Menjadi Anak Kepada Tahanan Politik Bantu Xhaka Menjadi Lebih Bermotivasi

Granit Xhaka dianggap sebagai seorang pemain paling bermotivasi dan sering menunjukkan sikap tidak pernah menyerah kalah.

Beliau merupakan pemain midfield yang mendominasi bahagian tengah padang ketika aksi bertemu Perancis awal pagi tadi dan turut dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan.

Xhaka cemerlang untuk terlibat dalam membantu kedua-dua jentera serangan dan barisan pertahanan Switzerland ketika berdepan dengan Juara Dunia itu.

Switzerland terlebih dahulu membuka tirai jaringan selepas Seferovic menjaringkan gol pada minit ke-15 permainan untuk mendahului Perancis 1-0 pada aksi babak pertama permainan.

Juara Dunia 2018 itu kemudiannya berjaya meledak tiga gol pada aksi babak kedua permainan untuk mendahului permainan 3-1.

Dua gol jaringan Karim Benzema dan satu gol yang cukup padu dan menakjubkan dari Paul Pogba membuatkan Perancis berasa selesa untuk menamatkan perlawanan ini dengan keputusan 3-1.

Namun Switzerland tidak menyerah kalah dan aura ketua pasukan, Xhaka berjaya membantu rakan sepasukannya untuk melakukan aksi comeback yang sungguh menakjubkan.

Seferovic menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-81 permainan untuk merapatkan jurang gol, seterusnya mencetuskan api kebangkitan untuk Switzerland terus mengancam gawang gol Perancis.

Pada minit ke-90 permainan, Gavranovic berjaya meledak gol ketiga untuk Switzerland seterusnya membantu skuadnya untuk mengikat Perancis 3-3.

Xhaka terus memberi motivasi kepada rakan sepasukannya supaya bertahan sehabis baik dan cuba untuk mencari gol ketika mereka beraksi di masa tambahan.

Keputusan tersebut kekal hingga tamat masa tambahan, dan Switzerland berjaya menyingkirkan Perancis dari saingan Euro 2020 menerusi penentuan sepakan penalti.

Ketua pasukan Switzerland, Granit Xhaka telah dinamakan sebagai pemain terbaik dalam perlawanan ini selepas melihat sumbangan yang beliau pamerkan sepanjang perlawanan tersebut.

Para pemain Switzerland jelas begitu berbangga dengan kejayaan mereka membawa negara mereka mara ke peringkat suku akhir saingan Euro 2020.

Ini merupakan pertama kali dalam tempoh 67 tahun, untuk Switzerland berjaya mara hingga ke peringkat suku akhir dalam sesebuah kejohanan utama.

Granit Xhaka telah mencipta statistik yang sungguh gila dalam perlawanan ini dengan beliau melakukan 92% ketepatan hantaran dan 17 kali berjaya masuk ke kawasan final third.

Beliau turut berjaya melakukan lapan hantaran jauh, lima ball recoveries, tiga kali mencipta peluang, tiga kali memenangi fouls, melakukan tiga pintasan, berjaya menyempurnakan dua through ball, memenangi dua perebutan di udara, melakukan dua clearances, melakukan satu hadangan dan turut mencipta satu assists.

Xhaka merupakan pemain paling bermotivasi di atas padang dan beliau dilihat langsung tidak gentar berdepan dengan pasukan pilihan utama seperti Perancis.

Bagaimana beliau mampu mempunyai mental seperti itu?

Ada kisah menarik sebalik kejayaan Xhaka mempunyai mental yang begitu kuat dan mempunyai keyakinan diri yang sungguh luar biasa menakjubkan.

Kisah Xhaka Sebagai Anak Tahanan Politik

Ini adalah kisah yang telah membentuk Granit Xhaka dan menyalakan api yang cukup marak di dalam dirinya. Perincian dalam kisah ini agak berat dan hampir tidak dapat untuk difahami.

Namun agak mengejutkan untuk melihat pemain tengah Arsenal itu dapat menjelaskannya dengan begitu tenang dan terperinci tentang hal tersebut.

Xhaka bukanlah seorang pemain yang takut atau gentar ketika berdepan dengan sesiapa sekalipun, dan ia sama persis seperti sikap ayahnya, Ragip yang menghabiskan tiga tahun setengah sebagai tahanan politik di Yugoslavia.

“Seperti apa yang saya tahu, beberapa bulan awal beliau di dalam tahanan, kami dalam keadaan baik-baik sahaja.”

Jelas Xhaka.

“Namun tak lama selepas itu, kami mula rasa terpukul dengan hal tersebut.”

Kesalahan Xhaka Sr adalah kerana beliau terlibat dalam demonstrasi menentang pemerintah komunis di Belgrade pada tahun 1986.

Beliau merupakan seorang pelajar di Universiti Pristina di Kosovo yang ketika itu masih berada dalam wilayah autonomi di Yugoslavia dan beliau ketika itu baru berusia 22 tahun.

