawal dan dapat dilihat oleh Muller.

Muller melihat larian Kimmich. Gambar : The Athletic

Ketika bola melintas di depan Rui Patricio, Havertz cuba mencabar bola namun cubaan tampanannya sekadar membuatkan penjaga gol Portugal itu berkelip dan bola sampai ke kaki Kimmich yang tidak dikawal.

Tanpa membuang masa, Kimmich melakukan drilled cross ke tengah gol lalu bola tertampan ke kaki Guerreiro, sekaligus menjadikan kedudukan 2-1.

Drilled cross daripada Kimmich ditampan masuk ke gol sendiri oleh Guerreiro. Gambar : The Athletic

Dua gol sendiri ini menunjukkan bahawa pertahanan Portugal sedang berhadapan mimpi ngeri. Lebih malang buat mereka, pengurus berpengalaman seperti Santos seakan tidak tahu bagaimana untuk mengekang pergerakan yang terlalu bebas daripada bek sayap Jerman, sepanjang perlawanan.

Pada separuh masa kedua, Santos terpaksa mengorbankan Silva dan memasukkan Renato Sanches dengan harapan mampu untuk menjejak dan mengawal pergerakan Gosens – namun gagal.

Pergerakan dan cara pemainan Jerman kekal sehingga ke wisel penamat dengan gol ketiga yang dijaringkan oleh Havertz juga terhasil daripada umpanan Gosens yang tidak dikawal di far-post.

Begitu juga gol keempat dan kali ini Gosens sendiri yang menjaringkan gol selepas melompat tinggi tanpa dikawal dan menanduk masuk bola hantaran Kimmich.

Selepas ini Jerman akan menentang pasukan yang dikatakan paling lemah dalam kumpulan F, Hungary. Namun, selepas mereka berjaya mengikat Perancis 1-1, kekebalan pertahanan Hungary tidak boleh dipandang sepi.

Dalam perlawawanan tersebut, Hungary bermain dengan barisan pertahanan yang rendah di dalam kotak penalti, dan mereka bermain dengan begitu sistematik dan berdisiplin sekali. Menarik juga nanti kita tengok, adakah Kimmich dan Gosens masih mampu untuk bergerak tanpa dikawal atau tidak.

BACA:  Belgium Dianggap Pasukan Paling Bernilai Euro 2016