“Mereka Memudahkan Kami”- Salah Anggap Man Utd Tak Beri Masalah Kepadanya

Dari dua perlawanan bertemu Manchester United dalam saingan Premier League musim ini, Mohamed Salah berjaya meledak lima gol dan ia jelas sekali satu rekod yang sungguh menakjubkan.

Jelas sekali beliau dianggap sebagai pemain paling digeruni oleh kem Manchester United atas apa yang beliau persembahkan sepanjang musim ini.

Kejayaan beliau menjaringkan gol dalam perlawanan bertemu Man Utd ini secara tak langsung membantu beliau untuk mengakhiri kemarau golnya yang berpanjangan.

Salah meledak dua gol sementara Sadio Mane dan Luis Diaz menjaringkan satu gol ketika membantu The Reds mengaibkan setan merah 4-0.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu mendominasi hampir 72% penguasaan bola dalam perlawanan ini dengan mereka turut hanya membenarkan United memiliki satu percubaan sahaja sepanjang perlawanan.

Man Utd turun tanpa kelibat penyerang utama mereka, Cristiano Ronaldo yang diberikan cuti khas oleh kelab kerana beliau baru sahaja kehilangan bayi lelakinya semalam.

Manchester United juga terpaksa membuat pertukaran awal dalam perlawanan ini selepas Paul Pogba menderita kecederaan betis pada 10 minit pertama permainan.

Pasukan pelawat seolah-olah langsung tak mampu lakukan apa-apa di bahagian serangan, dengan barisan midfield mereka juga turut jadi kayu mati berdepan Thiago Alcantara dan Fabinho.

Barisan pertahanan United yang diketuai oleh Harry Maguire seperti kebiasaannya kekal kerap melakukan kesilapan yang menyebabkan gawang gol United mudah dibolosi.

Salah secara terbuka mendedahkan beliau tiada masalah untuk mencipta percubaan ketika bertemu United dan beliau merasakan agak mudah bertemu dengan skuad setan merah itu.

“Apa-apa pun, saya fikir mereka membuatkan hidup kami lebih mudah di posisi midfield dan di belakang.”

Jelas Salah kepada Sky Sports tanpa ragu-ragu ketika beliau bersama Thiago Alcantara ditemu bual oleh Patrick Davison.

“Mereka selalu cuba beri kami bola terutama ketika situasi satu lawan satu, jadi hal itu memudahkan lagi kehidupan kami.”

“Jadi, saya fikir, ketika kami bertahan, kami sudah dapatkan clean sheet di sini dan clean sheet di sana. Jadi hal macam itulah memudahkan kami untuk jaringkan gol.”

“Kami cuma pergi ke perlawanan dan mahu jaringkan satu gol, kemudiannya kami dapat, kami mahu yang kedua, kami kejar yang ketiga. Saya rasa persembahan yang mantap dari kami di sini dan di sana. Kami harap kami akan kekalkan itu.

Kenyataan menganjing dan menghina dari Mohamed Salah itu mencuri perhatian peminat yang kemudiannya hangat membincangkan hal tersebut di media sosial.

Pengurus interim Manchester United, Ralf Rangnick turut mencuri perhatian ramai atas kejujuran beliau ketika temu bual selepas perlawanan.

Beliau mendedahkan yang Manchester United pada ketika ini enam tahun ketinggalan di belakang Liverpool dan mereka patut menandatangani 10 pemain baru pada musim panas ini untuk terus bersaing.

Selain Mohamed Salah, kelab dari saingan League One, Shrewsbury Town turut sama mencuri perhatian peminat hari ini kerana menganjing Manchester United.

Shrewsbury menganjing Manchester United atas kekalahan di Anfield

Manchester United jelas sekali telah melalui hari yang sangat malang pada hari ini, selepas mereka dibelasah 4-0 oleh Liverpool dalam saingan Premier League.

Lebih malang lagi untuk skuad setan merah, mereka turut kena hina dengan sebuah kelab dari saingan League One, Shrewsbury Town atas kekalahan tersebut.

Kekalahan 4-0 di tangan seteru utama mereka itu jelas sekali satu hal yang sangat memalukan untuk skuad kendalian Ralf Rangnick.

Ditambah lagi dengan mereka turut dibelasah ketika aksi leg pertama di Old Trafford dengan keputusan 5-0, jelas sekali ia satu tamparan yang hebat untuk skuad setan merah.

Baru sahaja beberapa hari yang lalu peluang untuk mereka mengakhiri saingan liga di kelompok empat teratas kembali hidup, hari ini mereka dibelasah pula oleh pasukan yang sedang bersaing memburu kejuaraan.

Skuad kendalian Ralf Rangnick itu jelas sekali tidak mampu bersaing dengan Liverpool dan mereka juga teruk didominasi sepanjang perlawanan.

Lebih teruk lagi, pada aksi babak pertama, Man Utd langsung tak mampu untuk mencipta sebarang percubaan dengan mereka didominasi sepenuhnya oleh pasukan tuan rumah.

Melihat kepada hal tersebut, salah seorang penyokong Manchester United memuat naik status yang menyatakan bahawa mereka terlihat seperti Shrewsbury dalam perlawanan itu.

Walau bagaimanapun, kelab dari saingan League One itu tidak sanggup membiarkan diri mereka disamakan dengan Manchester United dan mereka kemudiannya tampil membalas semula kenyataan tersebut.

Akaun rasmi Shrewsbury kemudiannya membalas kenyataan tersebut dengan menyatakan yang mereka setidak-tidaknya ada menjaringkan gol ketika lawatan ke Anfield pada awal tahun baru-baru ini.

Skuad kendalian Steve Cotterill itu turun berdepan Liverpool dalam aksi pusingan ketiga saingan FA Cup pada Januari lalu.

Mereka bukan saja berjaya menjaringkan gol, bahkan Shrewsbury turut berjaya untuk mendahului perlawanan pada ketika itu.

Daniel Udoh berjaya menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-27 permainan, namun mereka terpaksa akur selepas anak-anak buah Jurgen Klopp kembali membalas gol tersebut dengan meledak empat gol.

Jelas sekali ia boleh dianggap aib untuk kelab seperti Manchester United kerana dihina oleh pasukan dari saingan League One seperti Shrewsbury.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Robertson Harap Isu Kontrak Salah Diselesaikan Dengan Segera