Beliau ketika itu bakal ditangkap dan dijatuhkan dengan hukuman penjara selama enam tahun, Xhaka Sr ketika itu berkongsi sel dengan empat tahanan lain dan mereka akan dibenarkan keluar sekali sehari selama 10 minit.

“Sebagai anak dia, kisah ini merupakan sesuatu yang menyentuh jiwa dan raga saya. Ia selalu ada dalam fikiran dan hati saya.”

Jelas Xhaka.

“Untuk menggambarkan ayah saya secara terperinci, kamu harus faham keseluruhan cerita tentang dia. Ia sangat tragis. Saya sesekali turut meminta pada dia untuk menceritakan semula kisah tersebut pada saya.”

“Tapi saya tak rasa dia sudah mendedahkan tentang semuanya. Memang selalu saya rasa ada kisah yang dia pendam seorang diri dan tidak mahu berkongsi dengan saya. Mungkin ia terlalu teruk atau memberi kesan pada dia dan kerana itu dia tak mahu anak-anak dia tahu.”

“Dia sangat berbangga sebagai Kosovarian dan dia yakin mereka juga mempunyai hak untuk wujud di muka bumi ini. Dia berdiri teguh untuk memperjuangkan hak mereka dan menuntut hak demokratik asas seperti keperluan dan hak untuk mengundi.”

“Dia tidak keseorangan, ramai juga pejuang seperti dia yang ditangkap, termasuk pak cik dia, yang turut dipenjarakan selama beberapa tahun lebih awal. Dia kena penjara selama 15 tahun. Ia semua hanya kerana politik. Ayah saya pernah tanya, ‘kenapa kita tidak amalkan demokratik di sini? Kita semua berhak untuk lebih demokratik. Kami berhak untuk didengari.”

Untuk memahami Xhaka, kita harus memahami keluarganya juga, bagaimana mereka menderita, bagaimana mereka lalui semuanya bersama dan tidak mengalah untuk hadapi semua itu.

Prinsip hidup beliau adalah kesetiaan dan penghormatan. Ketika beliau lakukan sesuatu, beliau akan lakukan dengan sepenuh jiwa dan raganya, sama seperti ayah dan ibunya.

“Salah satu hal yang menyedihkan tentang kedua orang tua saya adalah mereka hanya sempat bersama selama tiga bulan sahaja sebelum ayah saya ditangkap.”

Jelas Xhaka lagi.

“Saya sememangnya sangat menghormati Ibu saya. Saya tak pernah sangka dan percaya ada wanita yang baru saja bersama seorang lelaki selama tiga bulan, sanggup tunggu lelaki itu selama tiga tahun setengah, walaupun dia ketika itu masih muda. Ibu saya seorang yang sangat menakjubkan.”

“Satu hal yang paling aneh sekali adalah kami langsung tak tahu mengapa ayah saya dibebaskan lebih awal dari tempoh hukuman yang dia perlu lalui. Dia dibebaskan bersama-sama dengan pak cik dia. Tidak ada ahli keluarga kami yang tahu tentang itu, mereka berdua tiba-tiba saja muncul di depan pintu.”

“Saya rasa mereka dapat kebebasan awal mengikut syarat penjara yang mana mereka harus menutup mulut mereka dan tidak mencetuskan sebarang masalah.”

“Itu sebab mereka dibebaskan kerana mereka dirasakan tidak akan mencetuskan sebarang masalah lagi, tapi itu hanya apa yang saya fikirkan. Situasi sebenar saya sendiri tak tahu.”

Keluarga Xhaka tahu mereka perlu untuk memulakan hidup baru dan pada tahun 1990 mereka memutuskan untuk berhijrah ke Switzerland.

Anak sulung mereka, Taulant telah dilahirkan di Basel pada tahun 1991 dan 18 bulan kemudian lahirnya Granit Xhaka.

Taulant juga merupakan pemain bola sepak dan beliau merupakan pemain terpenting untuk skuad Basel dalam saingan liga utama Switzerland.

“Ayah saya menunjukkan contoh kekuatan yang sungguh menakjubkan. Saya dan Taulant membesar dengan kekuatan mental yang ada pada dia.”

“Kami ada ikutkan yang sempurna, role model, dia yang ajar kami untuk terus kuat dalam mengejar cita-cita kami. Jadi kami membesar dengan kuat. Sebab itu dalam padang kami ada kekuatan mental untuk hadapi semua cabaran.”

Kerana itulah Xhaka mempunyai mental yang kuat, model ikutan beliau merupakan seorang yang berjiwa besar dan individu tersebut merupakan ayah kandungnya sendiri.

Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi bukan?

Sumber: Guardian

BACA:  Xhaka Dan Shaqiri Mungkin Dikenakan Hukuman Daripada FIFA