Menjerit Pogba Digigit dan Diraba Rudiger

Satu insiden tidak diingini terjadi dalam perlawanan sedap Perancis menentang Jerman apabila Antonio Rudiger telah galak menggigit dan meraba Paul Pogba.

Tindakan luar biasa dan tidak masuk akal (orang putih panggil bizarre) Antonio Rudiger itu telah membuatkan Paul Pogba menjerit kuat seperti darai yang terkejut beruk.

Perlawanan antara Juara Piala Dunia 2018, Perancis menentang juara Piala Konfederasi 2017, Jerman menjadi perlawanan dinanti-nanti peminat bola sepak yang berlangsung di Allianz Arena, Jerman.

Pada penghujung separuh masa pertama para peminat bola sepak telah disajikan dengan babak bonus dari centre-back Jerman ke atas pemain tengah Perancis.

Antonio Rudiger seperti cuba membenamkan giginya ke bahagian bahu Paul Pogba ketika mereka terlibat dalam satu perebutan bola.

Tidak cukup gigitan cinta dan usapan mulut ke belakang Paul Pogba, Antonio Rudiger bertindak lebih rakus apabila meraba-raba dada Paul Pogba.

Tidak tahan dan terkejut dengan perlakuan Antonio Rudiger yang tidak masuk akal itu Paul Pogba tidak telah menjerit sekuat hatinya.

Kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Rudiger, Pogba telah membuat satu aduan dan laporan kepada pengadil perlawanan Carlos Del Cerro Grande dari Sepanyol.

Tiada tindakan diambil oleh Carlos Del Cerro Grande ke atas Rudiger. Babak itu kemudian terus menjadi tular di media sosial.

Tamat perlawanan Paul Pogba dan Antonio Rudiger dilihat saling berpelukan. Rudiger tampak lentok elok di bahu Pogba. Mereka pun hidup bahagia sehingga akhir hayat.

Roy Keane dan Patrick Vieira yang bertugas sebagai pundit bersama ITV telah membicarakan babak itu dan Roy Keane menganggap perbuatan Rudiger sebagai sesuatu yang bodoh.

“Aku rasa itu lebih kepada ciuman berbanding gigitan bukankah begitu? Satu perkara bodoh untuk dilakukan.” Ujar Keane.

Agak sopan dan lembut komen daripada Roy Keane kali ini. Mungkin geli untuk mengulas benda sebegitu.

Patrick Vieira juga tidak dapat memahami kenapa Antonio Rudiger berkelakuan seperti itu.

“Bila kau tengok reaksi Pogba dia rasa seperti digigit.”

“Aku tak faham apa sebenarnya yang dia cuba lakukan dengan berkelakuan begitu.” Ujar Vieira kehairanan.

Sebelum perlawanan perbincangan berkisar kepada peranan besar yang dimainkan oleh Paul Pogba bersama Perancis dan menjadi pemaih harapan Didier Deschamps menentang Jerman.

Roy Keane tidak lepaskan peluang untuk menyatakan pendapat beliau yng merasakan Paul Pogba boleh melakukan perkara sama bersama Manchester United.

“Dengar, kita sedang bercakap tentang Paul Pogba, tidak dapat dinafikan lagi Pogba ni budak berbakat. Aku mahukan lebih dari Pogba terutamanya ketika bermain untuk Manchester United.”

Roy Keane tidak menafikan bahwa Pogba bukan sahaja berbakat malah beraksi lebih baik bersama Perancis dengan pemain disekeliling beliau.

“Tiada keraguan lagi, Pogba dikelilingi pemain pemain yang bagus dan lebih selesa dalam suasana yang wujud dalam pasukan Perancis. Dia main di sebelah kiri dan masuk ke dalam.”

“Seorang pemain berbakat. Tapi bagi aku, aku mahu lebih terutamanya untuk Manchester United. Pogba akan memberi impak dalam kejohanan ini.”

Patrick Vieira pula menambah dan merasakan bahawa Paul Pogba tidak terbeban dengan sistem bermain pasukan Perancis di mana Pogba diberikan kebebasan untuk naik ke atas dengan N’Golo Kante melindungi bahagian pertahanan.

“Ada persoalan mengenai prestasi Pogba dengan Manchester United. Prestasi Pogba bersama pasukan kebangsaan Perancis tersangat-sangat-sangatlah bagus.”

“Aku fikir mungkin kerana sistem, mungkin Pogba berasa sangat selesa dalam sistem dimainkan Perancis berbanding Manchester United.”

“Jelas sekali Pogba seorang pemimpin dan pemain yang penting. Bila bersama Manchester United dia mempunyai tanggungjawab yang sama juga.”

Sistem yang diamalkan oleh Manchester United ketika ini adalah berasaskan kepada Bruno Fernandes dan Pagbo hanya menyokong sistem itu serta tidak sebebas ketika bersama Perancis untuk naik ke atas.

Ada benarnya kata-kata Vieira itu apabila gandingan Pogba Paul dan N’Golo Kante nyata berbisa apabila mendominasi dan menakluk bahagian tengah padang ketika menyerang dan bertahan.

Lantaran kecemerlangannya, Paul Pogba telah dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan, Star of The Match (SOTM).

Dominasi Pogba tidak boleh baca bincang dan menjadi pemain paling banyak menyentuh bola, menang diudara, merampas kembali bola, menang perebutan bola bawah dan paling banyak gelecekan berjaya.

BACA:  Real Madrid Dapat Lampu Hijau Untuk Tandatangani Bintang Chelsea