Messi Akui Barcelona Biarkan Diri Mereka ‘Diratah’ Liverpool

Kapten Barcelona, Lionel Messi mengakui Barcelona membiarkan diri mereka ‘diratah’ Liverpool ketika disingkirkan dari saingan separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah beberapa minggu yang lalu.

Dalam aksi pertama di Nou Camp, Messi berjaya menjaringkan 2 gol untuk memberikan kelebihan selesa 3-0 kepada Barcelona untuk dibawa ke Anfield pada minggu berikutanya.

Messi tampil dalam sidang media buat kali pertama sejak 2015. Memang rare

Walau bagaimanapun, kemenangan 3-0 masih belum cukup untuk menjamin tempat Barcelona di pentas akhir. Liverpool melakukan kebangkitan mustahil apabila berjaya menjaringkan 4 gol tanpa balas untuk menjadi pasukan pertama berjaya bangkit selepas ketinggalan 3-0 dalam perlawanan pertama.

Messi yang menjadi kapten pada malam tersebut, antara pemain yang paling terkesan dengan kekalahan memalukan tersebut.

Pemain berusia 32 tahun ini berkata demikian dalam satu sidang media yang dihadirinya menjelang aksi final Copa Del Rey menentang Valencia malam ini. Barcelona berpeluang menyapu bersih kesemua trofi domestik di Sepanyol jika menang malam nanti, dan Messi nekad untuk menamatkan kempen musim ini dengan senyuman terukir di bibirnya.

Untuk rekod, ini merupakan kali pertama sejak tahun 2015 Messi tampil dalam sidang media untuk menjawab soalan daripada wartawan.

Messi mengangkat trofi La Liga yang berjaya dipertahankan musim ini

“Saya melalui musim pertama yang cemerlang sebagai seorang kapten, kecuali perlawanan menentang Liverpool.”

“Dengan penuh penyesalan, perlawanan itu telah mencemarkan musim kami. Saya belum lagi menonton perlawanan tersebut, ia lebih kurang sama seperti ketika kami pergi ke Roma dan mereka berjaya menjaringkan gol.”

“Kami memberi reaksi yang baik pada mulanya, tetapi selepas itu Liverpool berjaya menjaringkan gol ke-2 dan kami tidak mampu bersaing dengan baik. Perkara paling buruk adalah kami tidak mampu memberikan saingan. Kami membiarkan Liverpool ‘meratah’ kami.”

“Dalam kepala kami sudah terbayang untuk menjadi juara dan kami berasa sangat kecewa, pertamanya kerana penyingkiran, kedua adalah cara kami kalah, dan ketiga kerana ia berlaku sekali lagi.”

“Kekalahan ini amat sukar untuk diterima dan agak sukar untuk menaikkan kembali moral pasukan, seperti yang anda lihat dalam beberapa perlawanan selepas itu.”

“Sekarang kami akan mengharungi satu lagi final, dan berpeluang untuk mengangkat satu lagi piala. Kami mempunyai peluang untuk melakukan ‘double’ dan mengakhiri musim ini dengan baik. Kami perlu memenangi final ini seperti final-final yang pernah kami menangi sebelum ini.”

Valverde tak salah

Kekalahan kepada Liverpool telah membuatkan pengurus Barcelona, Ernesto Valverde menjadi sasaran pengkritik walaupun beliau mempamerkan prestasi yang cemerlang di peringkat domestik.

Messi memberikan sokongan kepada Valverde untuk terus kekal di Nou Camp sambil menyifatkan kekalahan kepada Liverpool berpunca daripada para pemain.

“Saya merasakan pengurus kami telah melakukan kerja yang cukup baik sejak beliau bersama kami. Saya rasa beliau tidak patut dipersalahkan atas apa yang berlaku di Liverpool.”

BACA:  Salt Bae Dipalau Lionel Messi Berkali-Kali